#73: Satu Bab Dalam Kamar Fikir
20260217, Selasa
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Bagaimana keadaaan semua orang? Mudah-mudahan semuanya dalam 'afiyat sentiasa.
Dalam dunia ini, semua orang berhadapan dengan cabaran masing-masing. Cabaran yang telah ditentukan oleh Tuhan mengikut kemampuan diri masing-masing. Kalau kita katakan hidup ini satu perlumbaan sudah pasti akan timbul persoalan.
"Dimanakah garis penamatnya?"
Setiap orang berjalan di atas garisan yang sudah ditentukan. Setiap orang mempunyai jangka hayat yang mungkin berbeza. Setiap orang mungkin akan menjadi lebih baik sekiranya diberikan peluang.
Hidup Orang Berada
Sejak beberapa hari ini aku melihat paparan media sosial khusunya di Tik Tok. Bagaimana sebenarnya kehidupan orang yang 'kaya' itu?
Makna kata, bagaimana mereka melihat sesuatu perkara itu seperti amat mudah untuk mereka capai. Ada yang memandu kereta mewah, ada yang berbelanja tanpa perlu hiraukan jumlah yang perlu dibayar, ada yang makan dan minum sesuka hati pada harga yang tidak mampu dijangka oleh marhaen.
Ada pula aku melihat orang yang setiap hari bertukar baju bak pameran di butik-butik ternama. Tidak kurang juga yang mempamerkan kemegahan dan kekayaan di samping mengajak orang-orang turut sama seperti mereka.
Aku melihat ada yang menayangkan kereta-kereta mewah. Pakaian berjenama. Peranti canggih. Rumah yang besar dan serba lengkap. Orang gaji yang ramai.
Kekayaan Dan Perjajian Setan
Aku menonton satu klip video sebuah audio siar (podcast) yang meneceritakan bagaimana orang kaya mendapat kekayaan dengan melakukan perjanjian bersama syaitan. Panel mengatakan berdasarkan pemerhatiannya dan pengalamannya sebagai seorang penulis kolum misteri dan seram, perjanjian yang ditawarkan oleh syaitan akan berkisar begini.
"Kau boleh dapatkan segala kekayaan dan kemewahan. Segala apa yang kau inginkan kau boleh dapat. Namun, disebalik semua perkara yang kau dapatkan kau akan hilang satu benda iaitu bahagia"
Aku tidak mengatakan semua orang yang kaya dan berada itu berjanji dengan setan. Aku cuma mahu katakan perkara itu berlaku dan tidak mustahil. Aku juga pernah melihat sebuah babak sinetron yang menceritakan watak tersebut mendapat kekayaan yang melimpah ruah melalui perniagaan kedai makannya. Dia sangat kaya sehingga setiap hari, perniagaannya semakin maju dan laris.
Syarat yang dia perlu penuhi ialah tidak boleh solat dan tidak boleh menunaikan zakat. Sekiranya melanggar syarat dia akan berubah menjadi monyet dan segala kekayaannya akan hilang. Walaupun didesak oleh ibunya sendiri dia tetap tidak berubah. Ketika mencari calon isteri, semuanya ditinggalkan hanya kerana wanita-wanita itu mengajaknya solat.
Si Miskin Yang Sombong
Ada juga sisi lain, aku melihat si miskin yang sombong. Sombong ini banyak tafsirannya. Ada yang beranggapan sombong itu apabila seseorang berjalan mendabik dada dengan kemewahan. Ada juga yang beranggapan seseorang itu sombong apabila mereka tidak bersedekah.
Cuma, kali ini aku mahu tampilkan dua konteks sombong. Satu orang yang tidak mahu berdoa, dan kedua orang yang tidak mahu berselawat.
Allah SWT berfirman dalam melalui surah Al-Ghafir, ayat 60 yang bermaksud:
"Dan Tuhan kamu berfirman: 'Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina"
(Al-Quran, Ghafir 40:60)
Ramai orang yang tersilap memahami apabila disebutkan kata kaya. Tafsiran kaya dalam setiap uslub itu berbeza. Jika kita melihat dari uslub Tauhid, kaya itu ialah sifat Tuhan yang bermakna tidak bergantung kepada sesuatu yang lain, manakala miskin/fakir ialah sifat makhluk iaitu sangat berkehendak kepada yang lain. Oleh hal yang demikian, tok guru selalu pesan sebagai sempadan yakni tiada manusia yang kaya. Manusia banyak duit itu ada. Manusia kaya? Mustahil!
Apabila kita sedar tentang hakikat ini nescaya tidak akan timbulnya isu bahawa berlakunya kesombongan kerana mahkluk itu sendiri tidak mampu untuk bertindak sombong. Sombong itu sendiri ialah pakaian bagi Tuhan. Tidak sepatunya seorang hamba merampas pakaian Tuhannya. Bak kata orang bahari, tidak sedar diuntung sudah diberi makan meminta lagi pakai.
Kedua, orang yang tidak berselawat kepada Nabi SAW. Lafaz hadis tidak menyebut sombong akan tetapi menyebut bakhil. Bakhil yang juga merupakan salah satu sifat mazmumah dalam peribadi seseorang yang perlu dihindarkan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah bersabda yang mafhumnya:
"Orang yang bakhil ialah orang yang apabila disebutkan nama aku, dia tidak berselawat ke atas aku"
(Riwayat Ahmad, No.1645)
Menjadi Jutawan Adalah Satu Eksplotasi
Kesimpulan
Secara keseluruhan, aku rasa penting untuk kita pastikan bahawa agama ialah punca kepada kehidupan yang berkat. Allah SWT mungkin boleh memberikan pelbagai kenikmatan kerana Dia Maha Kaya. Persoalannya, adakah dengan apa yang kita dapat itu lebih mendekatka kita kepada Allah dan Rasul atau tidak?
Ulasan
Catat Ulasan