#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi
20260202, Isnin
Assalamualaikum, hai dan selamat sejahtera.
Hari ini cuti Thaipusam. Lebih tepat cuti ganti kerana Thaipusam jatuh pada hari Ahad semalam. Kalau ikutkan rancangan hari ini aku mahu pergi ke Kolej ke-13, Taman Tenaga (K13). Aku hendak serahkan buku yang aku belikan untuk rakan sekelas aku pada KLAB 2026 pada hari Sabtu lepas. Di tambah pula mereka ada menyediakan makanan untuk aku. Rezeki jangan ditolak.
Makanan
Aku datang hari ini. Asalnya sekadar datang bagi menyerahkan buku yang aku beli di KLAB 2026. Bukan apa, sudah dijanjikan makanan kan? Biasanya gadis-gadis ini akan duduk sekali untuk bercerita. Cuma, kali ini aku diberikan makanan yang dibungkus dan air sirap juga yang dibungkus.
Aku bertanya. Kelihatan mereka bergegas ingin keluar. Sementara menunggu mereka bersiap aku sempat habiskan terus satu hidangan tersebut. Masya-Allah, lazat! Sedap, pedas tapi asyik. Tidak hambarlah.
Kata salah seorang daripada mereka, ingin pulang barang sebentar ke rumah di Seremban. Ada buat sedikit makan-makan sempena menyambut hari lahir. Aku ini alang-alang orang mahu berjalan sengaja tumpang sekaki.
Ini kali pertama aku berbuat perkara sebegini. Bukan apa, hanya aku saja lelaki yang ada di sebalik empat orang gadis ini. Setelah memaklumkan tentang kehadiran aku kepada tuan rumah dan aku juga memaklumkan bahawa aku akan balik lewat pada hari ini kepada ibu aku. Kereta Myvi 1.5cc pun meluncur laju melalui lebuh raya PLUS menghala ke Seremban.
Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk menikmati halwa telinga dalam mana-mana perjalanan yang mereka tempuhi. Cuma kali ini tempoh selama 45 minit itu terisi dengan sesi bercerita yang agak aneh dan penting untuk aku ketahui.
Menjengah kepada ilmu pergaulan, aku mula meneliti setiap dakwaan, hujahan dan pembuktian yang mereka berikan. Aku timbang tara dan membuat deduksi kendiri di dalam kalbu. Spesimen yang dibincangkan bukanlah sebuah entiti asing. Mungkin kerana perubahan sikap, arah angin, kelembapan udara atau hangatnya matahari. Arah bintang mula berubah dan cahaya bulan juga turut sirna.
Aku tidak ambil pusing. Aku juga pernah berhadapan dengan spesimen dan mempunyai dapatan mentah daripada temubual dan juga sesi interograsi. Aku kaitkan satu demi satu pecahan yang terbentang. Layaknya sebuah permainan susun suai gambar dengan potongan 9-12 keping. Tidaklah serumit 1000-10,000 kepingan susun suai gambar yang kompleks. Setiap satu jelas dan mungkin jika aku perlukan sandaran yang lebih kukuh, aku perlu dapatkan bantuan unit risikan peribadi aku. Kes ini tidak serumit kisah-kisah Sherlock Holmes. Mungkin lebih dekat dengan kisah-kisah haiwan teladan.
Aku mendengar dengan penuh khusyuk. Banyak juga soalan balas yang aku lemparkan kembali kepada kumpulan gadis tersebut. Aku sebagai satu-satunya lelaki di dalam pacuan empat roda itu sudah pasti pada setiap detik awal aku di dalam kereta tersebut, hati aku tidak henti-henti menyoalkan tindakan drastik dan spontan aku ini.
"Apa kau buat ni? Kau ni betul ke tak? Takkan nak minta mereka patah balik? Nak menyesal? Nak menyesal buat apa? Aku dah dalam kereta dan separuh jalan dah...."
Berulang kali aku cuba memujuk hati aku bahawa mungkin ada sebab mengapa aku digerakkan begini. Selepas masuk ke susur keluar arah Seremban. Perjalanan mula melintasi jalan-jalan negeri dan juga kawasan kampung. Sejujurnya sudah lama aku tidak merasai pengalaman sebegini. Dilahirkan sebagai seorang budak kota, membesar dengan bangunan pencakar langit, keributan arus trafik dan juga pembangunan yang pesat. Aku tidak begitu akrab dengan pengalaman budak-budak kampung yang lebih dekat dengan alam.
Jarak ke destinasi sudah semakin dekat, sekiranya aku tidak salah. Kami melepasi sebuah pejabat kastam. Katanya, tuan rumah yang kami ingin tuju (ayah salah seorang gadis itu) merupakan seorang pegawai di sini. Dari jalan besar, kereta membelok ke sebuah lorong kecil. Arah masuk benar-benar melalui Sekolah Kebangsaan Paroi yang berada di sisi kanan kami.
Kereta berhenti di perkarangan rumah. Kelihatan masih ada beberapa tetamu yang masih menjamu selera. Kami berdiam sebentar di dalam kereta. Pastilah aku berasa segan, hanya aku seorang lelaki yang bersama mereka. Enjin dimatikan dan langkah kanan mula menapak.
Jamuan Lagi?
Langkah kanan pembuka bicara, bersalaman pada yang ada tanda adab bicara. Aku bersalaman dengan beberapa orang lelaki yang ada di ruang tamu. Sudah pasti aku tidak mengenali sesiapa pun yang berada di situ. Makanan sudah terhidang, minuman sudah terisi. Aku menyahut pelawaan tuan rumah untuk bersantap.
Pelbagai hidangan tersedia bermula mi goreng, sehingga kek. Aku membuka selera dengan nugget goreng yang dihidangkan. Wah, seperti dulu-dulu aku bersekolah. Aku kurang dapat makan makanan sebegini kecuali jika ada jamuan atau ibu aku ada sedikit dana untuk makan-makan keluarga.
Aku bertambah makan beberapa kali terutamanya mi goreng. Aku makan bersulam air, walaupun aku sudah makan tadi sebelum bertolak. Aku rasa makanan dalam perut aku pun belum cukup masa untuk hadam.
Aku memerhati lagi. Suasana di situ mengingatkan aku kepada rumah ibu saudara aku yang terletak di Lubok China bersempadan dengan kawasan Linggi. Aku seolah-olah tenggelam dalam pekatnya dialek dan cara pergaulan masyarakat di rumah itu. Jika aku memejamkan mata dan hanya mendengarkan patah bicara semua mereka yang di situ; sudah pasti aku akan terkenang kembali keadaan ketika aku berziarah ke rumah ibu saudara aku.
Ada beberapa kanak-kanak, namun mereka nampak takut dan segan apabila melihat aku. Aku juga suka menyakat. Aku tenung budak-budak itu. Mereka bersembunyi di balik rakan-rakan perempuan aku.
Aku teringat kembali apa yang aku pelajari ketika berada di Tingkatan 6. Isoglos, perubahan dialek dalam pertuturan bahkan idiolek mereka juga berbeza dengan apa yang aku alami di Selangor/KL. Wajar saja, aku sudah melepasi sempadan negeri sudah pasti perbezaan budaya, bahasa dan suasana itu ada.
Aku banyak berdiam dan tidak banyak bercakap, mulut aku sengaja aku sumbatkan dengan segala makanan yang dapat aku capai. Aku tidak mahu tersalah cakap, apatah lagi aku satu-satunya rakan lelaki yang sertai mereka!
Maghrib menjelang, pintu dan jendela ditutup rapat. Budak-budak ditakutkan dengan 'mambang kuning'. Bagi aku mungkin perkara itu betul dan ada. Kita hidup di dunia ini berkongsi dan tidak akan terlepas daripada bergaul dengan segala mahkluk Allah yang lain. Aku masih mendengar segala bentuk perbualan khususnya daripada segi lahjah yang terpacul daripada lisan-lisan orang di daerah ini. Sungguh menarik hati aku untuk lebih mendalami lagi perkara tersebut. Jika aku tidak silap disiplin yang paling hampir ialah Fonologi dan Dialektologi.
Aku menumpang sembahyang Maghrib, tiada aku berlama-lama. Sekadar yang wajib dan doa yang ringkas. Aku melangkah keluar daripada kamar solat. Di ruang tamu tadi, tuan rumah laki isteri sedang duduk-duduk. Bermulalah kemudian tuan rumah lelaki mula bercerita dan mencurah pengetahuan.
Dato' Dagang Paroi
Tuan rumah lelaki memulakan bicara dengan berkata tentang terma-terma dan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada adat yang mereka amalkan. Langit-langit, Bersiram, Pelamin dan banyak lagi.
Aku tertarik. Aku mula beralih tubuh dan mengadap ke arah tuan rumah itu. Aku mendengar dengan fokus sehingga timbul di hati aku untuk bertanya. Mungkin sebab aku memang suka ambil tahu perkara yang bersifat pengetahuan baharu? Sifat inkuiri aku yang tinggi?
Selepas beberapa ketika aku mendengar justeru itu aku terus mengeluarkan buku nota kecil dan mula mencatat. Berjumpa dengan informan dan orang sumber yang penuh ilmu bukanlah satu peluang yang patut disia-siakan.
Ada banyak persoalan yang aku lontarkan. Semuanya aku dapat jawapan yang memuaskan. Aku memang tidak ada pengetahuan yang banyak. Kemudian, diberitahu pula bahawa tuan rumah ialah salah seorang Dato' Lembaga dengan membawa gelaran Dato' Dagang Paroi. Aku terkesima.
Diterangkan lagi, diceritakan lagi tentang kawasan pegangan, stuktur pentadbiran, sistem pemerintahan, fasal Undang yang empat (Undang Jelebu, Undang Sungei Ujong, Undang Johol, Undang Rembau), istiadat menzahirkan taat setia kepada pemerintah (dipanggil Istiadat Menyalang).
Banyak sangat yang diterangkan. Ternyata meskipun negara Malasyia sudah merdeka dan beradptasi dengan sistem pemerintahan moden yang bercorak demokrasi dan dianggap bebas dari sistem feudal. Negeri Sembilan sebagai sebuah Negeri Beradat masih lagi mengiktiraf kedudukan pembesar-pembesar dan mereka terlibat dengan urusan pentadbiran secara tidak langsung.
Aku duduk bersila, sedangkan di hadapan aku yang duduk di atas kerusi kayu layaknya sofa gaya Eropah, cuma bahannya saja daripada kayu merupakan seorang pembesar negeri. Wah, sungguh aku tidak percaya! Jika pada hari-hari kebesaran sudah pasti aku tidak akan mampu untuk duduk sedekat ini. Dato' Dagang Paroi yang berada di hadapan aku, kawasannya merangkumi 3 kawasan DUN dan 2 kawasan Parlimen. Sekali lagi aku berasa takjub.
Jika diikutkan, perbincangan memang tidak akan habis. Namun begitu, waktu juga sudah semakin larut malam. Kami semua mula mengambil langkah untuk beredar. Sebelum pacuan empat roda itu meluncur di jalan raya. Aku sempat dipelawa oleh Dato' Dagang Paroi melihat replika meriam yang ada di laman rumahnya. Kata beliau, meriam yang asli sudah dicuri orang; bukan beliau saja bahkan meriam pembesar-pembesar yang lain juga menerima nasib yang sama.
Aku dibenarkan untuk melihat ke kawasan Telapak (satu tempat khas untuk menyimpan dan meletakkan alat-alat kebesaran). Telapak itu ada banyak alat istiadat bermula dengan pelamin 3 tingkat, keris, pedang, tombak, panji-panji dan juga segala jenis kain yang diperlukan. Aku berasa takjub dan gembira kerana dapat melihat sendiri sedekat itu.
Dato' Dagang Paroi (tuan rumah merangkap ayah kepada salah seorang rakan perempuan aku itu) bermanis mulut dan berseri muka mempelawa aku untuk berkunjung lagi. Bawa pensyarah sekali kata beliau. Aku bersalaman dan berpamitan tanda beredar.
Ternyata aku baru sedar hikmah yang Tuhan jalankan atas aku. Ternyata kehadiran aku bukan sia-sia bahkan beroleh keuntungan yang amat besar. Di dalam hati aku berulang kali melafaz syukur. Jika pada hari biasa sudah pasti aku perlu mengangkat sembah seperti adat kebiasaan di situ. Aku juga bimbang adakah perbuatan aku hari ini su'ul adab....
Manisan Mulut
Singgah sebentar di sebuah kedai pencuci mulut. Menjadi seorang penumpang sudah pasti aku akan meraikan segala tindakan mereka. Peribahasa kata, lain padang, lain belalang; masuk kadang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Aku sertai mereka ke dalam kedai. Pelbagai plihan makanan sejuk dan panas ada. Aku memilih untuk membeli sekotak susu berperisa kopi. Aku lebih gemar varian ini berbanding kopi yang ditinkan. Kebanyakan kopi tin tidak menzahirkan rasa kopi yang aku inginkan. Kopi yang terlalu manis dengan perisa tambahan dan gula yang tinggi. Aku lebih gemar ambil susu perisa kopi keluaran Farm Fresh memadangkan rasanya yang amat hampir dengan rasa Cafe Latte yang terjual di kafe-kafe.
Salah seorang daripada gadis-gadis tersebut bertanya pendapat aku tentang manisan yang mana dia patut pilih. Aku memberi cadangan dan ternyata dia sudah ada pilihan sendiri. Betul kata Ustaz Syamsul Debat.
"Orang perempuan dia bertanya sekadar prosedur je padahal mereka memang dah ada yang berkenan di hati tu."
Kami semua mencuci mulut dengan pelbagai manisan yang dibeli. Aku rasa inklusif bila aku juga turut diraikan untuk bersama mereka semua. Mereka berkongsi manisan yang mereka beli dengan aku. Aku mencicipi sekadarnya saja. Semuanya sedap dan manis. Aku tidak biasa dengan perkara-perkara sebegini. Wajarlah, aku lelaki.
Karaoke Bergerak
Aliran trafik bergerak perlahan mengala utara di lebuh raya PLUS. Gadis-gadis mula mengeluarkan dan menghidupkan mikrofon tanpa wayar. Sesi karaoke bermula. Banyak juga lagu-lagu yang dinyanyikan. Sambil-sambil memandu, gadis bernyanyi, berkaraoke dengan fungsi suara khas untuk gema dan ton suara yang lebih kecil.
Aku terhibur dengan perbuatan mereka sehingga hawa berubah apabila lagu-lagu galau dinyanyikan. Bermula dengan Untuk Cinta, Menjaga Jodoh Orang Lain, Bila Cinta dan beberapa lagi. Aku sendiri turut serta berkaraoke lagu Bila Cinta.
Secara peribadi, lagu latar untuk filem Lagenda Budak Setan itu memang menyentuh satu sisi dalam hidup aku yang kian aku tutup dengan sebanyak mungkin lembaran jurnal harian. Perkara yang mengubah perspeketif aku dalam menilai dan meletakkan sebuah penghargaan dalam sebuah perhubungan. Aku sengaja menyanyikan lagu itu dengan gaya orang menangis tersedu-sedan. Aku rasa itu pengalaman pertama aku berkaraoke dengan perempuan dalam kereta yang bergerak.
Kali pertama aku berkaraoke bersama beberapa orang kawan dan kali kedua aku pergi sendiri. Ya, aku pergi sendiri kerana aku fikir bukan satu perkara yang aneh untuk menikmati sebuah keruntuhan dalam gelap sebuah kubikel berhawa dingin.
Tamat sesi karaoke, lagu-lagu jiwang dimainkan. Langkah Seiringan nyanyian kumpulan Exist. Kami semua tiba semula di K13 pda jam lebih kurang 2215. Aku mula berterima kasih kepada semua mereka yang menumpangkan, yang sudi menerima aku sebagai tetamu tangkap muat, yang sudi memandu kereta, yang sudi berkongsi maklumat dan informasi tentang spesimen, yang sudi menerima aku untuk berada di sekeliling mereka dalam tempoh 4-5 jam itu.
Aku berdoa semoga Allah SWT memberikan sebaik-baik ganjaran kepada semua pihak yang sudi menghiburkan aku pada hari ini. Sungguh perkara yang berlaku hari ini amat besar impaknya kepada aku dan aku sungguh sangat berbesar hati untuk membalas apa yang aku mampu.
Perjalanan hari ini meskipun ringkas namun pada fikiran aku yang cetek ini cukup untuk aku abadikan sebagai salah satu episod yang aku boleh rujuk kembali pada masa hadapan.
Aku rasa sampai di sini dahulu. Insya-Allah jika ada usia dan kesempatan aku akan berkongsi lagi perihal pengembaraan aku yang lain.
Sampai jumpa!
Assalamualaikum.
Widih seharian dikelilingi para gadis-gadis
BalasPadamSaya juga berasa takjub, ternyata peluang itu bukan satu perkara yang mudah
Padam