#56: Glow Up, Dendam Sihat atau Sekadar Pelarian?

 


20260121, Rabu

Assalamualaikum dan hai! Selamat, sejahtera?

Hari ini aku tertarik dengan satu ayat di Tiktok sebenarnya dan aku suka untuk membincangkannya. 

"When a couple break up, don't listen to both sides. Just watch who gets a glow up and who jumps fast into a new relationship"

Kenyataan itu, macam betul bukan? 

Selalu juga aku berhadapan dengan situasi begini terutamanya dalam kalangan rakan sebaya. Biasalah, budak-budak dalam proses mahu mengenal dunia. Aku secara peribadi tidaklah begitu kisah sangat, cuma setakat pemerhatian aku benda ini sah. 

Namun begitu, benarkah semua yang glow up itu adalah mangsa dan mereka bertindak untuk menebus kembali? Kalau soalan itu dituju kepada aku, aku akan jawab ya. Ya, bukan sebab percintaan semata-mata tetapi sebab kekecewaan terhadap diri sendiri, patah hati kerana harapan yang terlalu tinggi atau ejekan daripada orang yang dihormati. 

Perkara ini pun kita dapat perhatikan dalam banyak siri Anime Jepun. Kebanyakan perubahan drastik fizikal dan mental watak berpunca dari sebuah penolakan ATAU siri penolakan. Bukan mudah untuk mereka terus kekal biasa jika tidak dapat membuktikan apa yang mereka mampu. Berbalik kepada soalan, aku fikir benda ini sepatutnya dibangkitkan dalam diskusi sosial awal remaja bahkan sesi dewasa dengan nafas yang lebih matang dan segar.

Aku ada baca satu artikel dahulu rasanya, ada satu kitaran fasal benda ini. Dalam ilmu psikologi pun sudah jadi satu perbincangan biasa dalam menanggapi emosi dan perasaan klien. Pokoknya ialah rasa ingin menebus kembali maruah, atau bahasanya dendam. Perbezaannya dendam yang sihat atau tidak.

Apabila kita menyebut dendam, pasti perkara pertama yang terlintas di fikiran kita ialah dendam untuk membalas kejahatan. Jarang antara kita khususnya anak muda dapat memahami keluasan makna dendam. Jika disebut fasal rindu dendam, frasa itu membawa makna yang sangat mendalam terhadap sebuah rasa kerinduan yang tinggi dan membuak-buak. 

Oleh hal yang demikian, dendam terhadap sebuah penolakan boleh jadi dibalas bukan kepada pelaku namun kepada diri sendiri. Oh, ya! Dendam membawa kepada azam dan seterusnya membawa kepada sebuah rencam dan berakhir dengan rejam. Kita merejam jauh-jauh rasa yang dulu pernah menjadi kecam. Kecaman pada diri yang sentiasa mengharapkan sebuah kepastian dalam tindakan, bicara dan perancangan. 

Bila ada yang glow up , kita pasti akan terkesima dengan hasilnya. Jarang kita tanya apa yang menjadi titik mula. Kita sibuk bertanya bagaimana, berbanding mengapa? Kadang-kadang hasil akhir itu lebih pedih daripada proses yang dilalui. Mungkin jika tidak ada tempat berpaut dan dendam terbalas, akan berlaku relaps....

Akhir kata, aku fikir baik glow up atau tidak, yang paling utama adalah adakah kita sudah tenang? Jika tidak, mengapa kita perlu glow up sehingga kita memaksa tubuh untuk menjadi sempurna hanya kerana ingin tampak berharga selepas sebuah penolakan.

Jika sudah kaca, pasti kaca juga walaupun dibentuk dan digilap sehingga berkilat. Tidak akan pernah jadi permata.

Aku rasa sampai sini dulu. Sampai jumpa lagi! 

Assalamualaikum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris