#18 Dari DBP ke Klinik
13 Ogos 2025
Assalamualaikum dan hai! Selamat sejahtera semua!
Hari ini aku rasa banyak juga perkara yang aku buat. Alhamdulillah!
Dari pagi selepas sarapan aku terus ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, dari rumah aku di Ampang tidaklah jauh dalam 15 minit sahaja. Aku sampai dan parkir motosikal. Ini bukan kali pertama aku datang ke DBP. Selalu juga kau datang untuk beli buku di Anjung DBP.
Aku ada Kad Rakan DBP. Setiap pembelian buku dapat diskaun sebanyak 25%. Kira banyak lah kan, tak perlu tunggu promosi atau pesta buku. Nak beli buku DBP beli sahaja dan dapat potongan harga tu. Kalau beli kamus dapat diskaun 20%.
Kenapa aku hadir di DBP hari ini ? Oh, ya! Salah seorang pensyarah aku terlibat dengan program hari ini. Wacana Etnosains dan Teknologi Siri 5. Kali ini forum 3 panel ini bertanggungjawab untuk membincangkan tentang tajuk Perkapalan Alam Melayu. Ada 3 orang panel dan salah satunya ialah pensyarah program aku.
Aku datang mendaftar seawal jam 8:30 pagi dan menanti dalam dewan. Ada juga disediakan sarapan ringan, roti dan air kotak. Jadilah, kan ? Aku berfikir banyak kali juga kenapa aku hadir. Aku rasa salah satu faktor sebab pensyarah akulah kan ?
Majlis berjalan lancar dan berakhir sekitar jam 12:30. Kemudian ? Ini yang seronok kalau pergi DBP. Mesti ada jamuan makan. Selepas bergambar dan berkemas aku bergerak ke dewan makan. Alhamdulillah, lazat sungguh makanananya, siap ada sagu gula melaka yang berais untuk penikmat glukosa (kena jaga juga gula jangan berlebihan).
(Pandang pun sudah tahu menyelerakan)
Aku sertakan poster dan pautan untuk sesiapa yang berminat untuk menonton.
Wacana Etnosains dan Teknologi (Siri 5): Perkapalan Alam Melayu
- Panel 1 - YBrs. Dr. Ahmad Jelani bin Halimi, (Perkembangan manuskrip Undang-undang Laut Melaka dalam sejarah maritim alam Melayu)
- Panel 2 - YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusof bin Abdullah, (Teknologi pembuatan dan pembinaan alam Melayu)
- Panel 3 - YBrs. Dr. Mohd Yuszaidy bin Mohd Yusoff, (Kearifan tempatan berkaitan dengan teknologi perkapalan tradisional dalam alam Melayu)
Masalahnya, kata ada kertas kerja tapi sampai sekarang aku masih tak dapat. Aku nak baca juga dapatan kajian para panel sebab setiap mereka membentang dengan begitu lancar dan terserlah kebijaksanaan serta kesarjanaan masing-masing.
Aku kena beli juga!
Ini satu lagi cabaran. Sesiapa yang mengenali aku pasti tahu betapa gemarnya aku dengan buku. Bahkan, seperti pos blog aku yang lepas-lepas, aku suka pergi kedai buku. Sudah, alang-alang di DBP singgah lah di Anjung DBP untuk cuci mata dan mana tahu ada buku-buku yang berminat di hati.
Satu perkara yang menarik perhatian aku ialah, banyak buku-buku yang bagus yang dijual di sini. Bahkan, terdapat banyak jenis novel. Novel remaja dan kanak-kanak pun ada. Aku pun terfikiki, masya-Allah, kanak-kanak pun dah baca novel. Lain macam…
Aku ada tanya kenapa buku-buku tu macam tak banyak promosi kepada penjaga kaunter bayaran di situ. Katanya, DBP akan promosi di platform DBP dan media sosial tapi penulis sendiri yang kena promosikan. Aku rasa macam sayang, sebab novel-novel ringan tersebut boleh didapatkan dengan harga serendah RM16! Mana nak dapat kalau layan penerbit komersial yang lain.
Novel zaman sekarang paling murah pun sudah cecah RM 25 ke atas. Kalau penerbit baharu lagilah, ada yang sampai RM55 untuk sebuah novel. Mungkin mereka memandang dari segi perniagaan, cerita tu boleh jual atau tak ? Macam novel Kaisar dan sebagainya.
Aku melilau dan mata aku beralih dari satu rak ke rak yang lain. Kalau ikutkan hati semua buku aku nak borong. Apakan daya, tiada lagi dana yang mungkin. Aku rasa macam syang nak balik tangan kosong. Aku teruskan berkeliling dan aku tertarik pada satu bahagian. Aku nampak nama yang amat besar di situ.
SASTERAWAN NEGARA SHAHNON AHMAD
Laju tangan aku mengambil ada banyak. Aku tertarik pada satu judul yang sudah lama aku teringin nak baca. Sampah. Ya, kau tidak salah baca.Novel dengan tajuk Sampah banyak aku baca menerima kritikan daripada para sarjana sama ada berbentuk sanjungan, kritis, mahupun cadangan. Aku pun tinjau-tinjau baki akaun bank. Alhamdulillah, adalah sikit lepas lah kalau nak beli.
Di sini Kad Rakan DBP memainkan peranannya. Kalau ikutkan harganya hanya RM10 sahaja (ya, murah bukan ?) tapi aku masih belum ada kemampuan. Aku kira harga selepas diskaun, dapatlah RM7.50. Aku pun bawa pulang novel tersebut. Satu perkara yang aku perasan tentang novel tulisan SN Shahnon Ahmad, novelnya tidak begitu tebal jika mahu dibandingkan dengan SN Arenawati.
Aku sudah baca satu novel tulisan beliau yang bertajuk Tivi (1995) yang penuh dengan simbolisme. Aku dapat pendedahan tentang novel itu ketika aku baca buku bertajuk Teori Dan Kritikan Sastera Modenisme Pasca Modenisme Pascakolonialisme (2003) . Salah satu tulisan pengarang buku (Sohaimi Abdul Aziz) dalam artikel yang dimuatkan dalam buku itu menerangkan tentang Teori Semiotik yang dipelopori oleh Ferdinand De Saussure dan juga Charles Morris. Novel Tivi dijadikan contoh karya untuk meneliti Semiotik Pandora dalam novel Tivi (1995) melalui watak-watak dan perlakuan watak.
Perlu ke ?
Sepulang dari DBP, aku terus menunggang motosikal aku (ayah aku punya sebenarnya, aku tunggang sahaja) untuk ke pejabat pos. Aku berfikir untuk pulang ke rumah dahulu, namun terasa leceh pula jika harus keluar dan bersiap semula. Aku memacu laju ke pejabat pos yang berada di salah satu pusat beli belah yang paling ikonik di Bandar Baru Ampang. Betul ! Spectrum Ampang Shopping Complex.
Aku parkir motosikal dan terus ke aras 2. Menaiki eskalator dan terkejut apabila melihat ruang legar utama kosong. Dua buah kiosk makanan juga sudah tidak ada. Kebiasaan, ruang di situ akan penuh dengan pelbagai jualan bersempena perayaan atau kempen.
Aku mengambil nombor giliran dan duduk di kerusi besi panjang yang disediakan. Ramai juga nombor ketika itu 2107 manakala aku pula 2113. Alhamdulillah semeunya berjalan lancar. Kenapa aku datang ? Oh, aku kelaurkan duit ASB. Sebentar sebelum kau mencemuh aku, biar aku terangakn. Aku perlu guna duit untuk keperluan pekerjaan. Lagipun, itu duit aku yang aku simpan, bukan duit orang lain. Oleh hal yang demikian, aku berasa lebih senang. Aku tidak mahu berhutang sedangkan aku masih ada wang yang aku boleh guna untuk kepentingan diri sendiri. Aku juga terkadang terfikir bagaimana orang boleh memlilih untuk berhutang sedangkan duit sendiri masih ada ? Bukankah kalau kita berhutang, kita akan terikat ? Aku seboleh-bolehnya akan elakkan dan memandang hutan sebagai the last option.
“Biarlah aku habiskan harta sendiri dan terlihat miskin daripada hidup berhutang hanya untuk bergaya.”
Selesai urusan aku di sini, aku membuat satu panggilan. “Hello selamat tengahari, Klinik Iltizam. Suntikan Tifoid masih berharga RM50 ?”
Ya, aku keluarkan duit untuk ambil suntikan vaksin Tifoid. Aku pernah ambil dulu, cuma dah tamat tempoh. Jadi, kena ambil baru. Aku kemudian bergegas ke Ampang Waterfront. Sekali lagi, alhamdulillah. Segalanya dimudahkan dan lancar.
Bayi ? Berapa belanja agaknya ya ?
Sederet dengan Ampang Waterfront ada sebuah gedung Manjaku Shopping Mall. Siapa saja yang tidak tahu tentang Manjaku ? Kedai pilihan utama pasangan suami isteri yang bergelar ibu bapa. Sengaja aku masuk dan meninjau. Baju-baju bayi masih boleh dikatakan berpatutan. Ada yang dijual lelong, ada juga yang masih berbungkus. Baju bayi antara julat RM10 hingga RM40.
Aku terlihat hamper-hamper yang biasa dijadikan hadiah kepada mana-mana pasangan yang baru menimang cahaya mata. Menarik ? Harganya ? Boleh tahan. Ada yang lebih menggerunkan, harga susu formula. Allah!
Satu tin ada yang cecah RM100, aku sudah pening… Alhamdulillah mak aku cakap dulu kami adik beradik semua hanya minum susu ibu. Tidaklah pening. Lampin pakai buang ? Dulu, mak dan ayah aku pernah cakap juga, kadangkala bila duit tak cukup kami semua pernah sahaja pakai lampin kain atau lampin pakai buang yang dijual timbang. Aku dah pasti sekarang ada lagi atau tak…
Kenapa aku masuk ? Kenapa aku ambil tahu ? Entahlah, mungkin sebab sifat inkuiri aku ? Aku suka dapatkan maklumat awal. “Be Advanced in Everything” antara petikan kata yang aku selalu pegang.
Refleksi
Dalam hidup kita ni, jangan pernah kita berharap pada makhluk. Secara peribadi, aku selalu ingat begini.
“Kalau kita mahu minta tolong orang, kita kena jangkakan penolakan. Kalau dia tak mampu, itu tak jadi beban kepada dia. Kalau dia mampu, sudah pasti dia sudi membantu. Jangan pernah paksa seseorang untuk buatkan apa yang sepatutnya kita buat jika kita masih mampu. Bimbang jadi satu tabiat yang buruk bahkan lebih teruk kita mula mengambil kesempatan.”
Aku petik refleksi ini dari perkongsian wacana pagi tadi oleh panel ke-2. Dalam slaid yang beliau bentangkan. Begini,
“Kita tak dapat mengubah angin, tapi kita boleh mengubah layar”
Kita mungkin tak boleh ubah sesuatu yang telah ditetapkan, tapi kita boleh ubah cara kita menghadapi perkara itu.
Satu lagi,
“Lihatlah diri kita dahulu, sebelum melihat diri orang lain”
Boleh jadi kita rasa rendah diri dengan segala kekurangan yang kita miliki. Namun, lebih ramai yang di luar sana yang memandang tinggi kepada kita dengan segala kelebihan yang kita ada. Mungkin, pandangan mereka terhadap kita lebih besar kagumnya berbanding kekaguman kita pada mereka.
Aku rasa cukup dulu sampai sini. Aku pun ada banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan. Terima kasih sebab sudi baca sampai sini.
Jumpa lagi !!! Assalamualaikum.
Ulasan
Catat Ulasan