#88: Roti Bakar dan Kopi Hitam

20260425, Sabtu 
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Ada khabar kalian? Insya-Allah mudah-mudahan semuanya dalam afiyat.

Pemuda itu menelaah, meneliti, mencari, menyelami setiap helaian yang terbuku. Ruang kecil itu menjadi saksi pada malam sunyi bahawa sehingga kini tiadalah pernah dia temui dimanakah letaknya rasa itu. 

Pemuda kembali hanyut dalam detik itu. 

"Kenapa, kau seperti tidak cemburu?" Gadis menjeling tajam. Muncungnya sudah ke depan. Hatinya yang berombak bukan lagi satu yang asing.

"Mengapa kau bertanya begitu?" Pemuda masih mengacau kopi hitam di dalam cawan. Sepotong roti bakar dicicah dan disuap ke mulut. Lemak antara mentega dan sapuan kaya seperti irama dan lagu yang saling menjadi nadi dalam hidangan ringkas itu.

"Apakah kau tidak punya perasaan? Apakah kau akan hanya melihat aku dipinang oleh orang lain? Apakah kau tidak akan pertahankan aku?" 

Terasa getaran pada suaranya yang tersekat-sekat. Takungan itu hampir melimpah. 

Pemuda hanya tersenyum dan memandang dengan mata yang jelas seperti pekerja lebih masa.

"Bukankah kau dahulu yang mengatakan kita hanya kawan? Wajarkah seorang kawan berasa cemburu apabila kawannya ingin menjengah bahagianya sendiri?"

Pemuda mengalihkan pandangannya ke luar. Hujan yang renyai membasahi dada kota. 

Wasap kopi yang masih meliang-liuk dek hawa kafe yang dingin. Persis sekali seperti pemuda dan gadis.

Gadis, kedua matanya basah. Bibirnya diketap kuat. 

"Kau rasa mengapa aku biarkan kau layan aku sebegini istimewa, jika aku hanya menganggap kau kawan?" 

Tiada lagi mampu dibendung limpahan itu. Muzik perlahan kafe mula mengisi jeda. Tidak ramai pelanggan di waktu matahari mula merapat ke ufuk barat ini.

Pemuda tersenyum datar. Sehelai sapu tangan putih dihulurkan. Corak  berawan larat di bucu sapu tangan itu sengaja dilipat ke atas. 

"Apakah kau benar-benar sayangkan aku? Jika kau bertanya pada aku, sungguh aku amat sayangkan kau dan kau pun tahu perkara itu. Namun, aku akur dengan permintaan kau bahawa kita hanyalah kawan," pemuda berhenti sejenak. 

Sebuah buku nota ditunjukkan kehadapan gadis. 

"Ini, lihatlah betapa sungguh aku menyayangi kau. Pada setiap pertemuan, aku akan menukilkan sajak-sajak untuk rakaman memori kita. Lihatlah..."

"Jika kau katakan aku tidak cemburu, ya sudah pasti aku cemburu. Namun, aku tidak boleh kerana aku hanya seorang kawan, bukankah begitu?"

"Tidak, aku tidak maksudkan begitu. Aku hanya...." Bicara gadis terhenti. Awan yang tadi menangis mula kelabu. 

"Dengar sini, walau apa pun yang berlaku. Allah sentiasa ada rancangan yang terbaik. Walau apa pun yang kita rancang, Allah sentiasa menjadi sebaik-baik perancang"

"Apakah kau sanggup melihat aku berdiri di sebelah orang lain? Kau sanggup melihat aku bersama orang lain? Kau rela?!" Soalan gadis sedikit tinggi nadanya. 

"Jika itu boleh buat kau bahagia, mengapa aku hendak menghalang? Namun, jika itu membuat kau derita nescaya aku tiadalah sekali-kali membiarkannya..." 

Suara pemuda mula dingin. Sebentar tadi seperti hangat musim bunga, sekilas pandang ribut salji menimbus segala sinar mentari. 

"Datanglah, jangan berdalih lagi. Kau pasti tahu. Janganlah biarkan aku terus merayu." 

Suasana kota semakin gelap, dedaun dan sampah berhamburan ke jalan-jalan. Awan hitam mula mengorak badai yang akan bakal melanda. 

"Jangan rendahkan martabat kau. Kau tidak perlu melutut bahkan jangan sekali-kali kau merendahkan diri kau!" Suara pemuda sedikit keras.

Gadis berdiam diri. Belum pernah dia melihat pemuda setegas itu bersamanya melainkan kepada bawahannya saja. 

Beginilah.

"Kesat air mata. Lekas habiskan minum. Kita perlu bergerak sekarang juga"

Gadis tersentak. Terlalu pantas perubahan cuaca di wajah pemuda.

"Kita mahu ke mana?" Gadis masih keliru dengan matanya yang sembab. 

Pemuda kembali tersenyum.

"Ayuh, biar aku sendiri berjumpa orang tua kau dan lunaskan perkara ini sebaiknya..."

Pemuda tersentak dengan ketukan di pintu. 

" Ya, masuk!"

Sepiring roti bakar dan secawan kopi hitam diletakkan di atas meja yang berserakan pelbagai jenis kertas dan perbukuan.

"Mengapa termenung?" suara yang halus itu menjengah gegendang telinga pemuda. Bukanlah sehalus sutera, namun cukup menjadi pembela di kala duka.

"Saya teringat kisah gadis yang pernah menangis di kafe dulu...."

"Sekarang, gadis itu tidak menangis lagi. Bukankah gadis itu sedang menghantarkan kopi hitam ini?"

Pemuda dan gadis tersenyum, bersaksikan segala buku-buku, kertas-kertas jurnal, alat tulis dan ruang kecil itu. Sebuah santuari rasa antara dia dan "tulang rusuknya".











Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris