#84: Tua Itu Nampak Rupanya...


 

20260418, Sabtu

Boleh jadi dalam kebanyakan perkara yang kita alami, bukan semuanya akan menjadi pembela. Kadang, perkara itu lebih dekat untuk menjadi sebuah asyik yang menunggu bah. Entah bah air mata atau bah yang menghambur memusnahkan segala binaan harapan dan impian yang telah separuh jalan terbina. 

Pemuda dan segala kisah pengembaraannya. Ada ketika pemuda berhenti di tepian pantai. Di akhir harinya dia melihat ke arah senja yang kian melabuh. Melepaskan segala lelah yang telah terpikul sejak pertama mula berkelana. Ada beberapa orang bermain wau, ada juga beberapa orang pemuda dan pemudi berkuda di gigi pantai. Layaknya pendekar yang perlu bergegas menyampaikan titah raja dari kerajaan pusat ke kerajaan naungannya. 

Pemuda mengambil sebatang ranting, lebih tepat pelepah kelapa yang telah hampir reput. Melihat kepada pasir putih di tepi pantai seolah-olah lembaran kertas yang meraung-raung ingin dilumuri dakwat pena bagi merakamkan citra fikir yang datang dalam sebuah perenungan. 

Satu demi satu huruf. Satu demi satu kata. Satu demi satu ayat, sehingga menghasilkan sebuah lukisan kata yang indah pada matanya. Meski, hanya sebaris ayat yang saling bertindih. Serangkap kata yang amat asyik jika dilihat orang. 

"Assalamualaikum anak, dari mana hendak ke mana? Terlihat seperti dagang bukan layak orang-orang di sini?"

Pemuda mengalihkan pandangan ke arah suara itu. Seorang tua berbaju ringkas. Baju kemeja sekadar dia sarung dan tidak dikancingkan. Kain pelikat seperti samping dan kopiah lembut bewarna hijau yang menutup kepala.

Wajahnya cerah dan gemilang. Senyum yang menenangkan di sebalik bulu-bulu yang kian memutih pada wajah. Janggut, misai yang nipis dan begitu juga kedua keningnya. 

"Waalaikumussalam, pak cik. Benar, saya seorang dagang. Berkelana dan menumpang teduh sebentar sementara menanti esok di sini. Sengaja saya pilih jalan pantai. Rezeki saya, dapat lihat matahari terbenam hari ini."

Pemuda, bicaranya perlahan. Rentaknya tenang. Tidak mahu lubuk hatinya yang diselubungi resah dan rawan terzahir pada wajahnya yang berdebu dan rambut yang kusut. Namun, benarlah kata orang tua-tua. Sekilas ikan di air tahu jantan betinanya, hanya jauhari mengenal manikam dan tiada tersingkap di cermin wajah kecuali apa yang ada di hati. 

"Jangan terlalu bersedih. Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Kita manusia, sesayang apa pun kita dengan sesuatu, kita pasti akan berpisah dengannya. Doakan yang terbaik untuk mereka..."

Bicara tua itu tepat terkena pada kalbu pemuda. Seolah-olah panah sakti Seri Rama yang menembus 40ouluh sasaran.  Layaknya perahan limau yang dititid ke luka.  

Entah apa yang dapat dilihat oleh tua itu?


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris