#60: Dari Pasar Seni ke Taman Melur, Sebuah Nota Ralat
20260131, Sabtu
Assalamualaikum, hai dan selamat sejahtera.
Aku rasa aku tak tahu nak tulis apa cuma... Aku ingin berkongsi beberapa perkara. Hari ini ada beberapa perkara yang menjengah fikiran aku secara drastik dan kritis serta empati?
Kuala Lumpur Alternative BookFest 2026
Aku sampai di Pasar Seni jam 2023. Agak lewat sebenarnya kerana secara amnya hanya berbaki kurang 2 jam sebelum waktu operasi berakhir. Aku merayau di seluruh reruai yang ada. Banyak juga penerbit yang hadir. Aku juga nampak beberapa orang yang aku kenali, bermula daripada sasterawan sehinggalah kepada pemilik rumah penerbitan.
Tahun lepas juga aku hadir, suasana yang sama. Cuma tahun lepas aku hadir jam 3 petang. Malam ini banyak sangat buku. Sudah pastilah tidak semeriah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kan? Keadaan yang boleh dikatakan meriah, cuma tidak banyak diskaun.
Aku tidak mahu pulang dengan tangan kosong, sengaja cari buku-buku yang ada promosi atau dijual secara lelong. Aku berjumpa sebuah reruai. KataPillar Books. Ada bahagian yang menjual buku lelong dengan harga RM10 - RM15. Setelah puas membelek-belek. Aku memilih satu buku. Aku Budak Medik 4.0, Aku berjaya beli dengan harga RM10. Jadilah kan...
Aku-Kau?
Biasalah di Pasar Seni sudah sinonim dengan pasangan muda-mudi yang sedang meluangkan masa berkualiti atau setidaknya mereka berjalan di sepanjang Jalan Kasturi atau makan pelbagai jenis makanan bersempena acara yang dianjurkan di Pasar Seni pada setiap minggu.
Aku duduk sebentar di kawasan parkir motosikal. Sudah beberapa lama, aku mendengar dan memerhati setiap pengujung. Ada pasangan orang putih, orang hitam, orang coklat, orang Melayu, orang Indonesia dan bermacam-macam lagi. Aku fikir itu satu kebiasaan sehinggalah aku memerhatikan beberapa anak muda. Terlihat seperti ingin beredar pulang. Tampak seperti lelaki dan perempuan akan menaiki motosikal yang sama. Anehnya gaya mereka benar-benar seperti pasangan yang mabuk bercinta.
Ironi. Aku mendegar cara mereka memanggil antara satu sama lain.
"Kau ni..."
"Apa pulak? Aku..."
Benar, itu yang aku dengar. Aku mungkin rabun namun aku tidak pekak. Satu lagi sebab aku yakin yang aku tidak salah dengar kerana aku memakai kaca mata aku. Aku akui jika tiada memakai kaca mata pendengaran aku juga akan berkurang seiring dengan kaburnya penglihatan aku.
Aku terfikir, mereka ini pasangan bercinta atau sekadar kawan? Bukan satu pasangan bahkan beberapa remaja yang lain pun sama. Datang berdua-dua lagak pasangan. Aku ingin menelah bahawa mereka suami isteri. Namun hati aku menolak, mustahil pasangan suami isteri begitu setidaknya.... Kemungkinan yang paling mudah, mungkin aku salah dalam membuat kesimpulan.
Kawan? Kawan yang bagaimana? Dahulu ada seorang gadis yang pernah bertanya pada aku tentang kawan perempuannya yang dilihat terlalu mudah membonceng bersama kawan lelaki. Aku rasa benda itu tidak sepatutnya berlaku. Itu bukan sepatutnya yang berlaku. Aku menerangkan yang salah perlu dielakkan, jika benar mendesak gunalah alternatif yang lebih selamat.
Kawan? Adakah itu hanya satu terma yang digunakan untuk menghalalkan sebuah hubungan yang melebihi batas? Adakah istilah itu hanya untuk menutup perasaan dan keinginan masing-masing? Aku-Kau?
Memang Aku-Kau ada dua keadaan yang paling tipis pemisahnya bergantung konteks. Pertama, kerana jarak. Aku-Kau akan dianggap kasar. Kedua, kerana keakraban yang merasakan kata ganti nama diri tersebut hanya boleh digunakan untuk orang-orang yang dekat.
Jika mereka pasangan suami isteri, mungkin ada penggunaan gelaran hormat, kasih atau manja yang pasti akan digunakan. Apabila berlaku begini, aku teringat dengan hadis Rasulullah SAW. Mafhumnya,
"Demi sesungguhnya manusia di kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”
[Riwayat Abu Daud (3688) dan Ibn Majah (4020)]
Pasar Malam
Aku sempat singgah di pasar malam. Sengaja kerana aku ingin membeli sedikit jamuan untuk makan. Sejak empat minggu kebelakangan ini aku selalu hadir ke pasar malam ini. Bertempat di Taman Melur. Aku sampai pada jam 2134. Sudah pasti sudah banyak gerai yang telah tutup. Biasanya aku akan pergi ke gerai yang menjual paru goreng rangup, tapi kali ini aku hadir ke sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis makanan goreng setelah aku selesai tawaf pasar malam itu.
Aku beli kentang goreng dan cendawan goreng. Aku perasan juga satu gerai yang nampaknya seperti perniagaan keluarga. Nampak ada dua orang gadis. Gaya masih bersekolah. Mereka membantu ibu dan ayah mereka berniaga.
Di gerai aku membeli itu pula, seorang wanita mungkin dalam usia 30-an. Ada seorang anak kecil yang mungkin berusia 6 -7 tahun. Wanita itu terlihat sarat mengandung, berdasarkan pemerhatian aku mungkin sudah masuk third trimester. Aku berlalu selepas selesai membayar.
Beberapa langkah berlalu, terdengar wanita tadi memarahi anaknya itu. Aku sengaja berpaling. Aku berasa sayu. Bagaimana tidak? Mereka berniaga, perniagaan ada naik turun. Perniagaan ada jatuh bangun. Mungkin juga si ibu sudah terlalu penat. Tambah-tambah anaknya itu bising dan asyik merengek.
Aku berkata dalam hati.
"Susah juga ya apabila perlu membesarkan anak sambil mencari rezeki"
Aku menapak perlahan menghampiri motosikal yang aku parkir. Aku teringat sebelum keluar, Ummi ada minta aku belikan roti. Aku berjalan ke sebuah kedai runcit yang berdekatan. Aku beli sebuku roti putih degan harga RM4. Dahulu, harganya tidak setinggi itu. Sudah pasti harganya meningkat.
Aku bertolak balik ke rumah dan masih lagi berfikir.
Aku Macam Kenal Budak Itu?
Semasa aku menunggang motosikal menelusuri jalan-jalan taman perumahan aku berhenti di persimapangan. Sengaja aku ingin bersantai, tidak mahu mengharungi jalan besar. Aku terlihat seorang gadis yang aku kenal sedang membonceng motor dengan seorang pemuda. Di belakang mereka sebuah kereta. Terlihat dari senyuman mereka seperti kawan-kawan yang sedang bermain kejar-kejar, cuma menggunakan kenderaan.
Baru setengah jam tadi aku bercakap isu "kawan" itu. Sekarang aku terus nampak dengan mata aku sendiri. Aku tahu fasal keluarganya. Tidaklah begitu kenal, cuma tahulah. Aku juga sedar yang gadis tadi itu belum berkahwin namun tindakan dia membonceng motosikal pada jam hampir 2200. Apakah itu satu tindakan yang tidak wajar dipersoalkan? Aku menjadi ralat.
Orang akan kata, jangan sibuk tepi kain orang. Mungkin mereka lupa, kadang-kadang kain mereka yang menghalang laluan kita mahu berjalan. Orang kata jangan sibuk menghakimi orang, sedangkan Tuhan suruh kita perhati dan bermusabah. Orang kata segala benda yang berlaku tanggungjawab masing-masing. Jaga anak sendiri. Aku separuh bersetuju. Jika benar apa yang dikatakan, sungguh hiduplah seorang diri dan jangan bermasyarakat.
Aku tinggalkan dengan satu persoalan pasti lebih baik untuk kita berfikir bersama.
"Agaknya, kalau semua orang boleh berbuat sebebas hati tanpa ada aturan dan moral, mungkinkah agama itu hanyalah permainan politik dan di bawah pengawalan peribadi? Manusia tidak sempurna, namun kita perlu bersama-sama menghampiri kesempurnaan"
Aku rasa itu sahaja untuk kali ini. Sampai jumpa lagi!
Assalamualaikum!
Ulasan
Catat Ulasan