#71: Masa Merak Bukan Untuk Gagak Yang Hingar
20260213, Jumaat
Assalamualaikum dan selamat sejatera.
Pernahkah kita terfikir bagaimana ya kehidupan kita jika orang-orang yang sentiasa ada di sekeliling kita tiada? Mungkin ada kerja, mungkin ada hal, mungkin perlu ke luar daerah, mungkin bercuti atau segala yang mungkin?
Setakat pemerhatian aku, aku dapat kenalpasti 3 perwatakan yang secara asasnya mesti ada dalam mana-mana ruang, mana-mana organisasi, mana-mana kelas, mana-mana kelab dan yang seumpamanya.
Contoh situasinya begini, kau ialah seorang budak baharu yang datang untuk belajar di sebuah firma atau pejabat. Kau terpilih dan dilantik kerana portfolio dan keadaan diri kau yang dapat menyakinkan. Dalam situasi sukar begini pasti akan ada orang yang suka dan akan bantu kau untuk tolong faham sistem, orang yang jaga hal sendiri, dan orang yang tidak suka kau ada peningkatan kerana tergugat.
Golongan pertama akan sentiasa mengalu-alukan persoalan dan bantu apabila kau perlu. Mereka tidak lokek dalam berkongsi bahkan akan beri lebih lagi-lagi bila kita tunjukkan potensi.
Golongan kedua tidak akan ambil tahu, tidak kisah dan tidak akan rasa bersalah sekiranya kau dimarahi atau terlepas apa-apa perkara. Golongan ini beranggapan yang mereka tidak perlu beritahu perkara yang mereka rasa kau perlu tahu. Mereka akan minta tolong atau menolong hanya jika sesuatu perkara itu melibatkan urusan mereka. Pendek kata, aku tahu diri aku lepas. Itulah pegangan mereka.
Golongan ketika ialah golongan yang tidak boleh lihat kau berkembang. Mereka seboleh-bolehnya akan timbulkan pelbagai isu dan menjadi penghalang kepada perkembangan diri kau. Mereka akan bantu namun semuanya ada agenda tersendiri. Kadangkala golongan inilah yang paling dikenali dan muda sangat ambil tahu tentang orang lain.
Namun begitu, ketiga-tiga perwatakan itu bukan malar. Boleh berubah bergantung situasi atau keadaan. Boleh jadi G1 menjadi G2. Boleh jadi G3 jadi G1. Boleh jadi G2 jadi G1. Semuanya tidak tetap.
"Masakan pokok bergoyang jika tiada angin tapi mungkin juga bergoyang sebab ada monyet?"
Dalam semua perkara yang aku lalui, aku juga selalu kurang sedar dengan apa yang aku cakap. Aku juga selalu fikir yang akulah yang menjadi punca kepada segala perkara.
Aku lihat ada kawan aku yang berkawan sejak kecil sehingga sekarang. Dengar-dengar mereka berdua sudah bertunang. Mudah-mudahan tercpai niat baik mereka.
Aku selalu terfikir bagaimana ya orang-orang melihat aku?
Seorang yang tegas, bahasa yang kemas, kiasan yang tajam, masa yang amat singkat, dan seorang yang sering sibuk. Aku tidak menafika semua itu. Terkadang aku, tidak pandai. Aku cuma tidak pandai untuk menzahirkan apa yang aku rasa.
Bagi aku semua itu bukan satu perkara yang perlu disebut menggunakan mirofon. Semua itu perlu dilukiskan dengan berus dan warna-warna tertentu yang mungkin hanya aku saja yang tahu. Boleh jadi semua itu akui boleh zahirkan dengan halaman-halaman yang bersusun sehingga kekuningan dengan beberapa bekas dakwat yang telah berkali-kali diisi semula.
Melihat dari persepektif aku secara peribadi, aku melihat masa sebagai satu perkara yang tidak sepatutnya disia-siakan. Apatah lagi masa itu adalah hak orang lain. Masa terlalu mahal untuk aku berikan kepada orang yang tidak tahu untuk menilai.
Aku bahkan merasakan itu satu perkara yang patut aku katakan pada semua orang.
Aku juga seorang manusia, aku juga pernah terfikir untuk mengembara dengan lebih jauh. Setakat hayat dikandung badan aku belum pernah menjejakkan kaki ke mana-mana negara asing. Aku juga sedar kalau itu apa yang aku mahu, mungkin ada lebih ramai yang tidak pernah keluar pun daripada negeri yang mereka diami.
Aku sering melihat orang-orang mula fokus pada diri sendiri apabila nilai atau prinsip mereka tidak dipandang bahkan dihina. Terkdang hinaan yang berbalut puji lebih beracun berbanding hinaan secara terang bak tusukan pedang.
Aku fikir aku ingin tarik diri daripada semua platform, namun aku fikir juga. Aku timbangkan dan aku bolak-balikkan. Semua faktor, kebarangkalian, kemungkinan, premis, dan logik aku sembahkan dan bentangkan dalam kamar fikir yang cetek ini.
Aku tidak tahu apakah kerana seekor gagak yang datang membuat hingar semua merak perlu juga ikut bersorak? Mungkin, apakah jika seorang sahaja yang tertawa melihat orang dibunuh, yang lain juga perlu tertawa dan yang tidak mengambil apa-apa tindakan?
Terkadang aku pun selalu terfikira mungkin aku ini tidak layak pun untuk berkawan dengan sesiapa. Cara fikir aku ialah sebuah perhubungan dimulakan dengan rasa saling menghormati, ketertarikan berurusan, rasa suka dalam pergaulan dan sayang apabila perlu meninggalkan.
Urutan yang sama berlaku untuk setiap urusan bukan hanya sekali. Aku selalu bertegas bahwa fakta bukan emosi, namun emosi boleh jadi fakta.
Jika buat atas dasar emosi sudah pasti orang-orang yang dibenci oleh hakim semuanya akan ke penjara dan semua orang yang bersangkut paut akan dibebaskan.
Begitu juga dalam setiap urusan harian. Melihat daripada persepektif yang lebih luas, bukan siapa yang paling ramai sokongan namun siapa yang paling dekat dengan kebenaran.
Dan kerana itu juga aku tidak berminat untuk menyertai mana-mana pertandingan debat. Di sebalik aku tidak mampu, aku juga tidak berminat untuk berhujah demi sebuah kemenangan. Boleh jadi yang menang bukan sebab fakta dan kebenaran namun kerana kepetahan dan keyakinan.
Entahlah...
Aku rasa sampai situ saja buat masa ini.
Sampai jumpa lagi.
Assalamualaikum.
Ulasan
Catat Ulasan