#68: Rebah Lagi Kerna Tusukan Kesekian Kali

 


20260208, Ahad

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Jika aku katakan bahawa setiap perkara yang berlaku itu sudah ditetapkan pasti akan ada yang mengangguk dan pasti juga ada yang berdiam. Ada satu kisah, kisah tentang seorang pemuda. 

Pemuda itu sekali lagi mendapat pertanyaan. Pertanyaan yang membuatkan dia tersentak, kakinya lemah longlai, matanya berpinar, kolam mata berair, fikirnya serabut, tangannya terketar, suaranya sedu-sedan, nafas putus-putus, hidung hingus-hingusan, semangatnya tercabut, terduduk. 

"Bagimana jika sebenarnya apa yang kau rasakan selama ini hanyalah satu ilusi fatamorgana dan bersifat kau sendiri sedang delusi? Apakah kau bersedia jika ada nanti yang datang ingin mengerakkan kau untuk bangun daripada lena selama ini?"

Setiap patah yang menjengah gegendang telinga terasa seperti desingan paluan gong keramat, anak panah yang tepat pada sasaran, tikaman yang terkena jantung, luka yang disiram limau, kuku yang dicabut terus, rambut yang dicukur habis, kaki yang terlipat tanpa mampu kembali, lidah yang dicantas pedang, dada yang dibelah, mata yang dicungkil, perut yang dirobek.

Suasana senja itu sedikit redup, langit jingga juga tidak terlalu kelihatan. Ombak pantai juga seakan mengalun lemah, bayu laut turut berhembus lembut, lambaian nyiur lambat-lambat, butiran pasir kian berlari, tali air kian surut, padi pula banyak masuk angin.... 

Lampu isyarat berubah warna, segala pacuan terus memecut, asap terus memasuki hidung, jualan di tepi jalan, pantas melangkah, tiada memandang sekeliling hatta jatuhnya juga hanya di pojok lorong yang kelam dan sunyi. 

Pemuda itu kembali menyingkap aturan purbakala, melentur adat kekinian, melihat pada akta, menilai pada ordinan, menghimpun pada segala fatwa, menentang pada segala jumud, membuang segala yang mansuh.....

Bunyi-bunyian terus girang, alat-alatan terus berdentang, tali-temali terus bergetar, kulit-kulit terus meregang, buluh-buluh terus ditebuk dan diraut, logam-logam terus ditempa, kayu-kayan terus dipotong, merenggut dara rimba yang sudah lama menjaga kesuciannya....

Pemuda, melangkah lagi. Dia melihat sebuah taman yang indah. Pohon-pohon rendang. Cuaca yang redup dan cahaya yang sedang sederhana. Tiada hangat mahupun beku, hanya ada satu yang terkelu. Tubuh tegak membatu, mata hanya tertumpu. Pohon rendang yang lebat dengan dedaun hijau yang pekat, cukup memberi dingin kepada siapa yang berteduh. 

"Aku mahu kekal di situ"

Pemuda itu tidak pernah ke mana-mana. hanya rasa dan fikirnya yang menerawang sedang segala yang maujud melihat dia hanya terbaring berbantalkan batu, makannya kutu, minumnya bercatu, kata orang dia hantu, tidur tak tentu, tiada siapa yang tahu! 

Tidak, dia tidak berbaring. Segala yang maujud yang desolasi. Dia tahu dia hanya debu, debu yang tiada tahu ke mana arah tuju. Entah di mana tempat untuk bertumpu, barang di mana hendak berteleku.

Dia capai pipih batu tadi, ditekan pada perut. Mengalir pekat darah merah, dia hanya tertawa lagi, lagi dan lagi. Dia tekan lagi batu itu, kali ini luka di perut kambuh sendiri. Dia tekan pula ke dada, terbelah sehingga nampak segalanya. Ketul-ketul hitam yang dingin dan beku. Beku namun bukan salju. Dingin namun hadir dari hangat yang tidak mampu untuk terbuang....

Pemuda itu terjaga.... 

Jam loceng berdering dan tingkap masih terbuka. Jam 3 pagi. Ketul hitam sudah keluar, cahaya pula ingin mengisi. 

Soalan tadi masih lagi difikirkan berulang kali dan nafas dia terhenti.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris