#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda
20260203, Selasa
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
Menilai daripada sudut yang lain, melihat dari perspektif yang berbeza. Hari ini aku hadir di kampus. Aku duduk di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL). Minggu ini tiada keperluan sebenarnya untuk aku hadir, memandangkan semalam aku sudah berjalan sampai ke Seremban.
Aku hadir untuk membantu dan berkongsi sedikit pengetahuan bersama rakan sekelas aku. Aku fikir tidak sepatutnya aku biarkan mereka terlepas dan hanyut tanpa ada panduan dan bantuan. Mengikut perancangan, aku akan bertemu pada jam 0900 sesuai janji temu yang telah dimasukkan dalam kalendar. Aku hadir di tempat yang telah dijanjikan, namun tiada pula sosok gadis yang berkenaan.
Tidak ingin membuang masa, aku mengambil tempat di ruang berhawa dingin. Mungkin, dia tertidur. Memandangkan dia juga berpuasa hari ini. Aku tidak begitu suka mengganggu orang-orang yang sedang berehat. Aku mengambil peluang itu untuk meghabiskan pembacaan pada sebuah buku yang aku beli pada 2 minggu yang lalu. Tajuknya, Rihlah Ilmu Imam Asy-Syafai’i (2024).
Aku menyambung pembacaan dan setelah beberapa ketika gadis tersebut menghadirkan diri. Sempat aku mengkhatamkan bacaan buku itu. Sebuah buku yang aku kira menjadi satu dokumentasi yang mudah untuk seseorang mendapatkan gambaran asas bagaimana perjalanan Imam Asy-Syafi'i dalam menuntut ilmu. Zaman kini, menuntut ilmu begitu mudah, taip sahaja dalam Internet segala maklumat dan pengetahuan sepantas kilat boleh didapatkan. Kurangnya di mana? Penghargaan terhadap penyimpan dan pewaris keilmuan.
Aku selalu bercakap pada orang-orang, rakan, kawan dan saudara-mara;
"Ketahuilah ilmu ada pada orang, bukan pada kertas dan buku. Buku itu hanyalah wasilah, medium penyampaian maklumat. Manusialah yang mengambil manfaat, menyerap segala maklumat, mendapatkan segala pengetahuan dan memprosesnya untuk dijadikan sebuah hasil keilmuan."
Bahkan, perkataan aku itu sendiri adalah hasil daripada apa yang aku dengar, aku terima dan baca daripada para ulama ulung dan alim-alim besar.
Perbincangan berlangsung sekitar memahami perlambangan dan subteks yang dizahirkan oleh Azizi Hj. Abdullah melalui novelnya Kawin-Kawin (2002) yang sebenarnya menjadi sebuah satira terhadap senario politik yang berlangsung dalam arena politik tanah air pada era 80-an hingga 90-an.
Kemudian, aku bersyarah pula tentang novel Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927). Sebuah novel Melayu awal yang menzahirkan mesej dan visi yang jelas sebagai sebuah panduan kepada masyarakat Melayu pada ketika itu.
Pada awal semester sebenarnya, aku telah memohon pensyarah kami untuk lekas-lekas memberikan tajuk novel untuk dibaca memandangkan pembacaan memerlukan masa yang agak panjang. Pensyarah ada bertanya pada aku tentang keadaan budak-budak lelaki dalam kelas. Adakah mereka ini 'nakal'? Setelah berfikir. Beliau menyatakan novel Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927) sebagai salah satu novel wajib mewakili novel zaman awal. Pada awalnya aku sendiri tidak memahami persoalan dan perlakuan beliau, namun setelah aku membaca sendiri novel tersebut baru aku tahu apa yang beliau ingin sampaikan.
Dr. Hanafi Ibrahim dan juga Sasterawan S.M Zakir telah mengupas kedua-dua buah novel tersebut sehingga dapat difahami sebagai sebuah rakaman zaman yang penting dalam sastera Melayu. Perkara sebegitu sudah pastinya menjadi satu perkara yang agak menghiburkan bagi diri aku sebagai seorang budak yang sangat dahagakan pengetahuan.
Pertemuan dengan gadis rakan sekelas aku ini kemudian diteruskan dengan sesi soal jawab dan perkongsian perkembangan diri. Politik kelas? Sudah pasti akan menjadi salah satu isu yang sering aku bawakan apabila bertemu empat mata dengan mana-mana rakan sekelas.
Aku bersoal jawab dan bertanya soalan kepada gadis itu. Gayanya agak berlainan dengan yang lain. Iltizam dan semangat yang terpancar membuatkan aku tergerak untuk mengiktiraf kedudukannya meskipun umurnya lebih muda berbanding aku. Dia mempuyai matlamat, misi dan visi yang agak memberangsnagkan. Meskipun di peringkat pengajian prauniversiti, dia tidak terdedah dengan bahasa dan kiasan yang mendalam kerana dia lebih dekat dekat pernomboran dan imbangan yang tepat; dia tetap menzahirkan ketekunan untuk sentiasa menguasai dengan lebih jitu apa yang dia sedang pelajari sekarang. Ya, program Persuratan Melayu.
Melihat daripada cara dia menjawab soalan, laku dia bertegas dengan pendapatnya sendiri dan susun kata yang dia zahirkan. Mengikut perhitungan aku, dia boleh mencapai tahap yang lebih tinggi berbanding sekarang. Dia mengatakan dia sedang menunggu waktu yang tepat untuk menyinar. Aku tidak membantah namun cuba untuk menolak dia agar lebih cepat bertindak. Jangan biarkan perahu terikat lama di jeti, kalau air pasang surut rosak saja dek arus yang tenang.
Sambil-sambil berbincang aku turut menghulurkan komputer riba aku dan memberinya ruang untuk membaca beberapa entri blog aku. Aku rasa dihargai, bukan ramai yang ingin membaca tulisan aku. Sebuah blog peribadi yang aku zahirkan segala rasa, fikir dan langkah yang aku telah karangkan dan lukis atas kanvas usang.
Pertemuan berakhir dengan dia, gadis cerdik itu mengiringi aku ke parkir motosikal. Sudah aku mengarahkan dia beredar dahulu, namun sekali lagi caranya yang penuh takzim itu menzahirkan lagi sisi dirinya yang penuh sopan dan beradat. Setidaknya adat moden kini kerana sudah pasti di zaman bahari perlakuan kami pelajar universiti ini bukanlah satu perkara yang disenangi.
Timbul rasa hormat yang mendalam pada gadis itu, seolah-olah dia sudah hampir setaraf dengan aku dari segi pengetahuan dan caranya dalam menyantuni aku sebagai seorang yang telah berkongsi pengetahuan dan maklumat berkaitan subjek kami.
Ada juga aku menyarankan dia untuk duduk dan penuhkan ruang di hadapan kelas selepas ini ketika kuliah para pensyarah. Saranan aku supaya dia lebih diperhatikan dan dikenali oleh para pensyarah. Bukan semua orang ada keinginan dan kesungguhan untuk belajar bersungguh-sungguh. Aku kira tidak sepatutnya dia melepaskan peluang yang masih ada memandangkan hanya berbaki 3 semester sahaja sebelum kami semua tamat pengajian (Insya-Allah).
Refleksi
Aku sebagai salah seorang pelajar dalam program ini dipandang tinggi oleh kebanyakan budak kelas. Bukan semua, tapi majoritinya (pendapat aku ini sudah pasti boleh dimungkiri oleh sesiapa namun jika hanya tohmahan tanpa pembuktian, apalah gunanya melayan salakan anjing ke gunung) akan bertanya tentang perihal subjek dan pelajaran daripada aku. Aku fikir itu bukanlah satu perkara yang aneh.
Keanehan yang lebih merungsingkan apabila aku ini selalu berasa seolah-olah tidak berguna apabila tidak mampu memberi atau membantu. Aku rasa aku ini tiada fungsi apabila aku tidak bergerak dan memberi input yang baharu.
Sekilas pandangan orang, aku lagakya seperti pohon-pohon tinggi yang dapat dibuat teduh. Hakikatnya, aku hanya pohon kecil yang cuba merimbun dikelilingi pohon-pohon lain yang lebih tinggi menjulang membentuk kanopi bagi menaungi sekalian tumbuhan dan pokok renek seperti aku.
Wah, terlalu tinggikah kias itu? Aku tinggalkan begini dulu. Satu persoalan sudah pasti akan mengiringi berpamitnya para pembaca dari sini.
"Apabila timbul matahari, mengapa bulan pula yang dirindukan sedangkan apabila gerhana ramai pula yang gentar dalam mencari sebuah perlindungan dalam pada ramai yang masih berani untuk bertatapan walaupun dengn sebingkai kaca mata gelap?"
Aku rasa sampai di sini dahulu. Kita berjumpa lagi di lain waktu?
Sampai jumpa!
Assalamualaikum.
Siapakah itu? Tertarik juga kerana hampir selevel dengan kamu
BalasPadamWah, sudah pasti seorang manusia!
BalasPadam