#54: Dia Yang Pernah Dipanggil Sayang
2026018, Ahad
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Bagaimana mungkin sebuah kenangan dan memori rasa lalu buat kita merrasakan sebuah kebersamaan. Aku selalu fikir yang tiada guna untuk kita terus rasa gembira kerana kesedihan pasti akan menjelma juga. Namun begitu, ramai juga yang rasa aku ini aneh, pelik dan asing. Aku rasa aku hanya seorang tua dalam kalangan orang muda. Tua yang memandang semua perkara secara serius dan tidak berbelah bahagi. Aku hanyalah seorang tua yang duduk di depan serambi rumah sambil memerhati budak-budak yang sibuk ke hulu ke hilir mencari kenikmatan fatamorgana yang bersifat utopia khayalan.
Mungkin, aku sebenarnya yang salah dalam setiap tindakan aku. Mungkin akulah yang paling teruk. Aku pun tak tahu nak cerita fasal apa. Sejak 8 Disember 2025, aku rasa tiada apa-apa pun yang menarik yang perlu aku kongsikan. Semuanya terasa hambar. Bahkan, bila fikir-fikir semuala; bila kali terkahir aku menghadiri sebuah keramaian atau sebuah majlis bersuka ria. Tidak ada rasanya....
Tidak mengapalah. Mungkin kali ini aku berkongsi sahaja tentang sebuah kisah lama. Walapun, aku tahu. Mungkin ada suara-suara yang akan mencemuh sekali lagi tentang aku terlalu jelekit dengan perkara lalu.
Seorang pemuda di penghujung usia belasan tahun. Satu hari dia menjemput rakan perempuannya yang sebaya. Mengapa? Saja? Sejak masing-masing tamat sekolah, jarang sekali mereka berjumpa. Disebabkan perbezaan jantina, sudah pasti membonceng bukan satu pilihan yang baik.
Pemuda memilih untuk memandu kereta keluarga. Meskipun hanya sebuah kereta lama, masih dapat digunakan dengan baik. Dijemput si gadis dengan lembut dan penuh debaran. Entah mengapa, sedangkan hanya rakan sekelas. Di situ lelahnya, sejak dari awal pemuda telah memanggil dengan gelaran sayang.
Rakan dan kawan sekelas juga sudah tahu, mereka juga tidak ambil endah sangat. Pernah apabila pemuda di tanya. Apa rasanya apabila memanggil seorang kawan dengan gelaran sayang? Pemuda berdiam dan berfikir sejenak. Rasanya seperti minum air kosong? Mengapa perlu rasa, bukankah itu hanya satu panggilan?
Keduanya bersembang di dalam pacuan empat roda. Pemuda fokus degan pemanduan namun lisan masih petah bersembang. Gadis? Sudah pasti duduk di kerusi belakang. Kata pemuda, jangan mengada-ngada hendak duduk di depan.
Bagaimana hubungan itu terbina? Semuanya bermula apabila gadis meminta pemuda untuk membantunya menyelesaikan tugasan projek kajian. Gadis meminta pemuda hadir ke kedai makan berdekatan rumahnya untuk diberikan tunjuk ajar dan alang-alang diberikan minum tanda terima kasih.
Pada awalnya seperti biasa, hanya menyelesaikan tugasan. Lama-kelamaan mula kerap sehingga bertemu di beberapa tempat yang lain pula atas dasar lama tidak berjumpa.
Di warung masakan panas tom yam, di restoran makanan segera, kedai mi kari tepi jalan besar, kafe kopi terkenal dengan logo petir, kedai burger makanan barat harga kampung, gerai cendol bawah pokok di tepi jalan masuk ke taman perumahan, dan tidak lupa juga hanya berdiri berdua di depan rumah si gadis.
Ada juga satu kali, kedunya berjalan bersama di sepanjang deretan gerai-gerai pasar malam. Mungkin itu keududukan yang paling dekat berbanding duduk di gerai cendol bawah pokok atau berdiri berhadapan di depan rumah. Orang kata lebih banyak masa yang diluangkan, lebih mudah untuk kita saling menyelami perasaan. Orang kata...
Ada juga ketika gadis dan pemuda yang berada dalam satu kelas yang sama, duduk di meja yang sama ketika belajar, dan akhirnya duduk bersama juga di satu meja bulat ketika majlis tamat belajar. Duduknya bersebelahan.
Sengaja pemuda berlagak mesra. Bukan dia ingin mencuba-mencuba, namun jika sudah dikata-kata oleh orang; adalah lebih baik dia membiarkan saja segala sangka.
Bersenda gurau, gelak ketawa dan juga saling menatap mesra. Ketika waktu makan, pemuda memberi layanan kepadanya bak puteri raja. Diambilkan santapan, dihulurkan minuman bahkan disuapkan dengan mesra dan penuh kelembutan dalam memandang dan juga memberi rasa.
Gadis teragak-agak, katanya malu dilihat orang. Tidak bagi pemuda. Seisi kelas tahu, pemuda itu pencinta wanita. Bahkan layanan seperti itu bukanlah layanan terbaik yang pemuda boleh berikan. Disuapkan nasi minyak dan beberapa lauk yang enak-enak dengan sudu kepada gadis.
Tidak dibenarkan gadis mengambil semuanya sendiri.
Begitulah kehidupan, bukan selalunya cerah sehingga ke hujung milenium.
Setelah pemuda melangkah ke menara gading, begitu juga gadis. Namun begitu, berbeza menaranya. Kerengangan itu semakin tebal dan jarak semakin jauh. Pemuda sering juga cuba untuk bertemu namun khabarnya gadis itu juga sudah mempunyai "kawan lelaki" sendiri. Sudah pasti tidak wajar untuk pemuda terus memohon temu.
Pada akhirnya pemuda tinggal sendiri. Jika sudah namanya kawan, pastilah kekal sebagai kawan. Mana mungkin lebih dari tu. Apatah lagi jika yang berkata itu perempuan.
Begitulah kira-kira kisah yang aku ingin sampaikan kali ini. Aku kira mungkin kisah itu tidak menarik. Aku fikir mungkin kau akan melihat pemuda itu sebagai seorang kasanova. Entah-entah ada juga yang menjadikan kisah itu sebagai sebuah sempadan ataupun ingatan.
Mungkin lain kali aku sampaikan lagi kisah-kisah pemuda. Pemuda yang kini hanyalah seoang tua di serambi meski pun umurnya baru 1/3 umur manusia amnya.
Sampai jumpa lagi.
Assalamualaikum...
Ulasan
Catat Ulasan