#89: Tiga Keping Poskad
20260426, Ahad
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Mungkinkah mentari hari ini akan menjadi satu gerhana? Apakah tiada bertemu dua garis asing seperti kedekatan antara rembulan dan mentari itu?
Mungkin juga dedaunan yang berterbangan mula bersyukur kerana angin juga yang membawanya pergi untuk melihat dunia. Mungkin juga benih yang baik itu sementelah tersebar menjadi ingatan bagi sekalian yang nanti berteduh di bawah rimbunnya daun dan teguhnya pohon.
Itu dia, seorang yang dahulu pernah berkata bahawa dia hanya menginginkan dirinya difahami. Dialah yang meminta untuk didengari dan senantiasa ada untuk menemani.
Aku berjalan di tepi tasik itu. Jika dapat dibuat perbandingan, aku berjalan mengelilingi tasik buatan yang menjadi nadi pusat pentadbiran. Dia pula berjalan di sepanjang sungai nun di sana yang menjadi nadi kesibukan ibu kota dan juga mercu tanda dalam setiap penghasilan media kreatif yang ditayangkan di kaca televisyen.
Aku bertanya sejenak, berteleku dan terus memandang kearah tasik itu. Sebuah tasik yang turut menjadi penampan kepada kelancaran urusan perparitan di bandar terancang ini. Jarak antara tempat sujud juga saling menghormati. Tiadalah asing kerana pembinaan kota ini turut memanifestasikan ubudiyah kepada Allah selepas citra rasa tempatan.
Beberapa tahun lalu, aku hadir di situ. Lampu jalan itu sudah pasti mengenali aku yang pernah runtuh di sisinya dahulu.
Sejak dia ke kota metropolitan yang jauh dengan peradaban berteknologi dan mementingkan standard kecantikan meskipun perlu melakukan pengubahan pada wajah, aku mula berasa sayu. Bagaimana tidak, setiap hari dia pernah bercerita dia perlu melalui jalan yang megah letaknya tugu seorang raja yang bertanggungjawab kepada pembangunan identiti bahasa bangsa kota metropolitan itu.
Ya, sudah pasti kerana tidak lagi dapat bertemu selalu. Dia dan kehidupannya yang terlalu laju untuk aku ganggu. Dia dengan kehidupannya yang terlalu tinggi persaingan untuk aku ada bersamanya seperti aur dan tebing.
Aku masa ingat perkataannya.
"Aku akan terbang jauh untuk sambung belajar nanti..."
Ringkas saja. Sebaris ayat yang mengubah rutin bersama. Di manakah lagi rutin kopi hitam dan coklat suam? Di manakah lagi rutin novel dan buku lukisan? Di manakah lagi sebatang pena dan sebatang berus lukisan?
"Jika itu yang terbaik buat kau. Sudah pasti aku juga tidak menghalang..."
Runtuhnya aku setelah berjalan tanpa tujuan di sepanjang tasik itu. Sengaja aku melangkah selepas tunduk berjemaah di kubah besi.
"Boleh aku tanya kau soalan? Jika satu hari nanti kau berjaya, apakah aku masih akan berjumpa dan mengenali orang yang sama berdiri di sebelah aku ini?"
Aku melontarkan pertikaian yang kian membuak layaknya lahar Gunung Merapi. Aku sudah tahu jawapannya, cuma bukankah lebih baik jika empunya diri yang menjamin pasti?
"Insya-Allah. Kau juga tahu aku pasti akan berubah. Berubah daripada tidak tahu kepada lebih tahu. Berubah, daripada gadis kecil kepada wanita dewasa. Berubah daripada seorang anak yang hidup di kota terancang kepada wanita yang mengenal erti kehidupan di kota metropolitan."
Dia terdiam sejenak.
"Tapi, itu tidak bermakna aku akan lupakan kau. Bukankah kau yang memberi galakan kepada aku? Selepas mak ayah aku, bukankah kau yang hadir sebagai peneguh aku dalam setiap tindakan? Sudah pasti, aku tidak akan lupa pada orang yang senantiasa menginginkan kebaikan untuk aku boleh pun dirinya sentiasa berada di bawah mendung yang berpanjangan...."
Aku duduk di bangku itu. Di bawah pohon Meranti. Dia telah mengirimkan poskad. Indah sungguh wajahnya meski diulit dengan pakaian tebal musim dingin. Dia turut menghantarkan gambarnya yang tersenyum riang bermain perang bola salji.
Ada lagi sekeping poskad. Gambar dia dan rakan-rakannya. Aku tersenyum sambil membelek setiap satu. Teknologi begitu canggih sehingga gambar yang diambil dengan telefon pintar peribadi terus boleh diproses menjadi poskad khas dan istimewa.
Di setiap poskad, gadis itu bercerita dengan ringkas namun padat dengan isi.
Sebaris ayat penutup yang cukup untuk menusuk kalbu aku meskipun dari jauh keberadaannya di Timur.
"Nantikan kepulangan saya ya! An-nyeong!"
Aku merenung tiga poskad itu lebih lama dan menggenggam yang makin kemas.
Aku memandang ke ufuk barat. Cahaya jingga mula menghiasai langit dunia. Sudah pasti dirinya di sana sudah diselubungi dengan pekat malam. Waktu yang berbeza seringkali membuat aku bimbang sekiranya nanti, antara pertemuan dan perpisahan hanya dipisahkan dalam tempoh satu jam.
Dua tahun sudah berlalu. Dia masih di sana dan aku kekal di sini. Dalam tenang yang kadang menjadi ombak, aku selalu rasakan bahawa hanyut dalam detik itu lebih sukar untuk aku tempuh berbanding menghirup kopi hitam di cawan.
Ulasan
Catat Ulasan