#76: Yang Dirindukan Menjelang Ramadan

 

20260220, Jumaat

Assalamualaikum dan hai. Selamat Sejahtera!

Bagaimana Ramadan kalian setakat ini? Pasti sudah banyak perkara yang berlaku. Setelah aku beroleh kesedaran beberapa tahun yang lalu, setiap kali menjelang Ramadan sudah pasti memori lama akan merangsang perkara-perkara yang telah aku lakukan pada Ramadan yang lepas-lepas. Pada hari ini, aku telah teringat beberapa perkara yang aku fikir boleh untuk aku kongsikan bersama. 

Solat Terawih

Jika aku hendak imbas kembali pada tahun-tahun yang lalu lebih khusus bermula tahun 2022 setelah tamat peperiksaan SPM dan aku sedang bekerja. Aku bekerja pada waktu malam bermula jam 0200 sehingga 1000. Terkadang aku dan rakan sekerja bersahur di kedai mamak yang berdekatan.

Disebabkan waktu kerja yang begitu, aku tidak begitu menekankan kepentingan terawih. Mungkin sebab penat dan sebagainya namun mungkin juga sebab aku masih belum benar-benar mendapat pencerahan?

Aku mula untuk lebih tekun dengan solat terawih pada tahun 2023 ketika berada di tingkatan 6. Tahun 2024 aku sekali lagi cuba untuk konsisten. Tahun 2025 seperti entri sebelum ini aku berjaya laksanakan niat aku untuk menghidupkan sepuluh malam-malam akhir ganjil dengan hadir ke masjid-masjid besar. 

Seingat aku aku bukan tidak mahu, namun sudah gayanya manusia. Sudah pasti tiada juga seperti malaikat Saban tahun berlalu aku cuba untuk tidak mensia-siakan setiap peluang yang aku ada ketika bulan Ramadan. Aku mungkin tidak mampu untuk menjadi yang terbaik seperti para alim dan arif, namun begitu aku fikir ada baiknya buat semampu mungkin berbanding tiada langsung mencuba. 

Tazkirah Ramadan

Sudah menjadi kebiasaan di mana-mana surau atau masjid untuk memberi sesi tazkirah kepada jemaah selepas solat terawih. Aku teringat pada tahun-tahun lalu khususnya ketika tahun 2023. Menjadi seorang pelajar tingkatan 6 yang penuh jadual seharian seawal jam 7 pagi. Pada waktu tazkirah aku akan bersandar di tiang dan banyak kali aku terlelap. 

Aku fikir itu satu perkara yang lucu apabila difikirkan semula. Aku berfikir pada waktu itu.

"Apa salahnya aku berdiam sebentar di dalam majlis ilmu? Setidaknya aku masih mendapat naungan pengampunan"

Ada juga ketika apabila aku bersembang dengan rakan di luar dewan solat sedang ustaz masih memberi tazkirah di dalam. Menjadi seorang pelajar STPM bukanlah sebuah perjalanan yang mudah (kata orang-orang). Aku menjadikan waktu yang ada itu sebagai satu wadah untuk berkongsi tentang pelajaran dan perkembangan diri. Meskipun aku dan kawan aku itu satu kelas, sebaik saja loceng tamat sesi persekolahan berdering semua akan bersurai. Tidak ramai yang akan kekal di sekolah seperti aku sehingga lewat petang. 

Kembara Masjid

Tahun lepas aku mulakan satu projek kecil yang bernama Masjid Hunter. Aku akan pergi ke surau atau masjid yang belum pernah aku pergi untuk solat jemaah. Tidak terhada kepada solat terawih, aku juga pergi pada waktu Asar dan Isyak. 

Tahun ini aku masih tidak nampak apakah aku akan mengulangnya sekali lagi. 

Bersahur dan Dua Rakaat Sebelum Subuh

Aku fikir tidak semua orang diberikan peluang untuk mendapat pencerahan. Bukan semua orang mampu untuk buat dua rakaat ketika waku sahur. Bukan semua orang dapat berdiam dan menarik butir-butir tasbih apabila ramai yang hanya makan dan kemudian tidur semula. 

Aku bukanlah orang yang begitu pandai aku juga bukan orang yang begitu faham. Namun aku fikir sangat beruntung orang yang dapat melaksanakan perkara itu. 

Bazar Ramadan

Tahun ini aku hadir ke bazar seawal Ramadan ke-2. Memang aku ada niat untuk pergi tapi bukan untuk membeli. Untung saja ada orang yang belanja beberapa hidangan untuk kami sekeluarga. Aku pun tidak begitu faham bagaimana aturan Tuhan dalam penilaian ini. 

Aku fikir ini bukan satu perkara yang besar. Mungkin hanya sekecil semut bagi mereka yang berada. Mungkin juga satu perkara yang sangat menggembirakan pada mereka yang kurang mampu. Benar, mungkin juga....

Sedikit Selingan

Aku tidak pasti apakah aku hanya bermimipi di siang hari atau aku benar-benar telah berlaku yang terpuji?

Aku terhidu satu wangian. Wangian itu sangat aku kenal dan hanya gadis itu yang pernah memakainya pada waktu lepas. Bahkan setiap kali aku menunggang motosikal untuk ke sekolah dahulu, seawal pagi menysur jalan-jalan semoit dan padat dengan kenderaan itu aku terhidu wangian itu. 

Aku tahu wangian itu boleh didapatkan di mana-mana saja sehingga apabila aku terhidu lagi wangian itu kini, aku akan mula melilau. Mata ke kanan dan ke kiri. Mencari-cari mungkin gadis itu berada di sekitar atau lebih mengejutkan berdiri tersenyum di sisi. 

Ya, kisah lepas itu aku masih ingat dan mungkin aku akan terus kenangkan kembali setiap kali deria bau aku tercium wangian itu. 

Kesimpulan

Mungkin aku boleh tutup perkongsian kali ini dengan beberapa persoalan dan juga renungan.

"Adakah jika aku dapat bertemu semula gadis itu, Ramadan kali ini akan jadi seperti Ramadan yang lalu?" 
"Adakah gadis itu yang membuatkan Ramadan lalu lebih ceria atau dia juga yang menjadikan Ramadan tahun lepas aku penuhi dengan segala cara untuk melupakan dia?" 
"Apakah kehadiran aku yang membuatkan gadis itu mula berlari menjauh atau mungkin Ramadan yang menjadi penapis daripada dua orang muda mudi terjerumus ke lembah yang kelam?"

Aku fikir itu saja setakat ini. Sampai jumpa lagi?

Assalamualaikum!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris