#59: Laci Ku Tarik, Kosong dan Bersawang

 

20260128, Isnin

Assalamualaikum dan hai. Selamat Sejahtera? 

Bagaimana keadaan semua? Mudah-mudahan semuanya sihat belaka. 

Semalam aku memilih untuk hadir ke TamanTasik Titiwangsa pada sebelah malam. Aku sudah terlalu tepu dan sudah lama berada di dalam rumah. Aku hanya ingin meredakan suhu tubuh yang kehangatan kerana terlebih minum minuman manis. Aku kurang periksa rupanya susu sejat mengandungi kandungan gula yang amat tinggi. 

Sepanjang aku berjalan di situ. Pelbagai ragam manusia yang dapat aku cerap. Ada yang bersantai, ada yang bersembang, ada yang merakam video dan banyak lagi. 

Aku banyak pasangan. Namun pasangan yang paling menarik hati aku ialah pasangan yang ada anak kecil bersama mereka kerana aku yakin mereka sudah bernikah. Ada pelbagai ras juga di situ. Ramai juga yang berjoging dan berlari. 

Semalam aku fikir boleh berjalan dengan tenang, bahkan sambil berjalan tangan aku masih asyik membalas segala mesej yanng masuk. Soalan-soalan yang aku fikir tidak wajar untuk ditanyakan pada saat ini. Aku tahu aku bukan orang pandai, bukan orang yang belajar perkara-pekara yang jika disebut seperti terjumpa emas merah. Aku juga tahu aku bukanlah selurus paku yang boleh diketuk-ketuk. 

Barangkali aku terlalu berlembut dengan mereka semua. Barangkali aku terlalu mahu menjaga semua. Barangkali aku tidak mampu untuk menolak segalanya. 

Aku melihat beberapa orang yang berlari pecut, berlari anak, berjalan santai. Ada juga orang-orang yang duduk di tepian tasik. Ada yang macam keluarga, ada yang seperti suami isteri, ada yang seperti kawan-kawan dan da juga seperti pasangan bercinta merpati dua sejoli yang aku sendiri tidak pasti sama ada mereka sah suami isteri.

Di taman itu, semua dengan hal masing-masing. Ada sepasang pasanagan Arab. Isterinya memgang bayi yang sedang lincah berlari, suaminya pula lebih riang berpura-pura sedih dan mengejutkan anaknya agar tertawa. 

Aku tersenyum. 

Aku lihat lagi beberapa remaja yang mengayuh basikal kembar. Basikal yang ada dua tempat dan pedal pengayuh di depan dan belakang. Aku fikir itu satu yang menarik. Aku fikir mereka semua ialah adik beradik. Bagaimana? Cara panggilan mereka dan muka mereka bereempat yang sememangnya seiiras. 

Aku banyak bergenti. Aku mengambil beberapa keping foto dengan mengggunakan kamera telefon pintar. Pemandangan yang limpah dengan pelbagai warna dan menara pencakar langit. Tasik luas yang menjadi nadi kesihatan kota raya watan ini. Aku mati-mati berfikir bahawa aras air tasik itu meningkat, mungkin saja benar, bukan? Aku melihat seolah-olah air hampir melimpah. Mungkin hanya perasaan aku. Aku juga sudah lama tidak hadir di situ dan mungkin kerana cahaya malam. 

Aku pernah terfikir jika aku mampu untuk berkelah di sini. Impian yang mudah bukan? Sangat mudah sebenarnya. Aku boleh buat sendiri. Cuma aku tidak pasti sama ada orang akan memandang aku janggal atau apa? 

Ada saja orang yang bersendirian di tepi tasik semalam. Anehnya bagaimana dia boleh berada di situ sedangkan ada pagar yang menghalang. Deduksi yang paling dekat aku rasa lelaki itu lompat pagar besi dan melangkah. Ada kesan perlanggaran pada pokok-pokok renek yang mengiringi sepanjang pagar besi itu. Mungkin? Aku tidak pula berniat mahu menyiasat panjang. Aku sendiri belum habiskan novel Sherclock Holmes. Aku kena baca dengan lebih keras. Buku aku yang satu lagi TheArt Of Investiagtion pun aku baru baca 1/3 sahaja. 

Bagaimana jadi dewasa ya? Ketika semua perkara datang bertimpa-timpa? Aku ada berbual dengan bos kerja sambilan aku tempoh hari. Katanya, aku perlu pandai untuk membuat jaringan. Dia kata aku kena cari orang yang aku boleh bawa sembang dengan kapasiti dan kecairan yang sama. 

Itulah salah satu sebab yang mungkin menjadi jawapan kepada persoalan orang-orang. Mengapakah aku tiada kawan? Mungkin orang akan cakap aku sombong? Mungkin aku orang yang bersifat individualistik? Mungkin? 

Aku hanya mahukan perbualan yang merangsang minda, menyelami peribadi dan tidak membuatkan masa terasa rugi kerana sibuk berbicara tentang hal orang lain.... Sukar untuk perkara tersebut. Dulu aku pernah cakap begini,

"Kalau kalian bercakap aku boleh masuk (pastikan topik itu terus hidup), tapi kalau aku yang bercakap kalian semua pasti akan diam (kerana tidak mampu untuk bertukar pendapat dari sudut pandang yang sama)"

Fasal dilema anak muda. Lagilah memeningkan. Ada rakan lelaki bahkan perempuan sekalipun yang bertanya tentang tindakan aku yang dilihat mesra dan suka bergambar dengan perempuan. Aku rasa sudah banyak kali aku dapat pertanyaan yang sama. Aku lebih suka bersembang dengan perempuan dengan wanita kerana mereka memberi sudut pandang yang aku selalu lepaskan. Emosi.

Aku selalu bezakan emosi dan fakta. Fakta tidak boleh dipengaruhi emosi. Namun, emosi boleh menjadi fakta. Itu asas dalam mana-mana perundangan sekali pun. Apabila ada akta dan enakmen yang dipetik aku dipandang sebagai seorang yang rigid. Oleh hal yang demikian aku  lebih gemar bersembang dengan perempuan walaupun aku ada nilai yang perlu dibayar lebih besar. 

Aku berkawan. Pada waktu inilah kita bebas berkawan dengan sesiapa saja. Berkenalan dengan sesiapa saja dalam batas yang tidak menyalahi syariat. Perbuatan yang tidak menimbulkan fitnah. Perkara yang menjamin kemuliaan maruah semua pihak. 

Aku selalu berasa yang aku tidak layak untuk hiduo dalam zaman ini. Orang-orang tua ada yang menyangka aku sudah mempunyai anak, aku ini pelajar master atau Phd, aku ini seorang yang telah berkerja. Ada banyak peristiwa yang bersifat sepintas lalu namun aku ingat kerana telahan mereka yang sebegitu. 

Kawan? Siapa yang boleh hidup di dunia ini seorang diri? Bahkan Nabi Adam juga dikurniakan Siti Hawa. Apatah lagi aku ini seorang yang tidak mengerti apa-apa. 

Bagi aku tak wajar pun untuk aku cari pasangan semata-mata mahukan "semangat". Mungkin ada orang yang perlu begitu, namun aku sentiasa terkenangkan 17:32. Ayat itulah yang jadi peneguh. Aku lebih suka berkawan, mengenali ramai orann tidak pernah terikat dengan sesuatu yang palsu. 

Aku rasa adalah lebih 5 orang yang aku perlu jawab soalan mereka fasal benda yang sama. Sengaja aku tidak buat perkongsian terbuka pada semester ini seperti semester-semester lepas. Aku bukan mahu berdendam atau meninggalkan mereka sendiri. Aku tahu mereka semua lebih bijak dan pandai daripada aku, namun mereka semua tidak pernah pun berkongsi dengan aku. Hanya aku yang "beria-ria" berkongsi dalam grup. 

Mereka berada di atas aku dalam kedudukan kelas. Bila kau buat begini, pasti akan ada orang yang akan pertikaikan keikhlasan aku. Mendakawa aku hanya inginkan nama dan tidak mampu untuk teruskan sebuah perkara yang aku telah berikan sekian lama. 

Persoalannya, di mana mereka? Bukan aku tidak pernah mengajak bahkan aku sediakan platform untuk mereka bersama aku untuk berkongsi dan mengajar kepada yang lain. Apa yang aku dapat?

"Aku takut aku ajar orang nanti mereka sesat"
"Aku ni tak pandai ajar orang"
"Kalau mereka nak, carilah sendiri"

Dan segala alasan lain untuk mengelak. Itu satu karenah. Satu karenah lain, apabila pemikiran mereka asyik tanya aku apa soalan yang akan keluar. Aku bukan pensyarah. Aku tak tahulah, memang mereka semua bijak-bijak tapi pemikiran mereka macam dilatih untuk soalan spot semata-mata. Sangat tidak kritis. Mahu tahu soalan, mahu hafal jawapan, mahu lulus semata-mata. Bila tanya semual semester depan, langsung tak boleh jawab. Memang aku tidak boleh terima. 

Terkadang aku terfikir juga, kalau-kalau sebenarnya dalam setiap peristiwa yang berlaku akulah punca kepada segalanya. Mungkin sebenarnya akulah yang menjadi punca kepada segala keributan. Mungkin sebenarnya segala apa yang canangkan, lurutkan dan mesej yang aku samrkan menjadi punca kepada keadaan ini. 

Aku berharap mudah-mudahan aku dan mereka dapat fokus selama 2 jam kuliah selepas ini berbanding terpaksa bertrungkus selamaa 2 minggu akhir. 

Aku rasa itu sahaja buat masa ini. Semoga semua orang diberi hidayah dan taufik untuk terus menggapai kecemerlangan. Insya-Allah Amin.

Sampai jumpa lagi. Assalamualaikum. 

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris