#86: Gadis Kecil Yang Sentiasa Terlihat
20260423, Khamis
Assalamualaikum dan hai. Mudah-mudahan para pembaca terus diberikan kesihatan dan kelancaran dalam setiap perkara yang dilakukan.
Pemuda itu tertanya sendiri. Mengapa dirinya kian berubah? Mengapa dirinya kian jauh daripada apa yang sepatutnya dia lakukan. Selangkah demi selangkah seolah-olah apa yang diinginkan semakin jauh.
Hari ini pemuda terfikir sendirian.
"Mengapalah aku ambil 24 kredit semester ini? Aku lihat rakan-rakan yang lain ada dua hari kosong dalam seminggu. Aku setiap hari ada kelas, petang pula. Apalah yang aku buat ini..."
Pemuda duduk di kerusi pejabat dengan bangga, tempat yang dia gelarkan sebagai pejabatnya; sedangkan itu hanyalah sebuah bilik kelab untuk kegunaan secara kolektif. Dia merenung ke atas, ke depan. Atas dan depan.
Kedua kelopak mata mula layu, terkatup dengan lemah. Pemuda tenggelam dalam proses melelapkan diri. Sengaja pintu dibiar terbuka tanda mengalu-alukan sesiapa yang ingin hadir.
"Apalah yang harus aku lakukan? Apalah nasib aku..."
Jam 5 petang. Pemuda mula beredar dari bilik seminar. Tempat berlangsungnya kelas bahasa asing. Jika diturutkan, pemuda itu sudah cukup keperluannya untuk bahasa asing. Sengaja dia menambah lagi bahasa asing lain selain bahasa al-quran untuk menambah kemahiran.
Entahlah apa yang meransang fikiran, apa yang menghalang laluan, apa yang menyekat jalan. Terasa sungguh mnecabar untuk dia cuba memahami segala pelajaran bahasa asing ini. Mungkin juga kerana niatnya yang belum cukup jernih. Masih bercampur dengan segala keinginan dan harapan akan sesuatu yang tiadalah dia akan berkuasa ke atasnya.
Pemuda cuba, cuba dan cuba lagi. Tiadalah dibiarkan kosong kudaratnya hanya melopong dan mendengar layak orang tuli. Beberapa kertas dan pena diambil, menari-menari dan menghiasi sehelai demi sehelai kertas bergaris itu.
Tiada pula dia tahu akan segala budaya terkini daripada negeri berteknologi itu. Mungkin hanya kerana ingin terbang ke sana dan berjumpa dengan si gadis, pemuda cuba untuk membuat segalanya yang terdaya. Benar juga, bukankah itu apa yang dia selalu lakukan?
Pemuda itu pernah berkata dengan tegas dan mengaharap pandagan Tuhan.
"Ketahuilah sesungguhnya, saya sentiasa berusaha sedaya upaya saya untuk menunaikan segala apa yag saya ucapkan"
Bicaranya yang menjadi peneguh kepada setiap perkara yang dihadapi. Bicara yang menjadi penyembuh kepada segala tohmahan dan celaan.
Selesai kelas bahasa orang-orang yang memakan jeruk sayur pada jam 5, dia sengaja menjatuhkan diri di tangga hujung blok. Tangga yang jarang digunakan orang-orang. Duduk seperti daun kering yang ditiup angin. Agar-agar yang pecah dan berderai serta layaknya aiskrim yang mencair.
Dia berfikir pada banyak perkara juga. Dia, pemuda itu berfikir dengan lebih keras.
"Kalau aku tiada di sini nanti, apalah yang jadi dekat budak-budak ini nanti...."
Ironi, di kalanya dirinya sedang meleleh sepi seperti besi yang dipanaskan; pemuda itu masih lagi memikirkan orang lain. Memikirkan apa yang akan berlaku pada dirinya seringkali terlupakan.
Dalam minggu ini sejak hari Isnin yang lalu, pemuda kerap sangat tertidur pulas hanya apabila berbaring di ranjang walau hanya sekilas lintasan pedang.
Pemuda fikir, mungkin itu hadiah daripada Tuhan. Mungkin juga peringatan daripada sistem badan. Dia berteleku, duduk kehairanan.
Kerja sambilan...
Pemuda itu memandang telefon dengan seribu serba salah. Ternyata dia sedang di persimpangan yang cukup mencabar. Antara terus fokus dengan kerja hakiki atau mengambil tawaran kerja sambilan itu untuk menampung perbelanjaan.
Pemuda itu tidaklah tahu jalannya bagaimana. Pemuda teringat semula celoteh gadis itu.
Gadis yang fasih beberapa bahasa asing. Gadis yang kecil dianggap kecil di mata rakan sebaya tetapi yang paling tua dalam keluarga. Gadis yang terkadang merenung nasibnya berulang kali dan berdiam diri dengan pandangan kosong. Gadis yang meminta agar pemuda jangan pernah untuk melupakan dirinya. Gadis yang diamnya berfikir, bertanya hanya untuk mendapatkan pasti. Gadis yang nampak gagah dalam keterampilan namun rapuh dalam pertimbangan.
Gadis itu dengan visinya yang cemerlang. Impiannya yang gemilang dan hatinya yang tidak mengenal apa erti mengalah.
Pemuda teringat ketika mereka berdua saling bertukar pandagan tentang perancangan masa hadapan.
"Jika kau mahu berkahwin, katakalah pada ayah kau. Sudah pasti dia ada pilihan yang baik untuk kau. Cuma nasihat aku, kau sebagai perempuan ada pilihan. Sama ada untuk mengejar siapa yang engkau suka dan menguurkan segala impian atau bersama dan berjuang untuk orang yang akan bantu kau dan sokong kau mengejar impian kau."
Gadis itu terdiam, termenung jauh. Gadis itu, ya gadis itu yang menjadi salah satu asbab yang membuatkan pemuda terus berada di atas jalan ini.
Gadis kecil itu. Gadis yang mulia itu. Gadis yang indah parasnya, cukup membuat redup di kalbu. Sekadar cukup menjadi pembatas pada sekalian yang menjengah.
Pemuda tersenyum sendiri. Tertawa. Tertawa dengan lebih keras lagi....
"Dasar tidak sedar diuntung! Apakah mampu seekor pipit bersama enggang? Walau seribu tahun menjadi seorang kesatria untuk puteri bangsawan juga itu sudah lebih daripada yang kebanyakan dapat peroleh..."
Pemuda senyap dalam sebuah renungan yang lebih dalam. Renungan yang membawa kepada utopia dalam perancangan yang belum jelas.
Menjadi penjaga di taman bunga, bukanlah pilihan semua orang. Melihat setiap hari, satu demi satu bunga-bunga disunting dan dibawa pergi.
Sedang pada mulanya, dialah yang merawat, membaja dan menyiram sekalian bunga-bunga itu...
Pemuda itu sekali lagi mengesat aliran di muka. Tersnyum dengan lebih riang dan terus dengan laras bahasanya yang paling menjemput.
"Ya, boleh. Sila"
20260423, 1830
Lobi Utama
Banggunan Minda UKM
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan