#85: Keluh Pemuda Tuhan Balas Dengan Ubi Rebus
20260419, Ahad
Entah bila, kali terkahir aku rasa yang aku ini berguna.
Entah bila, kali terakhir aku rasa yang aku ini berharga.
Entah bila, kali terakhir aku mampu untuk melafazkan yang aku juga ingin untuk ditanya,
"Hei, adakah kau baik-baik saja?"
Aku dilihat seperti mentari yang menjadi sinar
Aku dianggap seperti lampu jalan di persimpangan
Hadirnya membantu semua yang ada
Entah bila aku rasa, kehadiran aku ini satu perkara yang perlu disyukuri
Tidak patut begitu...
Tidak patut begitu, bukan ?
Kau benar, kau sangat benar!
Boleh jadi, segala yang aku lakukan hanya kerana ingin mendabik sebuah nama yang tersergam di fikir sekalian orang
Aku mungkin terlupa, nama aku bukan terpahat di atas batu
Nama aku hanya dilukis pada pasir putih yang akan hilang sebaik sahaja air laut pasang
Rawan....
Tidak sepatutnya pohon getah itu rawan
Meski tubuhnya luka, tangis likatnya yang memberi tawa
Pada sebuah keluarga yang hanya mampu untuk bercerita
Lara...
Ada juga yang lebih berat
Duka lara, entah mengapa seperti jatuh ditimpa tangga
Duka itu dengan tangis, lara itu pada kalbu
Bagaimana seorang boleh berasa selesa dengan sesuatu perkara sedangkan
Apa yang terjadi hanyalah kesan daripada kealpaan mereka sendiri...
Pemuda itu berkata-kata sendiri. Selepas selesai berdiri empat kali mengahadap sedikit condong ke arah matahari terbenam semalam; pemuda terus berkemas. Bersinggh ke sebuah gerai di tepi pantai itu. Ramai juga yang baru tiba dari laut. Segala isi samudera yang enak-enak dipindahkan. Orang berpusu-pusu hadir untuk membeli sedikit bekal untuk bersantap nanti.
Perutnya bergendang perang, seakan mahu sahaja mulutnya mengeluh seperti tetuang memanggil segala armada dan angkatan menyerang ke arah musuh. Dari kejauhan, tua yang semalam terlihat lagi. Semakin hampir dengan sepiring ubi rebus di atas piring.
"Apakah yang kau risaukan wahai pemuda, sungguh selagi kita sebaik-baik makhluk ini bernyawa; sungguh Tuhan Yang Maha Kaya akan memberikan rezeki kepada kita..."
Masih dengan wajah yang gemilang, dan senyum yang menawan.
Ulasan
Catat Ulasan