#69: Kacamata Hitam Itu Mangsa, Seri Maharaja Titah Bunuh Semuanya!
20260209, Isnin
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Catatan hari ini dimulakan dengan petikan lirik lagu Cinta Tak Harus Memiliki nyanyain kumpulan ST12.
Maafkan akuSetulus hatimuKepergian diriku itu bukan keinginankuTerima saja dengan pilihan yang lain dari orang tuamuJangan bersedih dengan keadaan ini
Jika kamu menangis
Aku juga ikut menangis
Terima saja semua ini kulakukan
Untukmu
Sebuah kacamata hitam menghiasi wajah pemuda yang berkumis tipis. Tiada senyuman kecuali segaris. Tiada bicara selain tunggu saja. Tiada refleks selain anggukan. Tiada respons kecuali pandangan dingin. Apakah dia melihat bahawa suasana kamar yang ditengahnya duduk seorang yang memegang tukul kayu itu satu yang perlu diraikan?
Apakah sekalian yang hadir untuk menyokong dia atau sekadar menanti ketukan tukul penentu segala keabsahan hujah dan juga kekuatan sandaran zahir?
Bagaimana jika beberapa halaman yang telah didaftarkan sebagai sebuah yang sah itu akhirnya bukan tercarik tetapi diracik? Apakah hangus segala perkara yang telah dijadikan pada sekalian draf-draf yang telah diusulkan kepada sidang kanan dan kiri.
Semua berdiri. Tua berjubah masuk dan duduk di takhta tertinggi. Dibacakan segala perincian. Dijemput wakil berbahas.
Satu bantahan. Tua membenarkan.
Kata yang kiri, hujahan yang kanan satu sangkaan tanpa sandaran. Tua meminta pengesahan.
Kanan bawa saksi. Sekuntum bunga yang masih mekar ditemani dua lebah yang tampak garang.
Tua membuka lagi medan. Perbahasan semakin rancu. Tegak segala yang hadir. Tiada berkelip. Tiada terlena.
Dia yang berkaca mata hitam hanya lurus pandangnya ke arah bucu kamar. Berharap dan terus berharap bahawa daulat itu segera zahirkan diri.
Tua terlihat lelah. Sidang beradu sebentar namun perlu dikhatamkan hari itu juga.
Di luar dia yang berkacamata hitam berpelukan dengan kerabat daripada Wangsa Hijau. Menyembah, bahawa tiada dia berbuat aniaya.
Segala jajahan Wangsa Hijau mengakui. Adat tetap luhur, menjujung setingga didakap seerat-erat Wangsa Hijau meski bertaut rapat Wangsa Putih. Keduanya perlu setara dalam mematuhi petua si tua berjubah.
Selesai bicara semua. Kembali segala ke dalam kamar. Di pojok kamar itu, kacamata hitam mengerling lagi dan seri daulat itu terzahir sudah. Berkat Wangsa Hijau, Wangsa Putih, Wangsa Agung.
Tua semakin lelah, tercungap-cungap. Tukul dipalu. Pengisytiharan berlaku.
Petua tua dijulang segala yang hadir. Kolam mata si kacamata hitam tiada tertanggung, tumpah dan tenggelam dalam lautan keramaian.
Sunggah seri daulat tiada berdusta.
Itu, satu kisah. Boleh jadi benar boleh jadi tidak.
Apabila aku melihat kepada pantai, mengapa aku tidak cuba berpaling kepada gunung. Apabila aku melepaskan tambatan sampan, mengapa aku lupa untuk meletakkan bekalan?
Kemudian, aku mula untuk mencari lagi bunyi-bunyian yang mungkin untuk menajamkan lagi deduksi. Lara Lagi nyanyian Adira aku perhalusi lagi dengan teliti dan tenaga yang masih berbaki.
Kasih aku hanyalah untukmuTiada lain dalam dirikuTakkan berubahWalau dipisah laut biru
Terdengar laungan tetuang dari hujung negeri menggamat ke udara serata pelosok jajahan. Berangkat segala raja-raja ke istana. Berjaga segala panglima. Das tembakan mengegar pantai. Segala yang berlabuh berkemas lekas-lekas. Ada yang biar tertinggal segala tidak dapat menjadi bahkan sebentuk suasa.
Puteri putera berpersalinan srikanda srikandi mulia. Temgku-tengku dan raja-raja kecil bertitah nyaring. Siaga segala yang ada, pertahankan pantai ini. Jangan biar yang di gunung terpaksa bercemar ke daratan. Pertahankan semuanya!
Seri Maharaja berdiam diri, memandang segala mamanda. Panglima sudah lama mendapat kuasa. Perkenan seluruh raja, pembesar segala jajahan takluk daripada yang darat sehingga ke gunung. Amaran paduka, pertahankan! Jangan sampai puncak gunung kita dilanggar. Kelak segala raja-raja indera murka, sungguh celaka kita segala.
"Bunuh-bunuh semuanya!"
Titah Seri Maharaja dengar lantang dan tegas berdaulat bertitah dengan penuh murka hampir saja sekalian memanda, rakyat jelata tunduk menatap tanah. Tidak ubah seperti Sang Belang yang kelaparan.
Segala 'bangkai' dikumpulkan. Menggunung di hadapan istana. Dimandikan minyak dan dicucuhkan api. Marak-maraklah! Seri Maharaja bertitah lagi, kali ini tertawa, tertawa, tertawa lagi!
Sekaliannya hanya menatap kemudian menyembah muka ke tanah dengan harap tiada lagi yang akan menjadi mangsa.
Tidak juga, bicara sekalain memanda sesama. Segala bangkai itu yang melanggar pantai, sekalian kita hanya mempertahankan dan menjujung titah Seri Maharaja. Kita sepatutnya berbangga kerana terpilih dan berjaya melaksanakan titah dengan sempurna.
Itu juga satu cerita. Masih banyak lagi cerita yang ingin aku sampaikan. Namun sayang, tidak semua manuskrip itu dapat ditransliterasi. Bahkan yang ahli juga setelah sekalian waktu belum mampu untuk memahami.
Aku kira kali ini, aku tamatkan dengan serangakap pantun?
Dari hulu ke muara,
Menarik kail mengikut perahu;
Tulis di buku kini bersuara,
Segala memanda barulah tahu.
Itu sahaja untuk kali ini.
Sampai, jumpa lagi?
Assalamualaikum.
Ulasan
Catat Ulasan