#5 Pelbagai Kisah
20250420, 2102
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Hai, apa khabar semua ? Harapnya semua masih sihat dan elok sahaja. Insya-Allah. Banyak perkara yang berlaku minggu ini, dan masih banyak tugasan yang perlu disiapkan. Mudahkanlah, wahai Tuhan!!!
Mungkin penulisan kali ini, lebih kepada rangkuman minggu ini ? Bermula daripada hari Ahad (20250413) hingga hari semalam, Sabtu (20250419) ?
Jom kita mulakan ?! Ayuh!!!
Ahad, 202504013
Hari ini aku di rumah kerana aku ada program di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau singkatan bahasa Inggerisnya IIUM. Sebenarnya aku pun tak tahu kenapa aku pergi. Masa aku dapat iklan di kumpulan Whatsapp, aku terus tertarik memandangkan aku tiada buat apa sangat hari Ahad tu dan kebetulan rumah pula dekat di UIAM. Aku juga ada kawan si situ.
Sebenarnya nama program tu, “ Jejak Alumni ADN: Dari Kampus ke Negeri ”. Sebuah program anjuran Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) UIAM untuk memperkenalkan mahasiswa kepada program Ahli Dewan Negeri Muda di bawah Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor. Menarik, seronok dan dapat pengalaman serta berjumpa orang baharu. Kami juga ada bertemu dengan Presiden PERMAS Nasional dan juga YDP PERMAS UKM bagi sesi 2024/2025.
Selepas itu kami makan tengah hari dan juga berziarah serta berbual di Kafe Mahallah Ali. Cadangan yang agak menarik, makanan yang berpatutan. Nama kafe tapi gaya lebih kepada medan selera. Gaya yang minimalis tapi tak rasa lemas walaupun dalam ruang yang tertutup. Pengudaraan yang baik. Sempat juga kami ziarah ke bilik kawan kami ini. Rupanya bilik di UIAM tidaklah besar, umpama satu rumah kecil yang dibahagi kepada 4 ruang berasingan. Kalau mahukan privasi itu terjaminlah. Kalau di UKM, alamatanya perlulah mohon pangsasiswa dengan kadar bayaran 2 kali ganda berbanding asrama biasa.
ISNIN, 20250414
Tak banyak perkara menarik, kami hadir kelas seperti biasa. Cuma, pada waktu petang kami pergi ke Shah Alam. Ada urusan, alhamdulillah dapat juga cetak buku yang dalam bentuk digital banyak-banyak tu mudah sikit nak membaca.
Antara buku yang kami dapat cetak ialah buku The Art of Investigation (2020), buku terbitan Amerika Syarikat. Kalau beli pasti mahal, kami dapatkan di dalam talian melalui sumber terbuka. Satu lagi buku, kami cetak buku Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi (1989) , tulisan Harun Mat Piah. Halaman sebanyak 625 halaman. Tebalkan ?
SELASA, 20250415
Kelas biasa habis pukul 11, tapi ditamatkan awal sebab nak beri laluan kepada jamuan raya peringkat fakulti. Alhamdulillah kami dapat rasai suasana dan debarannya. Ramai rakan-rakan dan kawan kami terserempak. Kami juga ada buat beberapa kenalan baharu. Seorang pelajar Sains Politik dan seorang lagi pelajar Komunikasi Media. Menarik juga kan ? Ramai kenalan ? Entah ? Seronok kah ?
RABU, 20240416
Di UKM, kami bersarapan. Macam-macam perkara kena selesaikan lekas. Ada perbincangan dengan rakan kelas secara dalam talian. Kami tengok, kamilah yang menggerakkan, entahlah. Kalau tak gerak kami juga susah. Tidak mengapalah. Tengah hari pergi ke Teras Jernang, Kawah Buku. Tak sangka pula, rupanya syarikat ini masih banyak menyimpan buku-buku yang sangat kami perlukan untuk pengajian kami. Ada macam-macam buku.
Kami hadir untuk ambil buku sahaja yang telah ditempah. Buku Prosa Warisan (2016), tulisan Aripin Said. Tapi bila masuk je dalam kedai tu, masya-Allah! Terpukau, banyak sungguh buku dengan gaya susunan yang agak ringkas namun amat menarik beetepatan dengan gaya klasik ala-ala kedai lama. Akhirnya, kami beli juga dua buah buku tambahan, satu novel tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dengan judul Tivi. Satu lagi, buku baru terbit karya Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani yang bertajuk Manikam Budi.
Selesai membeli, kami terasa hendak minum kopi ZUS Coffee. Apakan daya, dana kami tidak mencukupi lantas kami mengambil inisiatif untuk duduk sebentar di Baker’s Cottage dan minum kopi pracampuran 3 dalam 1 sahaja.
Petang kami ke Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) untuk bertemu rakan sekumpulan dan menyelesaikan tugasan. Dalam anggaran pukul 1400, kami juga masih serabut sebenarnya. Rakan-rakan juga ada yang perasan. Mereka berhak kata apa pun. Keserabutan saya pasti akan dipertikai. Entahlah, tidak mengapalah.
Malam saya pulang ke rumah kerana ada perkara yang perlu diselesaikan untuk projek kuliah kami. Baju Kurta dibekalkan untuk jualan hari keusahawanan nanti (Uptown FSSK Entrepreneurial Day). Dikenali juga sebagai UFED. Kami pun kena fikir fasal inovasi. Fenin kami sebenarnya… Saya berjumpa dengan kawan yang dapat berikan saya bekalan untuk jualan. Alhamdulillah, terima kasih Tuan Syed.
KHAMIS, 20250417
Sebenarnya, hari ini tidak banyak sangat perkara yang berlaku. Cuma ada satu peristiwa yang amat menarik hari kami. Selepas Asar kami lakukan perbincangan lagi untuk tugasan lain pula. Kami bergegas ke PTSL dalam anggaran pukul 6. Kami perlu kaji seorang tokoh cerpen, Baharuddin Kahar. Perkara yang paling mencabar ialah untuk menentukan idiosinkrasi penulisan beliau.
Alhamdulillah, kami temukan satu buku kumpulan cerpen beliau yang berjudul Capa Rengat (2005). Kami membaca dan mengambil gambar. Tiba maghrib kami bersolat di Surau PTSL di tingkat 2 dan seterusnya bercadang untuk kembali ke kolej. Kami singgah di ZUS dan berkira-kira dengan duit yang masih berbaki untuk membeli kopi.
Kami perasan ada seorang tua yang masih bugar badannya melilau dari satu kedai ke satu kedai di aras 7 PUSANIKA, UKM. PUSANIKA tu apa ? Lain kali kami terangkan nah!
Dia masuk ke ZUS Coffee dan bertanyakan kepada kami tentang tempat yang menyediakan makanan yang berat. Rupanya beliau berpuasa. Ringkas cerita, beliau ajak kami makan dan belanja kami minum lagi. Peribadi yang sangat menarik dan tutur bicara yang lancar, seorang petah dan mahir berbahasa inggeris. Mungkin berkat beliau belajar di London dahulu.
Kami terus jemaah Isyak bersama-sama dan teruskan sesi ulangkaji dan pembelajaran di ruang senyap Bestari di Aras 5 PTSL. Akhirnya, apabila PTSL tutup pada pukul 2145, kami terpaksa berpisah dan mengambil haluan masing-masing. Saya boleh sebutkan nama beliau Pakcik Saidy.
Setiap bait kata beliau amat mengubah setiap perkara yang kami pelajari selama ini. Beliau sudah bersara, namun masih berusaha untuk menyambung pelajaran di peringkat yang tertinggi dalam bidang yang berlainan.
JUMAAT, 20240518
Pagi kami bertemu dengan pensyarah untuk perbincangan tajuk dan hasil dapatan. Tengah hari, sembahyang Jumaat. Petang, kami ke Perpustakaan Awam Selangor di Bangi. Kami ambil laptop pinjaman di bawah inisiatif SEPINTAS. Rupa perpustakaan itu sangat banyak berubah. Kali terakhir kami sampai di situ pada tahun 2018, itu pun sebab ada program sekolah.
Nak dijadikan cerita, sebagai seorang penggemar buku sudah pasti akan memanfaatkan ruangan yang telah tersedia. Kami terus menjelajah dan menelaah buku-buku yang ada khususnya buku yang berkaitan dengan pengajian kami. Ada jumpa beberapa buah buku yang kami fikir sangat membantu pengajian kami. Tulisan Abdul Rahaman Hanafiah ataupun lebih dikenali sebagai Mana Sikana. Buku berjudul, Sastera Melayu Klasik: Warisan Keemasan dicetak di Singapura. Ada juga jumpa buku Sejarah Kesusasteraan Melayu. Buku-buku ini sudah tidak diterbitkan lagi dan sukar untuk didapatkan oleh pelajar-pelajar baharu seperti kami. Buku-buku seperti itu mungkin ada di koleksi peribadi tokoh, kedai buku antik ataupun perpustakaan.
Kami lupa kunci motosikal. Kunci tertinggal di motosikal, dan akhirnya bateri lemah dan tak enjin motosikal tak boleh dihidupkan. Kami dah cuba sedaya kami. Terpaksalah kami menebalkan muka untuk menghubungi Abi. Abi sedang bekerja dan hanya pulang selepas pukul 1800. Kami hubungi Abi dalam anggaran jam 1730. TIdak sampai satu jam selepas Abi sampai di rumah, Abi terus bergegas ke tempat kami tersadai. Ya, dihadapan Perpustakaan Awam Bangi. Abi datang bersama Ummi. Kami tak jangka perkara itu.
Selepas semuanya pulih, saya, Abi dan Umi pun bertolak ke rumah di Ampang. Abi menunggang motosikal yang baru diganti bateri dengan motosikal satu lagi. Saya menunggang motosikal yang Abi dan Umi bawa ke sini. Sebenarnya, kami amat malu. Entahlah kan… Daripada kecil sampai besar, tidak habis-habis menyusahkan orang tua sahaja…
SABTU, 20240419
Hari ini berada di rumah, tak banyak yang berlaku. Cuma kami dapat habiskan pembacaan dua buah buku yang dibeli tempoh hari. Ya, buku itu! Tivi dan Manikam Budi. Alhamdulillah, semuanya baik. Bak kata pepatah, hujan emas dinegeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Walau bagaimana baik pun negeri orang, pasti lebih baik negeri sendiri.
Itu sahaja rasanya cerita untuk minggu ini. Ada juga bahagian yang kami tidak ceritakan kerana pandang kami tiada perlulah segala butir ditabur jua. Andai hasilnya tidak dapat dirasai adanya.
Selamat malam, semua!
Aiman Nazaruddin
20250421, 0107
Universiti Kebangsaan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan