#70: Di Sebalik Buku Yang Terselak
20260210, Selasa
Assalamualaikum dan hai!
Hari ini aku seperti biasa. Tiada apa yang begitu menarik untuk dikongsikan selain daripada hilang arah yang masih tidak menentu, pandangan yang makin kabur, balairung yang masih berselak, dan mungkin keadaan pantai yang masih kacau bilau pasca pertempuran.
Aku teringat satu buku yang aku pernah baca tahun lepas. Buku terbitan Iman Publication, Lebih Baik Pendam Saja tulisan Mimie Rahman & Syahira Rohami. Bak angin menerpa tepung yang dijemur, semuanya terasa berhamburan dan tidak pernah dijangka.
Sebelum fajar sadiq menerangi alam, motokar sudah dipandu merentasi segala merahnya lampu isyarat yang terpapar, jalan-jalan lengang namun fikiran dan tangki rasa kian bergolak. Laluan sedikit jauh dipilih agar mudah nanti untuk parkir pacuan empat roda yang sudah banyak berjasa.
Aku juga menyeru pada langit yang terbentang luas. Pada setiap detik yang masih kelam, menyelimuti alam sebelum sinar mentari mula menjadi lampu kehidupan yang menggerakkan pekerjaan seharian. Pemuda itu termangu. Wajahnya datar, tiada riak yang jelas, bibir bertaut kemas segaris yang, tiada deduksi tepat tentang apa yang melanggar istana. Hanya satu telahan yang mungkin, sempadan pantai yang masih bertebaran abu bangkai semalam telah mencerap satu lagi armada dari arah Barat. Bahkan, tiada juga sebarang das kehormatan dilepaskan.
Sementelah itu, Seri Maharaja terlampau gering. Dipanggil sekalian memanda mengadap, segala panglima berlengkap senjata, sekalian pendeta memegang pena, sekalian penglipur lara membaca hikayat-hikayat lama, semuanya dipanggil berhimpun setelah melepas lelah. Titah baginda, jangan sesekali melepaskan batok di tangga.
Dalam buku yang aku baca itu, ada 5 bahagian jika aku tidak salah. Buku itu, gaya penyampaiannya sama denga buku yang aku baru habiskan pembacaan beberapa hari lepas. Terbitan Iman Publication juga. Judulnya Susahnya Hidup Dengan Manusia karya Akif Basri & 'Asim Hatta.
Kedua buku itu disampaikan dalam dua bahagian. Bahagian pertama penyampaian pemhaman melalui naratif. Bahagian kedua, langkah-langkah atau cara yang perlu diambil oleh pembaca atau pihak yang perlu. Jidar halaman bagi buku-buku itu agak besar. Buku akan jadi tebal namun kandungan per halaman akan menjadi inti pusat pada setiap halaman.
Sebenarnya, aku ada juga berfikir untuk membuat pelbagai kembara. Mungkin kembara yang paling dekat, kembara ke beberapa taman tasik. Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Ampang Hilir, Taman Tasik Putrajaya, Taman Tasik Taiping, dan pelbagai lagi. Orang-orang mungkin akan berfikir bahawa aku ini tidak menjadi seorang yang realis, bahkan akulah seorang yang realis dan idealis. Mungkin, apa yang berlaku di lembah sungai sangat berbeza dengan apa yang berada di pesisir pantai.
Tukang-tukang di limbungan juga sudah berhempas pulas, batang-batang pisang yang didirikan juga sudah penuh dengan segala tusukan. Api-api di kawasan muara juga sudah semakin lelah menahan hempasan ombak. Mungkin, apa yang berlaku bukanlah sebuah pertempuran sebenar, akan tetapi hanya kibaran panji salam perkenalan.
Sekalian datang bekerumun, gong dipalu bertalu-talu. Tetuang ditiup berlama-lama. Obor dinyalakan sebanyak-banyaknya. Jika ingin digambarkan, teringat sirah apabila sengaja obor banyak dinyalakan untuk mnegelirukan musuh yang sedang membuat intipan di kubu. Panji-panji Seri Maharaja dikibarkan, panji-panji raja-raja kecil, pembesar-pembesar daerah, dan segala ketua kaum semunya dijulang. Selautan tampaknya seperti panji diraja yang menjadi Jong megah melayari lautan panji-panji.
Kali ini, biarkan beta sendiri yang bercemar duli. Titah baginda mendapat tentangan. Tentangan kasih daripada sekalian jelata. Apakah baginda tiada percaya kepada kami sekalian memanda, panglima dan jelata.
Tersenyum baginda, hias kepala dilepas. Kain lepas pula diliit sekemasnya. Zirah warisan dikeluarkan, dibalut tubuh dari ulu sehingga ke hujung. Kuda-kuda pujaan dibiarkan berlari sekeliling jajahan, memanaskan otot-otot dan bersedia membuat rempuhan.
Titah baginda, adapun barang daripada tiada itu ada, dan barang daripada ada itu tiada.
Aku kira ada satu lagi buku yang aku mahu petik juga kali ini. Novel yang aku sedang baca. Terbitan Rumaa Books (sebuah imprint Iman Publication). Tajuk novelnya, Bila Cinta Dikhianati Keluarga karya Alia Husna. Baru terbit, Januari 2026.
"Semua orang ada masalah, tapi memilih untuk menanggung segala kesakitan seorang diri tanpa berkongsi hanya akan melumpuhkan diri. Awak tak akan selama-lamanya gagah. Ada hari, awak mampu. Ada hari, awak buntu. Ada hari, awak gembira. Ada hari, awak terluka. Kita tidak akan sentiasa berada di atas. Ada kalanya, Allah uji sampai kita jatuh terduduk. Betul?"
(Alia Husna, 2026:136)
Meninjau dari puncak gunung, raja-raja indera sekaliannya mula bersiaga. Borak dan segala haiwan sakti ditambat di tepi gerbang. Panah dan juga lembing kesaktian segalanya diasah lagi dan lagi. Sayap-sayap dijahit berlapis-lapis, mahkota disimpan di dalam kamar rahsia. Melihat sungguh Seri Maharaja bertitah penuh wibawa. Tidak mungkin pemerintah di gunung akan berdiam sahaja.
Aku rasa sampai situ dulu hari ini.
Sampai jumpa lagi.
Assalamualaikum.

Ulasan
Catat Ulasan