#22: Rindu di Kamar Pencinta
20250826, 0441
Assalamualaikum dan hai ! Selamat sejahtera!
Ya betul, kau tak salah lihat. Sekarang jam menghampiri pukul 5 pagi. Aku masih belum tidur. Mungkin sebab aku minum dua gelas nescafe tadi, hahahaha.
Oh, ada banyak perkara yang aku nak sembangkan sebenarnya. Alhamdulillah keputusan peperiksaan untuk semester 2 dah keluar. Pointer aku jatuh sikit, tapi alhamdulillah sekali lagi masih capai sasaran untuk dapatkan anugerah dekan . Syukur sangat.
Selepas hampir 4 minggu aku berdiam diri di semua platform media sosial. Aku mula pos status. Gembira juga. ada beberapa orang yang balas menyambut comeback aku. Tak sangka ada juga yang menunggu-nunggu perkembangan aku.
Aku tak tahu sebenarnya bila tengok keputusan tu, aku banyak berfikir. Alang-alang tu aku tulis jelah dekat sini.
Aku kena pastikan aku dapat pointer kelas pertama untuk aku mohon pengecualian PTPTN nanti.
Aku nak kena habiskan baca semua buku sebelum pengajian tahun baru mula.
Aku kena menulis dan siapkan manuskrip novel.
Aku kena habiskan dan tamatkan pengajian dengan jayanya.
Aku kena pastikan yang aku dapat ubah segala perkara buruk yang masih membelenggu.
Aku kena dapatkan tubuh yang fit.
Aku kena lengkapkan segala jurnal yang ada.
Aku kena jadi CEO syarikat.
Aku kena pastikan yang aku ada nilai
Aku kena buktikan yang segala jarak yang aku cipta bukan untuk menjauh tetapi untuk menjaga
Aku kena pastikan yang aku tak ternoda dengan bentuk berkasihan yang dilarang.
Aku… dan banyak lagi….
Aku macam stuck. Aku tak tahu nak mula dari mana. Antara melupakan segalanya dan jadi lebih baik, atau kekal dan terus bertahan dengan segala lelah dalam penantian yang tidak menjamin sebuah ikatan.
Aku manusia biasa, aku bukan robot. Cuma cara aku berbeza dan aku memilih untuk tidak mesra jika di dalam perbualan telefon. Aku lebih suka berjumpa bersemuka dan bertentang mata dalam berbalas bicara.
Mungkin aku aneh ya ? Tadi rasa macam banyak nak tulis (literally menaip), bila cerita mula berjalan satu-satu mula fading… Aku keliru, sama ada aku perlu menunggu lagi atau terus ke hadapan.
Lelaki dan perempuan. Dua makhluk Tuhan yang diciptakan menjadi pasangan, setakat aku mengecapi awal kedewasaan ini, bukan semua hubungan itu berakhir di pelaminan.
Mungkin, hanya sekadar berjumpa dan menjadi kenalan.
Mungkin, hanya bekerjasama dan hilang selepas selesai usahasama.
Mungkin, hanya bertentang mata dan kemudian setelah beberapa ketika kembali berjumpa.
Mungkin juga, hanya untuk memberi pengajaran agar kita tetap dalam rasa
Ya, rasa itu satu keadaan yang hanya boleh dipastikan untuk sesiapa yang pernah merasakan. Bagi siapa yang belum, dia akan beku dan tertekan.
Sungguh jauh beza pencinta dan perasa. Mereka yang pencinta tahu bila perlu ada dan bila perlu undur. Tapi mereka yang perasa akan sentiasa ada, bukan untuk menghargai tapi sekadar menempati.
Aku ? Tak salah jika aku gelarkan diri sebagai perintis yang mula menjengah kamar pencinta. Cinta yang bukan membawa kepada kerosakan, namun manifestasi satu fitrah kehidupan ciptaan Tuhan yang mematuhi aturan agak tidak diazabkan.
Aku cuma… rindu ? Semoga Tuhan menyampaikannya
Terima kasih untuk temu yang sesingkat ini. Meski nadir tapi aku tetap hargai.
Jumpa lagi ya ! Kita akan jumpa lagi kan ?
Aiman Nazaruddin
20250806, 0502
Ampang,Selangor
Ulasan
Catat Ulasan