#63: Pada Baris-baris Itu Aku Temukan Halaman Yang Aku Tutup Dahulu

 



20260204, Rabu

Assalamualaikum, hai dan selamat sejahtera. Bagaimana semua orang? Adakah masih sihat? Khabarnya ramai rakan-rakan sebaya sudah selesai peperiksaan akhir? Alhamdulillah. 

Aku tiada apa yang ingin dibincangkan kali ini cuma, fikiran aku tergiang-ngiang lagu yang aku dengar pada tempoh hari. Lagu Untuk Cinta. Nyanyian Hafiz dan juga Adira. Aku tak pasti mengapa cuma dalam dua hari ini aku rasa terikat dengan lagu-lagu sedih sebegitu. Ditambah pula dengan lagu Bila Cinta nyanyian Gio. 

Mungkin tulisan kali ini aku cuma mahu berkongsi beberapa baris lirik yang seolah-olah membuatkan kalbu aku rasa terpasung pada suatu peristiwa lampau yang masih menjadi salah satu catatan hidup yang aku sengaja tumpukkan dengan pelbagai halaman baharu yang masih bersih. 

Dulu kau tawarkan
Manisnya janjimu
Dan ku sambut itu 
Dengan segenap hatiku
Hingga engkau pergi 
Tinggalkanku  

Petikan lirik lagu Bila Cinta nyanyian Gio. Setiap baris seolah-olah mencampakkan aku sekali lagi ke dalam lembah harapan yang dahulu pernah terisi dengan sinar yang aku rasa dapat menyinari sehingga burung yang baru menetas mampu terbang untuk berhijrah menghadapai musim semi....

Ternyata itu semua tidak berlaku. 

Aku tidak pasti maksud sebenar yang ingin penulis lirik sampaikan cuma setakat petikan yang aku ambil ini, dahulu menjadi sebuah pasak kukuh yang tertanam di kalbu bagi satu ikatan yang masih belum jelas pada waktu itu. 

Jika dapat buka semula halaman itu sudah pasti genangan jernih akan menumpuk di kedua kolam mata. Setidaknya aliran hangat yang tersedu-sedan juga mampu didengari oleh mereka yang duduk sehampir mungkin.  

Terkadang aku selalu bertanya, bukankah semua orang itu diberikan peluang untuk berkasih sayang? Bukankah semua orang berhak untuk berkasih sayang? Bukankah semua orang itu perlu untuk berkasih sayang? 

Pada setiap waktu dan umur yang masih tersisa, sebagai pucuk muda yang masih mencari-cari sinar untuk bertunas, mencari-cari sokongan untuk berpaut, akarnya terus merayap sedalam mungkin untuk menghilangkan kehausan. Apakah semua yang pernah bermula dan tidak pernah berakhir dengan baik itu akan sentiasa berulang? 

Baris lirik yang menyatakan janji yang disambut dengan penuh kesungguhan dan harapan yang hanya tinggal nama setelah kepergian dia yang dahulunya menawarkan janji itu. 

Aku, merenung lagi baris-baris lirik pada lagu yang satu lagi.

Kau tunjukkan aku
Yang memangnya tak pernah tahu
Erti sebenarnya cinta
Dari jiwa
Bukan hanya dari mata

Petikan lirik lagu Bila Cinta itu pula sendiri dimulakan dengan baris kata yang sungguh tekal dalam menyampaikan satu perkara yang ditawarkan. Aku menerima pengajaran bahawa ketertarikan itu bukan yang ada pada mata.  

Kau ajar hatiku
Kasih setulus seikhlasnya
Tak pernah mengalah|
Walau kan terpisah
Sedikitpun tak berubah

Aku sebenarnya keliru. Adakah aku benar-benar ingin kembali ke halaman lampau atau aku sekadar teringat kembali kepada sebuah perkara yang mustahil dapat aku ubah lagi.  

Mungkin disebabkan satu halaman yang itu, aku mula mengelak untuk melakar lagi perkara yang sama di atas mana-mana halaman baharu yang aku buka. 

Aku sebenarnya tidak mampu berfikir, aku cuma mahu tenggelam dalam lagu-lagu itu. Aku akan memakai fon telinga dan bergelap dalam tempoh 1-2 jam. Sekadar melayan rasa yang aku ingin ulang; namun bukan peristiwa itu. 

Tenggelam dalam setiap getaran dan lafaz. Seolah-olah apabila aku memejamkan mata, setiap babak lepas ditayangkan seperti aku melihat kisah tragik di pawagam. Cuma kali ini, hanya aku yang dapat memahami bagaimana pengakhirannya dan aku tetap memilih untuk tetap mengulangi tontonan.

Sedangkan aliran hangat dari dua kolam tadi terus mengalir lesu. Tidak cukup untuk membanjiri sebuah kampung, namun cukup untuk menjadi anak sungai yang boleh membantu pengembara yang tersesat dalam rimba yang luas, dalam dan kelam. 

Mengapa, ya? Wujudnya lagu-lagu yang bertujuan menzahirkan kesedihan ini? Adakah kesedihan itu memang ada pada setiap zaman? Adakah semua manusia pernah merasakan episod gelap ini? Adakah segala yang berlaku ialah satu hukuman atau sebuah pencerahan? Aku masih lagi mencari....

Aku rasa itu saja buat masa ini. Mungkin aku renung halaman itu lebih lama sedikit kali ini sebelum aku tumpukkan kembali dengan segala halaman baharu yang lebih banyak, yang lebih tebal dan yang lebih padat dengan segala catatan kegembiraan. Insya-Allah.

Sampai jumpa lagi?

Assalamualaikum.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris