#49: Refleksi 2025
Hai, Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera ?
Sejahtera kah?
Kalau ikutkan ini ialah entri pertama untuk tahun 2026. Aku mengambil satu tempoh untuk melihat kembali segala catatan, gambar, dan jurnal harian aku pada tahun 2025. Ada bahagian yang buat aku gembira, ada yang buatkan aku rasa kosong, ada yang buat aku sedih, ada yang buat aku keliru.
Cuma, hari ini 1 Januari 2026. Aku sudah mula rasa kepadatan untuk melaksanakan semua kerja. Berbaki 2 minggu lagi sebelum semester ini habis. Ada yang tanya aku kenapa memilih untuk menulis. Aku pun kurang periksa, mungkin itu medium paling selamat.
Aku cuma terfikir mengapa aku rasa lebih lemah...
Baru hari pertama tahun ini. Mengapa semua terasa kosong? Mengapa aku rasa aku ada peluang untuk mula daripada awal sebagai permulaan yang lebih segar tapi aku rasa macam ada benda yang kurang.
Aku tak pasti di mana letaknya sekeping hati yang boleh dihamparkan, dilukis, diwarnakan tetapi akhirnya digulung sebelum sempat kering.
Walhasil, tiada zahir apa yang telah dikarang dan dilepaskan.
Aku fikir banyak benda yang aku nak buat. Aku nak mula dari mana?
Aku ada banyak tugas untuk diselesaikan, ada banyak buku yang perlu dibaca, ada banyak dana yang perlu dicari....
Semuanya rasa macam kosong, macam kubur yang bergerak. Jasad tanpa nyawa.
Mungkin aku kurang zikir dan selawat. Betul, aku rasa itu punca untuk semua ini.
Aku renung lagi. Ke mana hilanganya diri yang sering menyebarkan salam, diri yang sentiasa tersenyum riang, diri yang rela diberikan sebutir nasi untuk kerja sebesar gunung, diri yang masih mampu berusaha walau sepayah apa pun itu.
Apakah faktor usia? Atau kerana aku mulai berubah menjadi individualistik?
Aku tak mampu nak berikan apa-apa walau pada orang yang sangat memerlukan. Adakah aku ni sebenarnya gagal?
Banyak perkara yang aku perlu buat. Banyak juga perkara yang perlu dielakkan.
Aku terfikir juga, jika segala perkara yang berlaku adalah sebuah kisah, apa agaknya tajuk kisah aku?
Tapi tak sepatutnya aku jadi lemah! Aku ada hampir segalanya yang mungkin orang lain tiada pun.
Sepatutnya aku kena jadi lebih bersemangat! Aku kena kukuhkan semula asas aku. Lagipun sikit je lagi. Bukan susah mana pun. Insya-Allah boleh!
Aku rasa pun begitu, bukan kerana kita tak mampu. Kadang-kadang, kita cuma perlu berhenti, renung dan struktrukan semula.
Aku fikir itu dulu buat masa ini. Mungkin aku akan tonton filem dulu?
Sampai jumpa lagi!

Ulasan
Catat Ulasan