#72: Penjaga Taman Larangan dan Pemuda Penjual Ubat

 


20260214, Sabtu

Assalamualaikum, hai dan selamat sejahtera. 

Aku fikir ini bukanlah satu perkara yang aku perlu besarkan, namun aku fikir perkara ini menarik untuk aku lakarkan. 

Ada yang bertanya pada aku beberapa soalan yang mungkin menimbulkan inkuiri pada penglihatan mereka.

"Mengapa kau selalu lebihkan perempuan?"
"Mengapa kau tidak bergaul dengan lelaki?" 
"Mengapa kau selalu ambil gambar dengan perempuan?"
"Kau tak pernah pos gambar dengan lelaki pun, asyik gambar dengan perempuan je?

Ada banyak lagi persoalan yang lebih kurang sama atau menjurus perkara yang sama. Aku fikir adalah baik untuk aku bincangkan. 

Satu, aku lelaki dan keperibadian aku secara amnya banyak berfikir secara logik dan penyelesaian masalah. Aku tidak gemar jika aku berhadapan dengan seorang lelaki namun main-main lebih banyak berbanding perempuan. Jika perempuan, main-main untuk mereka itu satu benda yang biasa, namun untuk lelaki? Apakah tidak ada cara lain?

Dua, ada yang timbulkan persoalan layanan aku terhadap wanita dan lelaki berbeza. Sudah pastilah berbeza! Apakah seorang ayah akan biarkan anak lelakinya menjadi seorang yang lembik? Anak gadisnya jadi seorang yang tiada nilai-nilai kewanitaan? Jika dengan perempuan pasti aku akan bercakap dengan menghubungkan rasa dan emosi mereka. Jika dengan lelaki apakah bermakna aku tidak mengiktiraf perasaan mereka, sudah pasti tidak. Lelaki tidak diberikan ruang untuk menzahirkan rasa dan emosi secara terus namun mereka tahu bahawa setiap gerak tubuh dan hembus nafas itu banyak menyimpan banyak perkara.  

Tiga, aku memang sering bergambar dengan perempuan. Rakan-rakan dan juga kawan-kawan perempuan. Aku sedar hanya pada waktu ini aku ada peluang untuk bergambar dengan mereka, merakam sebuah kisah, mengarang sebuah puisi hidup, melukis sebuah karya kayangan dan melepaskan sebuah keluh yang dalam. Mengapa? Diri wanita itu selembut sutera namun hati mereka sedingin salju walaupun mereka terlihat hangat. Perempuan akan terikat apabila dia sudah bertunang apatah lagi berkahwin. Oleh hal yang demikian, aku suka untuk mengabadikan sedetik ruang dalam kehidupan bahawa aku pernah mengenali mereka dan berkawan atau beramah mesra dengan mereka. Semuanya berbalik kepada satu perkara yang utama. Masa.

"You can't control time, but you can freeze the memory"

Keempat, aku suka jika ibu bapa rakan atau kawan perempuan aku tahu fasal aku supaya aku tidak menjadi pertikaian di masa yang akan datang. Aku hanya orang yang pernah singgah dalam sekelumit waktu dan nama aku pernah terlakar dalam lembaran hidup mereka. 

Jadi, aku sudah fikirkan sedari awal. Aku memerlukan apa yang mereka ada. Emosi dalam pertimbangan. Rasa dalam membuat keputusan, dan intuisi yang rapat dengan keadaan. 

Dahulu ada juga yang menggelarkan aku kasanova. Pada awalnya aku fikir itu satu hinaan. Seiring waktu berlalu ternyata itu satu tohmahan yang bermula dengan pengamatan semata-mata tanpa melakukan semak silang. 

Aku pernah katakan bahawa seadainya semua kawan-kawan perempuan aku itu berkahwin sudah pasti aku akan tumpang gembira. Satu demi satu. Semuanya sudah mula untuk melangkah lebih jauh dan mengikat janji bersama yang insan yang disayangi. 

Terkadang kita sebagai manusia, sudah pasti akan ada yang tertarik. Aku lebih gemar mencipta satu keadaan yang agak rencam supaya tiada siapa yang berani dekat dengan aku. Budak-budak TikTok kata,

"Aku bina sebuah tembok agar orang tidak boleh masuk tapi pada akhirnya aku tidak boleh keluar".

Aku tidaklah sedangkal itu. Aku tidak bina tembok kerana aku seorang yang terbuka. Aku lebih suka untuk analogikan begini. 

Aku memiliki sebuah istana yang ada ribuan bilik. Pada tiap-tiap satu bilik ada penghuninya. Aku tidak keberatan untuk membenarkan sesiapa pun untuk mendiami mana-mana bilik yang kosong. Namun jangan meletakkan harap yang aku akan berkunjung kerap kali. Ada bilik yang aku hanya jenguk dan tidak masuk. Ada bilik yang aku masuk bahkan tidak keluar dalam tempoh yang lama. Ada juga yang aku masuk ke sebuah bilik namun seterusnya memilih untuk pergi. 

Itu hanyalah istana yang dipenuhi ribuan bilik sedangkan yang paling benar ialah mereka yang aku jemput untuk hadir bersama aku ke taman larangan di pinggir istana. Di sana aku telah sediakan segala hidangan dan pelayan. Tidaklah seindah syurga Tuhan, namun cukup istimewa dibandingkan dengan istana. 

Satu analogi lagi. Aku ialah seorang penjaga taman larangan. Di sana ada ribuan bunga. Akulah yang menyiram, membaja dan melindungi semuanya daripada serangan kumbang perosak. Jika ada yang ingin memetik aku akan melarang, namun jika ada yang ingin menyunting aku akan persoalkan dan menasihati persediaan dan alatan apa yang mereka perlukan. Namun di sebalik banyaknya bunga yang aku jaga, ada satu bunga yang aku rawat secara peribadi. Aku letakkan di dalam pasu, siram setiap pagi dan petang. Aku melihat bunga itu terakhir sebelum masuk tidur dan pertama setiap kali terjaga. 

Cukupkah dua analogi itu?

Mungkin sebelum tamat, suka untuk aku sampaikan sebuah kisah. 

Ada seorang pemuda yang kerjanya menjual ubat. Pada setiap ubat ada pantang dan larangnya. Bukan semua ubat sesuai untuk semua yang datang. Pesakit juga ada banyak ragam. Ada rerama yang koyak sayap, ada arnab yang patah kaki, ada ular yang kembung perut, ada monyet yang patah tangan dan ada gajah yang sakit kuku. 

Pemuda itu bukan seorang doktor namun semua yang datang percaya, dia boleh meringankan dan membantu mengurangkan rasa sakit sebelum ke hospital. Jadi, adakah pesakit itu yang salah atau pemuda itu yang perlu dipuji?

Aku rasa sampai situ dulu kali ini. Sampai jumpa lagi

Assalamualaikum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris