#20: Kehidupan ?

 Assalamualaikum dan hai. Selamat sejahtera.


Kenapa tiada tanda seru seperti biasa ? Entahlah, mungkin sebab hari ini tak seru ? Aku terasa aneh. Benarkah perkataan mereka ? Aku selalu terfikir kalau ada apa-apa perkara yang memberatkan hati aku berlaku, aku akan terdetik dalam minda serta fikiran aku yang aku telah berbuat kesalahan. 


Orang kata sakit, musibah, resah, gelisah dan sedikit kebimbangan juga boleh jadi penghapus dosa ? Aku masih ragu bukan tidak percaya, cuma seperti biasa kepercayaan itu dibina bukan diberi. Ada orang yang mudah memberi kepercayaan sehingga semua orang dipercayai hatta jika dia dikhianati dia masih boleh tersenyum. Aku takjub…


Apa pandangan kau jika satu hari nanti kau diberi peluang untuk jadi lebih baik ? Adakah kau ingin terus pergi ke detik itu atau terus  untuk menjalani proses jatuh bangun yang akhirnya akan membentuk kau sampai ke tahap itu ?


Mengapa kau memandang aku dengan jelak ? Seakan-akan perkataan aku itu satu perkara yang tidak mungkin ya ? Jangan bimbang, mungkin seperti sangkaan orang-orang terhadap aku 


“Dia terlalu cepat menilai’

“Dia seringkali tenggelam dalam emosi”

“Dia susah untuk menerima segala ketentuan yang berlaku”

“Dia lebih senang untuk bersendirian berbanding perlu berada di keramaian”

“Dia berfikir dia lebih bagus daripada orang lain sehingga semua orang perlu mengikut aturannya”


Serta banyak lagi sangkaan orang-orang itu terhadap aku yang jika dihimpunkan mungkin lengkap untuk dikompilasikan sebagai sebuah buku kecil untuk panduan semua orang asing yang akan bertemu dengan aku.


Aku keliru. Katanya biarkan anak-anak itu dengan minat mereka. Namun seringkali minat anak-anak itu terhalang dengan sebab halangan yang sepatutnya dapat diatasi daripada peringkat awal. Aku pun bukan manusia yang bijaksana mahupun sempurna. Seringkali aku terjatuh dalam lembah kejahatan dan dosa yang telah berulang kali. 


Alangkah bodohnya pemuda itu, ketika terjatuh dalam lubang biawak berkali-kali ! Aku hanya diam membatu. Apa yang mereka katakan itu benar. Tidak 100% benar, namun tetap ada kebenarannya. Buat kesekian kali aku akan merenung siling dan berharap pandangan aku yang rabun ini dapat menembusi atap dan terus melihat ke arah bintang-bintang yang bertaburan di angkasa.


Oh,ya! Sekali lagi aku tersedar. Aku di Kuala Lumpur, memang mustahil untuk mencerap bintang-bintang dengan mata telanjang. Pencemaran cahaya yang sentiasa hadir dengan kemajuan teknologi dan pembinaan bangguna pencakar langit memang membuatkan bintang-bintang itu malu untuk menari-menari di dada langit yang gelap pekat tanpa haba dari Sang Suria.


Menjadi ibu bapa ? Sukarkah ? Tidak juga. Asalkan kau ada anak, kau sudah layak bergelar ibu dan ayah. Cabaran sebenar apabila kau mampu untuk membentuk anak itu. Bermula dengan sehelai kain putih, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. 


Aku ada satu kelebihan, setidaknya aku rasa perkara itu masih boleh untuk aku latih. Aku suka atau cenderung meletakkan diri aku dalam kasut orang lain. Seolah-olah terimbas dalam fikiran aku daripada sudut pandang mereka. Aku kini dalam tubuh mereka dan memandang dengan mata mereka.


“Apa yang kau tahu tentang menjadi guru ? Kau bukan seorang guru pun!”

Begitu lancar lisan budak itu menjarah segala rasa empati yang aku bina. Aku cuba memahami setiap perbuatan yang guru laksanakan dan menerangkan dengan sebaiknya dengan cara yang mungkin mudah untuk dia fahami. Ternyata aku silap, ketika semua orang yang aku harap dapat menerima suapan, namun mereka menolak hanya kerana makanan itu bukan pilihan. 


Hai, orang yang tak sedar akan keparat! Kau itu sedang kebuluran! Tandus dengan segala nilai dan erti dalam kehidupan. Apakah kau fikir usaha kecil aku untuk menterjemahkan sedikit kepayahan guru kepada kau tidak memberi pencerahan kepada jiwa yang sedang dahaga dan kehausan ?!


Ingin saja aku menghambur segala kata-kata yang boleh memberi sedar. Sekali lagi aku tersedar dan terkulai layu sendiri. Itu… Aku! Ya, itu kau yang masih dalam proses untuk cuba memahami setiap peristiwa yang berlaku di dalam hidup yang singkat ini. 


Aku seringkali… BUKAN! 


Aku sentiasa berbuat salah dan silap, sering berbuat harap pada orang lain. Kata-kata yang aku rasa “tegas” itu mungkin menjadi peluru-peluru yang mematikan setiap hati yang mendengar.


Pandangan sinis dan wajah kosong yang aku pamerkan itu mungkin menjadi hinaan kepada setiap ajakan yang mereka sembah dengan takzimnya kepada aku.Aku memang tiada apa-apa yang dapat dibanggakan pada diriku. Seumur hidup aku sehingga kini, mungkin tiada satu bakti pun yang dapat aku pajangkan di dinding amal.


Mereka kata hidup itu sebuah perjalanan. Dalam perjalanan itu banyak persinggahan. Namun mereka lupa perjalanan dimulakan dengan satu tujuan. Tiada yang berjalan secara objektif dan wajar jika tiada hala tujuan. Maka, aku beri inferens. Jika bertambah tempoh perjalanan, semakin banyak episod kesedihan, kedukaan dan kehibaan. 

Sayang…


Semuda ini sudah mencapai tahap kegilaan. Ketika masih ramai orang yang seusia mengecapi nikmat kehidupan dalam pertemanan dan juga keseronokan serta hiburan. Aku hanya duduk di tepian, mendengar deru angin, ombak menghempas pantai dan mungkin sedikit tawa daripada kanak-kanak yang sedang berebutkan  permainan. 


Mungkin benar apa yang kau fikirkan selama ini. Aku… Angkuh. Sombong. Mementingkan diri sendiri. Kera sumbang.


Sekali lagi, mungkin…


Kau sendiri tetap dalam sangkaan tanpa pernah berniat untuk mencari kebenaran. Mungkin, kebenaran itu telah nyata. Cuma, hati yang telah tertipu dengan segala kesenangan menjadi satu bukti bahawasanya manusia juga bukan sesuatu yang boleh memberi jaminan.


Aku fikir mungkin sampai di sini dahulu ya ? Aku akui masih banyak yang aku ingin bicarakan. Biarlah aku tenggelam dahulu dalam kata-kata aku sendiri. 


Sampai jumpa !


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

# 28 Rasa di Antara Baris

#24: Sedikit Catatan untuk Dikongsi

#5 Pelbagai Kisah

#7 Catat yang Kecil