#64: Di Sebalik Segala Yang Aku Kata Tidak Mengapa

 



20260205, Khamis

Assalamualaikum, hai dan selamat sejahtera.

Memori dan Kenangan, atau ada orang sebut Masa Silam. Ada juga yang sebut Episod Lama atau Kisah Silam yang ingin dilupakan. Namun begitu sejauh manakah kebenaran bagi setiap istilah yang dipegaang oleh sesorang bersifat benar atau menghampiri kebenaran ? 

Aku mengambil senaskah tebal yang terletak kemas di rak buku. Sebuah naskah yang jarang dibuka dan tidak pernah terniat untuk mengkhatamkannya melainkan hanya mencedok-cedok jika perlu. Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) mendefinisikan:

Memori (205:1016) - kenangan, ingatan, bahagian di dalam komputer yang menyimpan maklumat
Kenangan (2015:738) - apa yang dikenangkan atau yang timbul (terbayang) dalam ingatan, hal (daya atau kemampuan) mengenangkan atau mengingati sesuatu

Aku menilai lagi rangkai kata yang lain. Aku berpendapat sebegini:

Episod Lama - Suatu bahagian hidup atau peristiwa yang telah berlaku pada masa lalu
Kisah Silam - Kejadian atau perkara yang berlaku pada masa lepas yang tidak ingin dikenang lagi

Di sebalik semua definisi dan tafsiran, semuanya tetap menjurus kepada sebuah keadaan di mana seseorang ingin atau tidak untuk melihat kembali. Kata kuncinya, masa lepas. Suatu zaman yang tidak dapat untuk diulang kembali. 

Sedang aku menaip, halwa telinga aku masih tidak lepas daripada lagu Bila Cinta. Cuma kali ini, lagu itu aku dengar versi nyanyian Gonebloom. Ilustrasi pokok dengan langit kekuningan yang bersempadanan dengan langit awal malam dalam video lirik nyanyianya itu seolah-olah menarik aku kembali untuk terus berada dalam sebuah kotak yang tidak dipengaruhi oleh waktu dan masa sekeliling. Vakum masa? Kotak Memori? Mungkin, Pita Filem yang terus berulang? Aku tidak pasti.

Apabila aku mula memandang kembali kepada perkara yang lepas, sudah pasti jika perkara itu menggembirakan; aku ingin kembali dan mengulangnya sekali lagi. Jika sebaliknya, sudah pasti raut wajah akan berubah seperti itulah kali terakhir aku ingin membuat perkara itu lagi.

Beberapa hari lepas, perbincangan bersama rakan sekelas aku yang menjengah minda membangkitkan sebuah persoalan yang aku fikir sudah menjadi antara pondasi utama aku dalam melihat sebuah pembinaan latar memori. 

Jika aku tidak salah, kami berdua bersetuju bahawa wangian atau bau, lagu, tempat bahkan orang, akan dapat merangsang memori lama. Lebih-lebih lagi, jika perkara itu telah berlaku. Aku memberitahu gadis itu, bahawa sesungguhnya aku sangat gemar bertemu dengan orang yang baru dikenali di tempat yang baharu. Seandainya aku ingin berjumpa kembali dan mungkin tiada mungkin pertemuan itu berlaku lagi; setidaknya aku boleh hadir semula ke tempat kami pernah berjumpa. 

Aku sendiri gemar untuk kembali ke tempat-tempat itu. Aku mungkin tidak dapat berjumpa semula mereka yang pernah aku duduk sekali berkongsi tawa riang dan senyum mesra. Secangkir kopi hitam berais dan sepotong kek aku fikir, cukup untuk sekadar merangsang kembali Kenangan itu. 

Ada juga beberapa kes di mana aku sendiri memilih untuk menjauhi tempat-tempat tertentu sedaya upaya agar aku tidak perlu lagi melihat Kisah Silam itu. Pokonya, bukan kerana tidak mahu, akan tetapi sebuah keadaan di mana aku terlalu terikat akhirnya akan merantai aku daripada terus berkembang dengan lebih maju. Aku fikir itu bukanlah satu perkara yang adatif. 

Bahkan, pada sesetengah waktu. Mengisi petrol ke dalam tangki pacuan dua roda dan berkeliling seluruh daerah ini juga cukup untuk menghadirkan sebuah kotak pelarian yang ringkas. Duduk di dalam pacuan empat roda dengan radio terpasang. Ruang kecil berhawa dingin yang diparkir di bawah pokok di kawasan taman rekreasi. Menaiki tren bermula dengan stesen pertama ke setesen terakhir dan seterusnya kembali ke stesen pertama semula. Sepanjang perjalanan di dalam tren hanya mendengarkan segala lagu galau dan lagu-lagu yang memicu kesedihan lantaran kepatahan yang entah ke berapa kalinya melalui fon telinga. 

Hijrah rasa atau pelarian sementara?
Merentas emosi atau sekadar membuang masa?
Mengubati luka atau sekadar menoreh lebih dalam?

Apabila semua daya yang kita zahirkan telah habis umpama seluruh gudang yang kebakaran dan mengahanguskan bukan saja jerami bahkan segala jentera mesin yang kau ada, bagaimana kau mahu bangkit semula? 

Kerundungan yang dipicu oleh sebuah rasa patah atau rendah, seringkali membentuk sebuah lingkungan yang mengawal diri daripada mula melangkah keluar. Sejauh mana diri yang telah rapuh mampu untuk kembali berdiri megah mendabik dada dalam sebuah bulatan yang hanya kedua kakinya mampu berdiri? 

Bukankah dia sepatutnya dibiarkan terbuang dalam bulatan itu sambil melihat kepada sisa dan abu yang telah menjilat rakus segala simpanan yang telah dia bina selama bertahun-tahun. 

Jika jerami yang musnah, jentera masih boleh digunakan untuk menebus kembali. 
Apabila jentera yang musnah, apakah lagi yang tinggal? 

Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan lagi....

Antara terus berdiri sehingga kedua kaki itu longlai dan akhirnya menyembah bumi dalam keadaan sekarat atau mula untuk melukis kembali bulatan itu dengan tangan hina ini.

Bukankah semua perkara yang berlaku ini adalah kesan dan hadiah yang aku terima asbab daripada tindakan aku sendiri?

Kebakaran gudang yang telah hangus tadi perbuatan anasir luar atau sebenarnya aku yang menyalakan beberapa batang mancis kerana kedinginan dengan cuaca awal tahun ini?

Aku meninjau semula ke istana yang megah jauh di dalam. Ribuan kamar yang tersedia dan setiap insan yang menanti aku untuk hampir ke kamar mereka. Mereka tidak berharap lebih. Sekadar mendengar derap langkah aku di koridor dan wajah aku menjenguk mereka sudah pasti akan membuatkan mereka kegirangan. Aku hanya berdiam di balairung. Seorang diri di atas singgahsana. Para memanda telah lama aku titahkan pulang bertebaran. Tiap-tiap dayang juga akan titahkan beradu lebih awal. Tiap-tiap pengawal aku singkatkan tempoh berkawal. Tiap-tiap panglima aku kurniakan persalinan. Tiap-tiap yang dipenjara aku berikan makanan yang berlebihan. 

Namun di balairung itu, hanya aku. Aku, yang lengkap dengan persalinan kemegahan; yang sekalian jelata berharap pada memakai bekasnya. 

Aku, yang mula membuang hias kepala yang menjadi lambang kepada kedaultan negeri. Aku masih keliru. Apakah istana aku ini sebuah istana Melayu atau istana bergaya Eropah? Istana gaya Jepun atau Korea? 

Apa gunanya gaya istana, jika aku sendiri tidak mampu untuk melangkah ke peraduan sendiri? Bagaimana aku mampu untuk menjenguk semua yang telah menunggu aku di ribuan kamar yang tersedia itu. 

Aku pernah bertitah, bahawa aku tidak pernah melarang mahupun murka kepada sesiapa yang ingin berdiam di dalam mana-mana kamar yang ada di istana itu. Namun aku tegaskan, jangan terlalu berharap bahawa aku akan bercemar melihat mereka. 

Aku meninjau pula di tepian pantai. Kawasan pinggiran daratan yang dipenuhi dengan pasir yang putih, ada juga yang berwarna perang. Ombak-ombak yang menghempas pantai menghasilkan ribuan buih-buih kecil yang akhirnya lenyap ditelan masa. Deruan angin yang berubah bergantung musim, hawa panas dingin dari arah laut ketika siang turut hangat pada waktu malam. Apa yang mereka gelarkan? Bayu laut? 

Sedang di tangah lautan mungkin haru-biru dengan gelombang, aku di sini masih lagi terus berjalan seiiring dengan gigi air masin yang bercumbu dengan ribuan butiran halus. Seakan-akan aku ini hanyalah watak yang sedang menikmati pengakhiran hari dengan merenung jauh ke arah lautan yang tidak bertepian. Rona merah jingga mula menghiasi dada laut apabila mentari mula melarikan diri ke dasar. Sehingga rembulan pula berlari-lari ingin bergantian. Cahaya yang kuning keemasan itu....

Aku tidak pasti bilakah? Atau masih adakah peluang untuk aku kembali duduk di bangku kayu di atas benteng pemecah ombak itu sambil memakai topi jerami keemasan yang dianyam; dan terus melihat dan melafazkan syukur bahawa setidaknya aku telah menjalani sebuah episod yang aku kelaskan sebagai Memoir Seni Kendiri Disebalik Jeriji Rasa yang Tidak Terperi.

Aku rasa cukup sampai di sini dulu hari ini. Sampai jumpa lagi di lain waktu.

Assalamualaikum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris