#7 Catat yang Kecil
20250502, 0008
Lena Dibuai Mimpi yang Kusendiri Hajati
Malam Jumaat, suasana tenang. Namun, hatiku bergoncang. Apakah cinta? Tidak, ternyata cutiku hampir ke penghujungnya. Bilakah lagi saat aku dapat bercita-cita, berseru-seru?
Buku setinggi harapan ditumpuk menggunung. Panji azam yang terus berkibar, obor semangat yang kian malap. Dimanakah sang wira ? Bukankah mereka ada ?
Oh, aku terlupa melihat ke kaca! Yang mampu mengubah aku hanyalah aku, bukan yang lain. Bayu selembut kapas, membuat kalbu kian terimbas memori silam di lembah asmara berpadu.
Aku lemah ? Tidak sekali-kali…
"Damai itu ketika kau mula menerima dan bergerak walaupun sedikit. Bukan mengeluh dan berteleku diam"
20250502, 0103
Lafaz yang Tertutup
Bila kali terakhir aku turun? Oh, rasanya hampir 2 tahun lepas. Tak lama lagi genaplah
Rasa? Tidak perlu. Ketika topeng boleh bertukar mengapa setiap emosi perlu hadir dengan rasa
Pelan... Ya, kau ada pelan yang besar. Bukan untuk mereka, tapi untuk aku.
Jalan ? Jalan terbentang luas, hanya aku yang memilih lorong kecil. Satu waktu mereka akan tahu, pilihan aku ini suatu yang tidak dapat dimungkiri
Selamat aku masih bernaung, aku kerdil...
"Permata itu sinarnya kendiri, bukan kaca yang perlu pada sumber cahaya"
20250502, 0351
Salju yang turun terhenti kerana kehangatan mesra. Bukan letak di tubuh tapi jiwa yang membara. Perkataan nista mudah dipercaya, sedang lagak yang membukti hanya suatu cerita.
Cemerlang, Gemilang, Terbilang. Rangkai azimat yang menjadi nadi mengalir dalam setiap lekuk sungai yang sentiasa bervariasi bersandar detik. Juga, mentari hangat turut membeku kerana dinginnya sebuah peribadi. Diri? Abdi? Sejati?
20250502, 1148
Teratak kecil aku meraung. Dimana ?!
Pokok kehidupan yang semakin menua.
Daun-daun yang gugur dan tak mungkin tumbuh semula.
Air yang tidak akan kembali ke hulu. Muara tempat menyata. Nyiur jauh dibanding tamar.
Langkah kecil yang pasti, bukan satu rempuhan. Saat gembira buat semua tertunggu. Di atas segalanya telah sedia, terbuka segala hijab yang membuat aku buta.
"Jalani, jangan berlari. Bukan siapa sampai dulu, tapi siapa sempurna dahulu"
20150502, 1157
Mabuk yang Bersuka
Yang ditegah agama itu mabuk atau arak? Arak, bukan mabuk.
Izinkan aku bermabuk sehingga senja datang. Sahaya turut berpesta dalam terang. Biar semesta bersaksi bahawa tiap rantai yang mengikat tidak dapat menghalang kebebasan jiwa.
Dalam, kelam dan gelap. Tempat yang sentiasa ada meski mentari terus menyinari semua. Bukan aku yang lupa, ternyata lemahnya jiwa menyimpan umpama segudang jerami kasar.
Angin? Kau ada, kan? Lelahnya, tidak ada. Kau hanya angin, hadir menghembus dan terus bergerak. Tidak berhenti.
Lembah sejahtera itu hanya dicapai oleh Nuri, dan Enggang. Kemboja dan Melati jarak merencam taman. Satu lagi, fairuz itu suatu kecacatan yang dianggap kecantikan.
"Jalan ada tiga, tapi pilihlah yang kelima”
20250502, 2024
Hidang yang Dingin
Aku rasa kau tak berniat untuk ke sini. Fikir aku singkat. Mungkin kerana membuak rasa.
Sejuk, dia buang. Sedang masih ramai yang berharap. Sederhana, tidak semewah yang pantas
Aku ragu, aku siapa? Seorang penuntut atau sekadar pengembara. Jika tidak keduanya, aku hanyalah pusara? Yang mati tanpa ada cerita.
Lazat, bukan pada hidang tapi pada waktu. Yang tidak dapat aku gores dan lekat sekadar kanji di atas hawa tanak.
"Paling utama isi, bukan rasa. Yang menggerak daya, bukan bicara”
20250503, 1318
Aiman Nazaruddin
Universiti Kebangsaan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan