#87: Pecahnya Empangan Rasa

 


20260424, Jumaat

Assalamualaikum dan hai.

Bagaimana keadaan semua? Apakah masih baik-baik saja?

Langit terus menangis semahu-mahunya. Bumi kian meringkuk sehabisnya. Angin berterusan pergi tanpa kenal erti berhenti. Begitu juga, tawa yang terus menerus menghiasi wajah pemuda yang duduk di hujung binaan seni.

Aku tertanya lagi, apakah terdapat satu kepuasan yang sungguh hebat apabila tidak pula sesorang itu berterusan dalam sebuah harapan? Apakah tidak ada sebarang manfaat atau kelebihan apabila seseorang itu mula untuk melukis dengan menggunakan pena? 

Di sebalik berus-berus bewarna, masih ada kanvas putih yang sedia menanti pelbagai garis, lorek dan coret yang entah bila akan terhasil sebuah seni yang mungkin sentiasa berbeza pandang akan tarafnya nanti. 

Gadis itu lebih tenang. Kali ini pertemuan di bawah pohon ceri itu terasa lebih dalam. Lebih, sunyi; atau mungkin lebih kenal. Gadis itu terlihat manis dengan senyumnya yang indah. Meski dia sering berada dalam keraguan, namun dia sentiasa berusaha untuk lakukan yang terbaik. 

Pemuda hadir dengan dua cawan minuman. Satu cawan kopi hitam. Satu cawan coklat suam. 

"Hei, apakah kau baik-baik saja?" 

Pemuda cuba memulakan bicara. Meski, mendung di wajah gadis sudah tidak dapat lagi dilindung oleh awan tawa yang memutih. Coklat suam dihulur dan senyum manis diberi. 

"Apa yang kau akan buat, kalau kau perlu untuk memilih? Antara, menyelam dengan lebih dalam sehingga mungkin bertemu dasar yang kelam atau meneroka dengan lebih jauh permukaan yang luas dan kekal dengan cahaya?"

Gadis itu menunduk. Suaranya agak rendah. Kedua tanggannya memegang kemas cawan coklat suam itu sedang baru tadi jemarinya menggigil. 

Kedunya duduk bersebelahan di bawah pohon ceri dengan satu jarak yang cukup sebagai batas halal ajnabi. Tasik terasa lebih tenang. Matahari kian mendekati ufuk barat. Burung-burung juga mula terbang dalam kumpulan. 

Angin sesekali menyentuh lembut wajah mereka. 

Pemuda berkata,"Mengapa perlu memilih jika boleh buat keduanya sekali? Apabila bermain di permukaan dengan cahaya, bukankah itu lebih baik untuk mengetahui bahagian mana yang dalam dan bahagian mana yang tidak? Menyelam juga perlu setalah kita tahu yang mana tahap cakupan, sudah pasti sudah boleh meanggarkan kedalaman yang mampu sehingga cahaya yang hilang pun bukan lagi satu ketakutan...."

Gadis tertawa. "Kau pasti akan ada ada jawapan untuk semua soalan, kan? Kau siapa sebenarnya?"

Sengaja diacukan jari telunjuk ke arah pemuda, usikan kerana mampu membuat laut yang tadi seperti mahu dilanda gelora kini mulai tenang dengan angin sepoi-sepoi yang meniup layar. 

Pemuda tertawa besar. 

"Aku siapa? Terpulang pada kau untuk anggap aku apa. Kebersamaan itu lebih utama. Aku gembira apabila kau sudi untuk duduk dan bercerita dengan aku. Mungkin kau rasa, aku hanya mendengar tapi bagi aku kehadiran kau bersama aku itu lebih utama..."

Gadis tersenyum segaris. Keduanya seperti nahkoda yang mengemudi dua kapal yang berbeza. Satu dengan layar yang besar namun tiang yang rapuh. Satu lagi dengan tiang yang kukuh dan layar yang tekah ditampal berkali-kali. 

Pokok ceri itulah tempat yang paling akrab buat keduanya. Jika ingin dikira, sudah pasti bangku itu tidak mampu untuk menghitung entah berapa saat yang telah diluangkan sejak pertama kali keduanya mula berteguh-teguhan untuk saling mendukung dan menjadi biduan di pentas lara. 

Senja kian menghampiri, namun empangan rasa yang tertahan masih belum dilepaskan. Senja sudah menghampiri, namun batu-batan yang menghadang belum lagi mampu untuk pecah dek rasa yang ditahan. Senja kian menghampiri, air hangat yang sudah lama tersimpan masih belum mengalir untuk menzahirkan perasaan. 

"Kalau suatu hari nanti, pemuda ini hilang. Apakah yang kau akan lakukan?"

Empangan rasa mula retak. Rasa yang tertampan mula menitis di celah-celah bebatuan. 

"Mengapa kau berkata begitu? Apakah kau juga ingin meninggalkan aku?" Keduanya matanya bergenang. 

"Janganlah begini. Apakah aku ini seperti layang-layang yang mudah-mudah saja kau terbangkan setinggi awan kemudian lepaskan tidak bertali?"

Pemuda tersenyum sendiri, senyuman yang lebih tenang. Raut wajah yang sedikit berkeringat dan mata yang semakin redup. 

"Tidaklah, bukankah aku hanya bertanya saja. Bagaimana aku mahu melepaskan layang-layang sedangkan talinya aku sudah lilit dengan kemas di lengan. Bagaimana aku ingin sanggup melepaskan layang-layang itu sedangkan akulah yang menerbangkannya? Bahkan, jika angin mati, akulah yang bertanggungjawab untuk berlari dan menyambut layang-layang itu."

"Jangan bersedih, Allah bersama orang yang sabar. Allah bersama kita. Allah bersama orang yang beriman. Allah tidak membebankan sesuatu kecuali seseorang itu mampu. Menangislah jika itu membuat kau lebih tenang. Kekasih kita juga menangis..."

Petang itu, kemeja kotak-kotak yang dipakai pemuda bukan lagi menjadi sebuah saksi kepada tenangnya air di tasik atau mekarnya bunga ceri. Kemaja kotak-kotak itu menjadi salah satu saksi kepada pecahnya empangan rasa yang sudah lama ditampal lagi dan lagi. 


Ulasan

  1. Siapakah nama gadis itu? Tertarik akan pemikirannya. Dan saya bersimpati akan kamu

    BalasPadam
  2. Sungguh menyebutnya juga saya tiada mampu. Namun begitu, saya amat menghargai keperihatinan anda.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris