#57: Seorang Muda Yang Cuba Melakar Peta Hidup
20260122, Khamis
Assalamualaikum dan hai, selamat sejahtera.
Kalau ada yang bertanya kepada aku, apa yang aku mahu capai dalam tahun ini. Mungkin aku akan cakap yang aku mahukan sebuah kepastian. Sebuah pengiktirafan dan juga sebuah pencarian yang pasti ada jalan dan tujuan yang jelas dalam menempuh sebuah pengembaraan kecil ini.
Belajar, menuntut ilmu dan juga mencari tahu.
Dimanakah ada sebuah peta atau pelan yang pasti untuk aku rujuk? Pelan dan rancangan tindakan yang jelas untuk aku tampal di dinding dan tatap setiap hari? Menilai sejauh mana perkembangan diri aku seiring dengan segala perkara yang perlu aku jalani?
Seringkali aku melihat anak muda. Pemuda dan pemudi, remaja dan belia seperti aku mencari-cari identiti. Mencari-cari petunjuk, mentor atau satu panduan tentang harus bagaimana lagi untuk menjalani sebuah kehidupan yang asing ini?
Ada orang, mula menceburi bidang perniagaan sejak kecil. Faktornya? Minat, tradisi keluarga, tekanan kewangan, mahukan duit lebih untuk berbelanja. Akhirnya fikiran mereka hanya tertumpu kepada semua peluang yang boleh mendatangkan duit. Semua peluang yang boleh memberikan mereka pulangan sama ada secara material atau sokongan.
Ada pula yang mula berjinak-jinak dengan enjin dan permotoran. Motosikal apa saja dibongkarnya, diselak satu-persatu. Setiap inci diteliti dengan perasaan ingin tahu dan juga sebuah rasa ingin mencuba dan menggayakan cara baharu. Muncul pula golongan yang tidak begitu cerdik, bakat yang ada dilampiaskan kepada aktiviti yang tidak berfaedah seperti merempit dan aktiviti permotoran haram. Namun begitu, yang tahu nilai dan harga bakat mula untuk mencari peluang mengembangkan minat ke peringkat yang profesional.
Ada pula yang seawal usia telah diberi pendedahan tentang pentingnya pelajaran dan pendidikan. Ada dua golongan biasanya jika begini. Satu memang ibu dan ayah mereka serta keluarga ialah keluarga terpelajar. Dua, mereka yang mempunyai kesedaran bahawa pelajaran boleh menjadi alat mobiliti sosial yang utuh. Ilmu dan minat digemburkan seiiring semua peluang dan inisiatif yang terbentang. Ada juga yang tidak ada minat untuk menjadi cikgu, namun asbab tekanan keluarga dan pelbagai alasan peribadi. Akhirnya ada yang menjadi "guru". Entah layak digelar guru, atau sekadar cikgu 25 hari bulan.
Jika kita melihat dari satu sisi yang lain, arus teknologi kini telah menjadi satu wadah tanpa batasan yang membolehkan sesiapa saja untuk menjadi seseorang. Kehidupan yang dipaparkan mungkin hanya sebuah karakter ciptaan dan bukanlah sebagai sebuah realiti kehidupan. Bagaimana seorang yang menjual telefon pintar jenama X sedangkan dia dan keluarganya sendiri menggunakan telefon pintar jenama S? Bagaimana keluarga elit yang menjual dan menghasilkan puluhan bahkan ribuan karton rokok sehari tetapi tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang merokok? Bagaimana pula dengan orang yang sibuk mempromosikan kebaikan sebuah jam pintar kecergasan sedangkan diri sendiri tidak cergas?
Adakah ini semua ialah satu penipuan atau gimik kehidupan? Masih ramai anak muda yan hanyut dan terikut dengan satu aliran pemikiran sehingga apabila semua yang sebaya melakukannya, maka mereka pasti melakukannya juga. Bukankah ini satu pemikiran dangkal yang memaksa golongan yang telah mencapai kesedaran untuk membimbing. Sedihnya, mereka tidak mahu mendengar. Sudah terhantuk, baru terngadah. Begitulah kira-kira agaknya....
Jika semua orang hanya mengikut arus, dan satu masa nanti orang-orang yang ada kesedaran mula mengasingkan diri. Para sarjana hanya kekal diam dalam pejabat sendiri, para ulama hanya kekal mengajar di kampung dan pondok-pondok, para tenaga kerja mahir berhijrah ke luar negara untuk bayaran yang lebih tinggi. Jadi, di mana kompentensinya? Bagaimana tidak jika dilakukan pengawalan total seperti pemerintahan dengan ideologi sosialis komunis sudah pasti kehidupan ini akan jadi seprti negara-negara yang hanya tunduk kepada golongan elitis. Kleptokrat, teknokarat, aristokrat moden dan segala pihak yang telah tetap stabil kedudukannya akan terus menjadi raja sedangkan golongan yang ingin mengubah nasib mereka akan menjadi seperti kutu rayap di tanah sendiri. Melukut di tepi gantang dan tidak juga berpeluang walau menjadi api-api di pesisir pantasi. Mungkin ada yang kata wacana ini lagak lebih sudu dari kuah, namun realitinya kehidupan itu sendiri jauh panggang dari api.
Sehingga pada akhirnya, sebuah kemajuan hanya bersifat pameran, bukan memanusiakan.
Aku fikir tiada siapa yang mampu untuk melakar peta dengan tangan orang lain. Biarlah diri sendiri yang kekal berada di bawah sinaran lampu minyak diselimuti pekat malam yang mencengkam sum-sum tulang demi sebuah perancangan dan manual kehidupan yang utuh dan selari dengan kitabullah dan lisan Nabi.
Cukup sampai situ dulu. Sampai jumpa lagi.
Assalamualaikum.
Ulasan
Catat Ulasan