#65: Panggilan Yang Mengubah Hari Rencam

20260206, Jumaat

Assalamualaikum, hai dan selamat sejahtera.

Lewat Malam Fikiran Aku Berulang

Pada setiap detik yang berlalu, pada setiap getar yang terasa, pada setiap baris yang ditulis, pada setiap lukis yang tergambar, pada setiap langkah yang menjauh, pada setiap lambai yang tertinggal, pada setiap hati yang terluka, pada setiap halaman yang terbuka, pada setiap tubuh yang tertunduk, pada setiap mata yang terlihat, pada setiap pedang yang terasah, pada setiap sungai yang mengalir, pada setiap lautan yang bergelombang, pada setiap tanah yang ditimpa hujan dan pada setiap wajah yang terhias...

Bagaimanakah sebuah perjalanan dapat ditempuh jika segala alatan yang ada tidak dapat digunakan?

Bagaimanakah mungkin seorang musafir yang kesesatan ingin mencari tempat berteduh di dalam hutan yang tebal atau padang pasir yang luas? 

Dalam Perjalanan Aku Berperang 

Terkadang aku sentiasa berfikir dan bercakap sendirian seperti akulah semua watak dalam drama lisan itu. Aku juga tidak mengerti bagaimana satu spontanisasi aku akan membuat segalanya terasa lebih hidup. Mungkin orang-orang akan mengatakan aku gila kerana bercakap sendirian. Namun jika aku tidak bercakap, aku tetap akan menulis. Aku menyampaikan, menghebahkan, menitahkan, mengarahkan segala perkara yang aku fikir baik untuk disyarahkan dengan lebih panjang dan jitu. Bukan kerana aku ini tidak mahu untuk merakamkan segala baris-baris dialog yang terlafaz; akan tetapi baris-baris dialog itu sendiri terpacul apabila aku mula tenggelam dalam sebuah rasa yang rencam. 

Aku pernah menjadi seorang lelaki, seorang gadis, guru, pekerja, bos, pegawai istana, tua yang renta, dan banyak lagi watak yang sebenarnya menjadi satu rakaman jiwa yang aku ingin semua orang tahu. Namun sekali lagi aku tegaskan, segalsnya berlaku terlalu pantas. Belum sempat aku angkat pena tulisan, umpama segalanya yang terlukis di permukaan sungai terus hilang dan lenyap. 

Aku menyelami segala bahan bacaan. Bermula hantaran di media sosial, artikel picisan sensasi, berita terkini, jurnal-jurnal akademik, buku kewangan, psikologi, akademik, novel-novel popular, drama di kaca televisyen, dan banyak lagi sumber. Setiap satu saling mengaitkan sebuah jalinan kontekstual yang mengarah kepada perkara yang berlaku dalam masyarakat. Lantas, aku berfikir lebih dalam.

'Apakah semua ini datang dari satu punca yang sama?'

 Lagak seperti seoang anak kecil yang ingin meneroka segala. Tiap jurang ditongkahi, tiap jalan dijalani, tiap tembok dipanjati, tiap halang dirempuhi. Mungkin semua orang perlu ada perkara itu dalam diri mereka. Aku teringat kata-kata sebahagian ulama. Mafhumnya begini:

"Lima sifat anak kecil yang seharusnya ada pada orang dewasa; Sabar dan Ikhlas (Reda dengan Takdir), Hati yang Bersih (Tiada Dendam), Keinginan Belajar yang Tinggi, Sifat Rendah Diri (Tawadhu') dan Keikhlasan dalam Beramal."

Menerima Panggilan Daripada Kawan Gadis

Petang tadi aku terima satu panggilan telefon. Terpapar nama yang sangat aku kenal. Seorang gadis, kawan yang aku kenal sejak sekolah rendah. Aku boleh katakan kawan, walaupun mungkin bukan definisi kawan yang selalu bersama namun dia akan ada pada bila-bila masa yang aku perlu.

Kami berbual tentang pengalaman dan perkembangan diri masing-masing. Sejujurnya, aku sangat menghargai tindakan dia membalas kembali panggilan telefon aku yang terlepas sebulan lalu. Alhmadulillah, khabarnya Isnin ini kertas peperiksaan terakhir untuk dirinya.

Kawan aku ini, aku gelarkan sebagai N. N gadis tinggi lampai dan seorang yang ceria. Pada kebanyakan waktu dia sentiasa berusaha untuk terlihat gembira. Pada kebanyakan waktu dia sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik. Aku akui aku tidak terlalu mengenali dirinya. Meskipun perkenalan kami sejak sekolah rendah, sekolah menengah dan juga sehingga tingkatan 6. Aku sangat kagum dengan dirinya. Dia sudah menjalani pelbagai episod hidup yang mungkin aku sendiri tidak mampu untuk alami. 

Dia sebagai harapan keluarga sudah semestinya menjadi orang yang sentiasa dibebankan dengan pelbagai perkara yang memenatkan fikiran. Aku tidak pasti bagaimana dia mampu untuk berbuat sedemikian. 

Aku masih ingat ketika kami masih berada di tingkatan 6. Sudah menjadi kebiasaan aku untuk mengganggu semua orang ketika waktu rehat. Aku akan hadir dan melompat dari satu kelas ke satu kelas untuk melihat perkembangan semua rakan seperjuangan. Untung, ketiga-tiga kelas tingkatan 6 aliran Sains Sosial berada pada satu aras yang sama. 

Jika aku tidak salah, sudah hampir musim peperiksaan ketika itu . Sebelah tangannya membelek dan menulis, sebelah tangan lagi menyuap makanan. Bahkan, aku sendiri kaget dengan tindakannya. Ketika SPM tingkatan 5 juga, selepas habis kelas wajib di sekolah. Dia akan hadir kelas tuisyen. Aku benar-benar melihat dia bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

Berat mata yang memadang berat lagi bahu yang memikul. Aku sedar aku mungkin bukan orang yang paling tepat untuk berbicara tentang apa yang orang lain jalani. Cuma, sebagai seorang pemerhati, tindakan dan apa yang dia jalani merupakan lembaran kehidupan seseorang yang berjuang untuk hidup. Bukan mereka yang benar-benar ingin menikmati. Aku tidak pasti adakah dia berasa seronok dengan apa yang dia alami, apa yang dia capai? 

Namun, mudah-mudahan kehidupannya sentiasa dimudahkan Allah SWT, keluarganya sentiasa bahagia dalam ikatan kemesraan yang utuh, dia berjaya cemerlang di dunia dan akhirat, dan dia akan berjumpa dengan orang yang benar-benar menghargai dia. Dia sudah terlalu lama bertahan kuat untuk diri sendiri. 

Panjang perbualan kami, hampir 1 jam dan aku sangat menghargai setiap saat yang dia luangkan. Insya-Allah jika ada rezeki kami akan adakan pertemuan bersama kawan-kawan yang lain selepas peperiksaan masing-masing memandangkan semunya sudah bertebaran jauh senatero Malaysia untuk melanjutkan pelajaran. 

Adakah Aku Masih Kehilangan?

Aku masih tidak tahu apakah segala perkara yang aku lakukan hari ini akan menjadi satu perkara yang bernilai? Atau setidaknya mampu untuk memberi manfaat pada orang lain. Aku selalu bimbang jika aku hanyalah watak yang hadir untuk menjadi penambah perasa. Bagaimana tindakan aku? Bagaimana layanan aku pada orang-orang. 

Aku berfikir lagi sekiranya nanti jika aku mengambil satu keputusan untuk melangkah keluar sebentar atau mengundur diri untuk satu tempoh, adakah tindakan kecil itu akan memberi susah kepada banyak pihak? Aku masih tidak pasti...

Mungkin kali ini, aku tinggalkan dengan satu persoalan.
"Jika terbentang dua jambatan, di kedua hujungnya ada seseorang yang kau perlukan. Apakah tindakan yang paling tepat supaya yang tidak berlaku seperti peribahasa, yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran?"
Aku rasa itu dulu untuk kali ini. Sampai jumpa lagi. 

Assalamualaikum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris