#16: Mungkin, esok lebih baik ?
Assalamualaikum dan hai ! Selamat Sejahtera ?
Kadang-kadang hidup boleh jadi macam roller-coaster. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Sekejap kita penuh dengan pelbagai debaran untuk menanti sampai ke puncak. Bila dah sampai puncak, kita mula rasa blank dan gembira. Sebenarnya, kejayaan selepas satu pendakian, baru satu permulaan kepada naik turun kehidupan yag bakal kita lalui.
Aku ? Seorang pemuda, berusia awal 20-an. Ketika realiti dunia sedikit demi sedikit mula untuk menjengah masuk ke pandangan mata dan hati untuk terus-menerus menapis dan mencari. Sebenarnya, arah mana yang aku harus pergi ?
Ada banyak perkara yang perlu difikirkan, ada banyak perkara yang perlu diperjuangkan. Cuma… bukan semua perkara yang berlaku pada setiap orang itu sama. Setiap orang pasti akan mengalami dan menjalani ceritanya masing-maisng.
Betul…
Darah muda dan usia yang masih baru di waktu Dhuha.Tak mungkin segala keinginan yang tersenarai, layaknya segala perkara yang ingin diminum dalam sekali hirup akan dibuang saja ke tepi. Lazatnya dan asyiknya mungkin seperti kenikmatan berbuka puasa, walaupun hanya dengan segelas air kosong yang sejuk berais.
Keluarga ? Pelajaran ? Ekonomi ? Perhubungan ? Perasaan ? Pengorbanan ? Kewangan ? Ketaqwaan ? Keimanan ? Semuanya seperti berjalan serentak layaknya menekan sebuah plastisin untuk melepasi sebuah acuan sempit.
“Kamu dah umur berapa ? Sepatutnya kamu dah kahwin ?”
“Tak perlulah kahwin lagi, kamu habiskan belajar dulu”
“Kamu tak fikir ke pengorbanan mak ayah kamu dah hantar kamu belajar !”
“Duit tinggal sikit ni, kita berjimat ya.”
“Ada duit sikit, berilah pinjam dahulu. Nanti dapat gaji mak bayar semula”
Itu, hanya secebis daripada selembar kertas A4 yang mungkin terpisah. Kadangkala, meningkat usia, seseorang akan mula meneroka segala peluang dan perkara yang berlaku dalam kehidupannya. Baik dari segi pertemenan, persahabatan, perhubungan, kekeluargaan bahkan mungkin pekerjaan. Boleh jadi, sebenarnya yang paling menyesakkan apabila salah satunya bertembung. Ketika dua-dua perkara penting menjadi persimpanagan untuk kita membuat pilihan.
Mungkin… Itu yang disebut berkorban ?
Ada yang Berkorban Apa Saja (P.Ramlee) ada juga yang Berkorban Demi Cinta (Hijjaz). Setiap orang pasti akan berkorban, walau sekecil apa pun pengorbanan itu. Pasti ada sesuatu yang perlu dilepaskan sama ada secara paksa atau rela, demi sesuatu yang lebih utama dan penting.
“Aku rasa nak berhenti belajar. Aku kena tanggung adik-adik aku. Ramai lagi yang boleh sambung belajar nanti. Tak salah aku tak sambung belajar nak bagi mereka pendidikan yang baik”
“Aku rasa aku kena cari kerja yang lebih baik. Mungkin gaji yang lebih tinggi. Di sini memang selesa, tapi gaji tak naik juga. Aku perlu juga untuk cari duit lebih”
“Aku perlu pilih salah satu, sama ada aku nak banggakan keluarga aku atau nak tengok dia terus menunggu aku. Aku tak pasti. Tapi, aku dan dua hanya perasaan dan ikatan yang belum pasti. Sedangkan, pelajaran aku ialah tanggujawab yang berpanjangan”
Mungkin, ada juga yang berfikir seperti di atas. Banyak, terlalu luas cakupannya. Kadangkala, kita bukan tak bersyukur. Mungkin cara kita bersyukur belum sempurna. Syukur bukan hanya dengan lisan semata-mata. Hati yang sentiasa merendah dan amal yang bertambah juga salah satu cara untuk bersyukur.
Kalau ada yang tasa hari ini dia gagal, ketahuilah. Setiap kali kau gagal, kau sedang buka pintu peluang yang baru untuk berjaya. Semakin kau gagal, semakin kau cepat berjaya.
Aku teringat salah satu petikan kata di perpustakaan sekolah aku dulu.
“Learn from mistakes. So, I keep making mistake then I will be genius”
Dalam usia remaja, banyak perkara yang kita rasa kita perlu capai. Kita tengok orang lain bebas keluar berdua-duaan. Kita rasa teringin buat benda yang sama. Sedangkan kita tahu perkara itu salah. Kita tengok orang lain seronok bertepuk tampar, duduk serapatnya layaknya suami isteri sedangkan tiada apa-apa ikatan. Kita rasa benda tu bagus, sebenarnya benda tu salah. Kita tengok orang lain pakai baju mewah, bergaya, dengan segala barang kemas. Sebenarnya, mereka tak pernah tenang dalam hidup.
Sebenarnya, apa tujuan hidup ? Kemana kita akan pergi ? Dari mana kita datang ? Apakah yang kita buat selama ini hanya sia-sia ? Kehidupan kita hanya hidup, membesar dan mati ?
Tidak, bukan begitu ! Kita di sini ada misi. Ada perkara yang kita perlu selesaikan baik secara sedar atau tidak. Bila kita lahir ke dunia, jam waktu untuk misi tamat telah dimulakan. Layaknya sebauh bom pemasa yang berdetik mengundur. Semakin lama, masa untuk menyelesaikan misi semakin suntuk.
Berapa ramai orang yang masanya habis (mati) sebelum sempat sempurnakan misi ? Berapa ramai orang yang masih tersesat dalam mencari (orang kafir) ? Berapa ramai orang yang sudah nampak jalan tapi melengah-lengahkan objektif misi (orang fasik) ? Berapa ramai orang yang rasa misi yang sepatutnya dia selesaikan sebagai satu beban (orang munafik) ?
Kalau kita rasa kita banyak kekurangan, perkara itu wajar kerana kita makhluk (Ciptaan). Allah SWT ialah Khalik (Pencipta). Namun, kita bangsa manusia tetap sebaik-baik ciptaan berbanding ciptaan lain.
Jadi ?
Kau nak putus asa hanya kerana cinta kau belum jelas ?
Kau nak putus asa hanya kerana gaji kau sedikit ?
Kau nak putus asa hanya kerana kau gagal dalam ujian?
kau nak putus asa kalau orang yang kau sayang mati ?
kau nak putus asa kalau perniagaan kau jatuh ?
Kau nak putus asa kalau segala perkara yang kau inginkan tak berjalan seperti apa yang kau harapkan ?
Jangan… Jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Kau takkan tahu, manisan apa yang Allah simpankan untuk aku setelah habis menghirup segelas kopi pahit. Mungkin, selepas kopi kau akan dapat sebuah hidangan kek strawberi dengan krim manis ?
Kita manusia, kita kena selalu saling menasihati, boleh jadi hari ini kita sihat esok kita sakit.
Hari ini lapang,esok dah sempit. Hari ini hidup, esok mati.
Ingat lima perkara sebelum datangnya 5 perkara.
Aku nak cakap hal lain sebenarnya, tapi tidak mengapalah…
Jumpa lagi !
Ulasan
Catat Ulasan