#17: Kembara dan Buku
Assalamualaikum dan hai! Selamat Sejahtera!
Kali ini sebenarnya aku nak ceritakan (mungkin maklumkan lebih tepat) aku baru sahaja habis baca satu novel. Sebenarnya, aku terpandang novel ini pada hari Khamis lepas 20250807, ketika aku pergi mencuci mata di MPH Bookstore Melawati Mall. Aku rasa dah jadi satu kebiasaan aku untuk pergi ke kedai buku dan belek-belek buku meski tidak membeli. Orang kata window shopping ? Entahlah, aku tak mahir sangat terminologi ni. Aku tengok buku tu dan baca sedikit di bahagian belakang buku dan aku tertarik. Mungkin sebab kisah dia. Tapi sebelum tu, penulisan kali ini mungkin agak panjang. Harapnya sudilah membaca ya !
20250805
Aku baru sahaja habiskan Bacaan buku Hikayat Nikah Tanpa Couple Jilid 1. Aku termenung lama dan berfikir dengan ligat. Bagaimana, sebuah pertemuan antara seorang lelaki dan seorang perempuan dalam rangka sebuah rasa yang dimanifestasikan menurut jalan yang paling dekat dengan agama. Tiada basa-basi, tidak membuang masa, tiada satu pun yang menampakkan ketidaktentuan rasa.
Antaranya hasrat Syahr Musafir yang memberitahu mak dan ayahnya untuk berkahwin. Ketekunan dia dalam mencari wang untuk perbelanjaan, untuk tampung majlis dan belanja kahwin. Dari sisi Rahimah AR pula yang mula untuk memahami dan bagaimana keadaan ibunya menguruskan rumah tangga selepas ketiadaan ayahnya.
Buku ini memang mengisahkan salah satu gambaran awal yang jujur dalam melangkah ke sebuah pernikahan yang diredhai. Aku baru baca jilid 1, jadi tak pasti pula nanti bagaimana. Namun, aku belek-belek jilid 2, rasanya lebih kepada kehidupan selepas pernikahan. Belum Baca lagi…
Tajuk :Hikayat Bernikah Tanpa Couple Jilid 1
Tahun : 2025
Penulis : Syahr Musafir & Rahimah AR
Penerbit :Sentap Press Sendirian Berhad
ISBN : -
Bil. Halaman : 130
202050806
Hari ini sedikit berbeza, aku dilanda pelbagai perkara yang membuatkan aku berfikir dengan lebih kuat. Aku masih belum dapat panggilan kerja, dan apa yang aku buat hanya rutin biasa orang yang belum bekerja. Aku isi sebaiknya dengan membaca buku dan berfikir. Namun seperti biasa, bukan semua perkara yang aku nak buat akan berhasil. Sejak, aku tonton filem Tak Ingin Usai Disini (2025) pada hari Sabtu lepas. Aku terus berfikir bahawa nilai yang mereka bawa amat bertentangan dengan nilai budaya yang kami pegang.
Sengaja aku menatal skrin mencari filem yang aku boleh tonton, aku sedang dalam proses menghabiskan tontontan KDrama juga. Satu bertajuk Lovely Runner (2024) dan satu lagi When Life Gives You Tangerine (2025).
Kali terakhir aku menonton drama Lovely Runner ketika hari terakhir bulan puasa lebih tepat 2 jam sebelum azan maghrib dan malam raya. Masa tu macam tiada apa sangat nak buat. Tengah hype pula di media sosial tentang jeritan watak utama drama tu
“Sunjae-ya!!!”
Aku pun tontonlah, tak sangka pula pelakon yang sama untuk watak Eun Dan-Oh dalam drama Extraordinary You (2019). Aku pun mula rasa yang cerita dia macam ada sedikit persamaan lah. Aku sembang dengan Professor C tentang perbandingan tu. Mungkin ada sikit, misi mereka sama tapi cerita berbeza. Aku tak berminat pulak nak buat penelitian begitu mendalam.
Filem Cinta Religi
Aku pun tertarik dengan satu cerita ini. Alhamdulillah filem, tajuknya Cinta Dalam Ikhlas (2024). Oh, ya sebab satu lagi aku tertarik dengan pelakon wanita filem tu, gadis itu juga yang membintangi cerita Dua Garis Biru (2019) dan Mariposa (2020).
Filem ini memang memberi aku satu visi baharu dalam kehidupan, episod cinta remaja yang mungkin semua orang pernah lalui. Watak utama yang tidak memaksa namun tekad yang kuat dan watak gadis yang berani mempertahankan cinta dalam diam yang masing-masing mereka setuju dengan hanya pandangan mata 3 detik (ada lagu tau).
Aku sangat terinspirasi dengan kisah yang dipaparkan. Masing-maisng sedar yang pelajaran paling utama dan penantian selama 3 tahun bukan sesuatu yang mudah namun akhirnya filem berkakhir dengan kesudahan yang menggembirakan (happy ending). Meski, pelbagai konflik yang berlaku pada watak utama Athar.
Aku juga perasan yang filem ini satu adaptasi novel. Aku nak dapatkan novel tu, tapi masih belum dapat. Hanya ada di pasaran Indonesia sahaja.
20250807
Aku dah lama nak pergi Dar al-Hikmah di UIA, Gombak. Jadi, alhamdulillah aku sampai juga hari ini. Aku singgah sembahyang zohor di Masjid UIA, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.
Rupanya nama perpustakaan sudah ditukar kepada M. Kamal Hassan Library. Aku tidak pasti, namun menurut kawan aku yang juga mahasiswa di situ katanya untuk menghargai nama rektor ketiga UIA. Jadi begitulah.
Perpustakaan ini ada 4 tingkat. Ketika aku sampai tingkat 4 ditutup untuk kerja-kerja naik taraf. Aku duduk sebentar di IIUM Student Lounge dan membaca satu artikel dan buku Pengantar Kesusasteraan Melayu.
Aras 1, bahagian perundangan. Aras 2 ada Student Lounge tadi, ruang pameran dan buku-buku rujukan dan juga kaunter-kaunter perkhidmatan. Aras 3 lebih luas dan ada banyak buku serta tempat untuk belajar dan berbincang. Oh ya! Di sini bahagian lelaki dan perempuan diasingkan. Maksudnya, ada meja khas untuk brother dan untuk sister. Mungkin, mereka tak boleh duduk sekali ? Aku kurang periksa.
Sebelum balik aku singgah di IIUM Press Bookshop. Ada banyak juga buku yang mereka jual. Kebanyakan buku akademik. Banyak juga yang menarik perhatian aku, tapi yalah tiada dana lagi. Jadi, aku ambil gambar sahaja. Banyak juga buku terbitan DBP yang lama di sini banyak. Aku tak nafikan di sini memang hampir setiap rak tu ada sahaja buku-buku arab, mungkin sebab universiti antarabangsa kan ?
Kemudian, aku bertolak untuk pulang. Niat nak singgah Melawati Mall dulu. Yalah, dulu aku pernah juga kerja di kawasan situ. Aku parkir motor dan mula ‘mengembara’. Aku jelajah segala ruang dahulu seperti biasa. Turun naik, kiri kanan. Cuci mata mungkin ? Aku terus ke MPH sebab itu tujuan utama aku datang sini.
Aku macam biasa tinjau dan tengok buku-buku yang ada. Kali ini yang dapat spotlight di hadapan cermin pameran buku yang sedang popular tajuk dia apa tah, lupa pula. Buku Kaisar (2025) yang dilancarkan pada PBAKL 2025 pun masih ada. Buku itu jadi fenomena dalam kalangan pembaca muda.
Aku ambil gambar buku dan baca serba sedikit, buku terjemahan Azah AR Selamat Datang ke Kedai Buku Hyunam-Dong pun masih ada walaupun dah setahun diterbitkan bawah siri K-Lit Karangkraf. Mata aku tertarik pada satu buku, My Sweetest Pain (2024). Grafik dan ilustrasi ala-ala webtoon dan kisah yang amat dekat dengan diri aku. Aku memang cakap dalam hati, ‘aku kena dapatkan buku ni!’
Ringkas cerita, aku balik ke rumah dengan pelbagai hasil ‘tangkapan buku’.
Aku rasa itulah dulu, kan ? Tak menarik mana… Tapi aku rasa mungkin aku perlu juga untuk menulis, sedangkan aku pun belum tentu jadi penulis (tapi, aku nak sangat jadi penulis dan terbitkan buku sendiri).
Kadangkala aku menulis ni sebab emosi dan perasaan sahaja, kalau ikutkan aku lebih mudah untuk bercakap dan bercerita. Aku masih ingat ayat tu,
“Semua orang ada cerita, tapi bukan semua cerita perlu diceritakan”
Sebenarnya, bukan tak perlu diceritakan tapi bukan semua orang yang nak tahu cerita kita. Daripada mensia-siakan tenaga dan air liur lebih baik diamkan sahaja. Aku tak pasti sampai bila aku dapat menulis. Cuma formula begini.
Semakin banyak aku menulis, bermakna semakin kurang aku bercakap. Semakin banyak aku bercakap, semakin berkurang aku menulis. Aku rasa cukup dulu sampai sini ya ?
Ada rezeki jumpa lagi !!!

Ulasan
Catat Ulasan