#82: Jangan Bimbang, Allah Kan Ada?
20260403, Jumaat
Assalamulaikum dan selamat sejahtera.
Tersebut kisah seorang pemuda yang tersangat penuh hatinya dengan rasa kasih yang melimpah. Sejak dahulu bukan tiada juga dedaunan di pohon yang letaknya di taman larangan itu gugur; bahkan pernah juga kering sehingga hanya mampu bertahan dengan beberapa keadaan yang dahulu lebih baik sedikit.
Pemuda itu sejak kecil dibesarkan dalam kalangan mereka yang mulia. Mulia pada akhlak dan juga manis muka. Pernah dahulu ketika kanak-kanak, sekembali dari tempat dia belajar menulis dan mengira, berkata dengan penuh lirih.
"Wahai bondaku, mengapalah saya ini seringkali dipinggir? Apakah anakanda ini tiada putih seperti mereka yang sebaya? Adakah anak ini tiada bersih muka seperti mereka?"
Kanak-kanak itu hanya mampu menangis, menangis dan menangis lagi. Tiada yang lebih selamat berbanding dapat berbaring di pangkuan bonda. Tiada yang lebih asyik berbanding mendengarkan perkataan bonda. Tiada yang lebih menenangkan jika dibanding dengan nasihat bonda.
"Mengapa anakku bersedih hati, bermuram durja? Tidak mengapalah jika sekalian tiada ingin bersaudara. Bukankah bonda ada untuk anakanda?"
Pandangan perempuan itu seringkali menghiasi pandang pemuda ketika kecil. Katanya yang menjadi peneguh kesendirian. Apakah bonda tiada pernah murka, ada bahkan sering. Acapkali juga anak itu membuat helah dan menduga. Tiada juga bonda mencemuh menista. Apa yang dikata hanyalah,
"Jangan bimbang, Allah kan ada?"
Apabila mula tahu berkata-kata, seringkali angkuhnya terlebih bicara. Seringkali wajahnya terpancar sebuah rasa yang tahulah dia akan segala.
Orang kata pemuda itu bicaranya tinggi mendongak ke langit namun seringkali jatuhnya menyembah bumi. Pemuda itu tiada juga bicara yang tiada, hanya usaha jua akan segala.
Maka, ada satu ketika barang yang telah tiada juga datang menyapa katanya.
"Mengapa tiada berkata-kata wahai segala yang ada? Mengapa tiada berbicara wahai segala yang melata? Soalan yang terus bergema sedangkan di ruangan itu hanya ada dia dan Dia."
Maka, berjalanlah pemuda dalam satu khayalan. Khayal yang panjang serta tiada hujung, khayal yang lena tiada jaga. Berat mata memandang, berat lagi tangan yang menahan. Bahkan tiada juga segala yang ada, bahkan tiada juga segala yang mungkin. Bahkan hancur segala harap dan impian, bukanlah segalanya ingin berkata-kata dengan lebih mudah? Bahkan segala berkara juga seolah-olah tiadalah tiada dipandang cerah.
Besar hajatnya hendak ke Mekah, ziarah kaabah dan Madinah kota Rasulullah. Berlengkaplah dia segala yang ada. Hajatnya dicita tiada ditentang. Bahkan sejauh apa tiada dibangkang.
Pernah berkata ayahandanya, "Kemanakah berkelana berjauhan segala? Tiadakah tinggal rasa kasih berpulang? Tiada juga kami berdua menghalang, hanya pesan jangan alpa segala mendatang."
Mungkin tetaplah sudah segala yang ada. Bicara yang panjang tiada hasil juga mendatang. Berangkat dia seperti dagang. Berlepaslah dia tiada lagi memandang. Tersingkap di hati pemuda, apakah mungkin pulangnya ada? Apakah mungkin tiada dinista? Telah tetap jua atas tiap-tiap segala, apa yang ada sudah pasti ada, apa yang tiada tiada juga ada.
Sesampainya dia di hujung belantara. Terasa kuat sesak di dada. Mencari tempat tiada berjumpa. Alamat mati di tempat hina. Berkata dia dengan segera, "Ya Maulai, Ya Jabbar jika benar sampai telah apa yang tetap, mohon tangguhkan dahulu barang sekejap. Akhirlah hamba dengan mengucap, tiada Tuhan selain engkau..."
Barangkali hanya lelah yang tiada berpunca. Fikir pemuda sampai masanya. Merayu dia segala-gala. Tiada juga menjadi apa. Mungkin benar kata tua-tua. Jika melangkah jangan mengada. Jika berjanji, jangan mendada. Terbitlah dari dalam sebuah cerita, berlepaslah dia segala bahaya.
Maka tiadalah maut bertemu pemuda. Dia pun bangkit berjalan juga. Iltizam dan semangat yang tinggi jua. Pastinya dia tiada celaka.
Itulah dia suatu cerita. Dilipur orang membuat jenaka. Ambil yang cerah buang yang rekah. Harap yang ada tiada berlelah.
Sampai jumpa lagi!
Assalamualaikum.
Ulasan
Catat Ulasan