#21: Jalan Ampang ke Jalan Gombak
Assalamualaikum dan hai! Selamat sejahtera !
Menarik sungguh hujung minggu ini bagi aku, alhamdulillah. Mungkin ada hikmah juga, kita tak pasti dan sentiasa bersangka baik. Macam bicara Tuhan Rabbul Jalil dalam hadis qudsi melalui lisan Nabi;
“Aku mengikut sangkaan hamba-hambaKu. Maka, bersangka baiklah kepadaKu”.
Begitulah lebih kurang mafhumnya. Penulisan kali ini akan merangkumi beberapa perkara yang agak menarik cuma panjang sikit.
Jumaat, 20250815
Penghulu segala hari. Aku masih terfikir apa yang harus lakukan. Nampak gayanya memang aku tak dipilih untuk kerja tu. Tidak mengapalah, mungkin ada hikmahnya. Selepas selesai solat Jumaat, aku rasa lengang. Jadi, aku terfikir nak pergi tengok-tengok laptop di Harvey Norman di Ampang Point. Ya, aku memperoleh sedikit dana untuk aku beli laptop.
Aku ada buat sedikit carian di internet malam sebelumnya dan bertanya dengan Profesor C. Aku ingat nak beli laptop baharu sahaja sebab tak nak pening kepala kan ? Jadi, aku fikir begitulah.
Aku pergi dengan adik perempuan aku dengan menunggang motosikal. Sampai di Ampang Point Shopping Centre, memang menjadi kebiasaan aku untuk berjalan di sekitar. Ambil angin orang kata. Banyak berlaku perubahan di sana. Aku lebih memilih untuk menaiki eskalator satu demi satu tingkat sebab aku suka berkeliling. Setiap langkah dan pemandangan menjadi sebuah cerita lagipun aku tidaklah bergegas.
Setibanya di aras 3, aku terus masuk ke Harvey Norman dan mencari ruang di mana segala jenis komputer riba dipamerkan. Masya-Allah, banyak sungguh! Harga pun cantik-cantik juga. Harga paling rendah dalam RM 1800. Aku berkeliling juga untuk meninjau segala sudut yang menarik. Aku terpegun juga. Tapi macam biasa… Hanya lihat-lihat.
RAM semestinya aku pastikan sekurang-kurangnya 8GB dan ke atas. ROM macam biasa standard 512GB. Ada yang guna Intel, Interforce X, Snapdragon. Macam-macam jenis. Harga memang bervariasi. Selesai urusan di situ, aku keluar dan naik ke aras 4.
Tak sangka sudah ada sudut permainan arked di situ dan pawagam TGV. Oh, ya! Boling Ampang Superbowl masih ada juga. Aku dan adik aku sengaja melihat ke arah jadual tayangan. Tiada niat pun nak tonton. Oh ya adik perempuan aku ni, lebih rapat denganbang dia yang satu lagi. Aku bawa dia berkeliling ni pun sebab mak aku suruh. Yalah, perempuan kan. Mana boleh dibiarkan seorang diri berjalan. Mesti ditemani walaupun nak pergi kedai depan rumah.
Popular Sudah Pasti
Kemudian, kami terus ke aras 2. Cuba kau teka ke mana ? Ya betul! Ke kedai buku Popular. Aku memang akan singgah walaupun aku tahu aku mungkin tak beli. Aku suka tengok buku dan juga pegang buku tu. Kalau aku tak dapat beli, aku ambil sahaja. Eh, jangan fikir aku seorang pencuri ya. Aku ambil gambar sahaja. Kalau datang di cawangan ini, memang dah lama aku sasarkan untuk beli buku fasal kewangan. Buku tulisan Zaidi Ismail yang bertajuk Forensik Kewangan (2019) dan Bergaji Tapi Pokai (2022) tulisan Suraya Zainuddin . Aku sertakan juga di sini “hasil” tangkapan aku.
Kemudian, kami pergi makan aiskrim di aras bawah sekali (Ground Floor) di WeDrink. Adik aku sengaja berbual fasal aiskrim durian yang dijual di situ. Sekadar ingin bercerita ? Tentu tidak! Aku ada dana sedikit jadi, aku pun belilah dia aiskrim dan kami oun dudk sebentar menikmatinya. Bau aiskrim tu saling tak tumpah dengan bau keropok jagung berperisa durian yang dalam peket berwarna jingga yang kami selalu makan ketika kanak-kanak.
Selesai, kami keluar bangguna pusat beli belah dan berjalan kaki ke arah CU Mart dan aku singgah membeli air mineral. Aku tidak akan membazirkan duit semata-mata untuk minum. Biasa kalau aku keluar sendiri, jarang pun aku beli makan. Aku biasa akan berjalan sampai penat dan minum air sahaja. Kemudian, saja berpusing di banggunan dan kaki lima di situ. Aku ada memori dengan banggunan di situ. Setiap kali melintasi deretan kedai, aku akan terimbas kembali. Aku seolah-olah nampak aku dan orang itu duduk dan berbual. Hahaha, sungguh menggelikan.
Kami kembali ke rumah selepas itu dan aku dapat panggilan pula. Aduhai, perlu hantar orang dari hospital ke Kajang 2. Aku pun pergi sajalah. Ya, aku memandu. Eh, aku ada lesen lah! Ayah aku tidak akan benarkan memandu kalau aku tiada lesen, bahkan ketika sudah tahu menunggang motosikal pun, ayah aku lekas-lekas suruh aku daftar lesen motosikal.
Menarik juga perjalanan itu. Dari Hospital Ampang ke Kajang. Kemudian, bergerak pulang semula ke Ampang. Alhamdulillah, dapat menikmati satu hidangan kuetiau goreng. Lazat sungguh. Cuma, kurang kerang sahaja.
20250816, Sabtu
Hari ini kami sekeluarga mahu pergi bersiar-siar alang-alang mahu membeli komputer riba kau yang baharu. Ayah aku mencadangkan untuk membeli di MajuTech sahaja. Kedai ini terletak di Jalan Gombak. Bagaimana boleh tahu tentang kedai ini ? Kau betul sekali lagi, Tiktok !
Akaun tiktok Suria Maju Technology yang selalu buat video ulasan tentang alat elektronik palsu tu yang buat ayah aku tertarik. Aku ikut sahaja, lagipun harga yang ditawarkan juga rendah.
Kami sampai dan aku ditawarkan dengan dua jenis komputer riba. Memandangkan bidang pengajian aku tidak seberat budak sains dan kejuruteraan. Aku tidak perlu komputer riba dengan spesifikasi yang begitu tinggi sangat. Ada dua pilihan satu harga RM 2199 satu lagi RM1699. Dua-dua menarik! Masing-masing ada 16GB RAM! Masya-Allah besar kan ! Kira lancarlah juga. Kalau beli baru pun ada 12GB yang aku buat tinjauan semalam tu.
Setelah uji dan bertimbang tara. Aku memilih untuk beli sahaja komputer riba yang berharga RM 1699 tu. Aku boleh ambil yang 2K tu tapi, fizikal dia nipis sangat. Aku ni lasak, taku pula jika rosak atau pecah. Kejutan budaya bagi aku islah ini kali pertama aku memiliki komputer riba yang ada fungsi sentuhan skrin. WOW! Gempak !
Kereta Tak Hidup Pula!
Kemudian, kami sekeluarga minum sebentar di kedai mamak yang bernama Jom Lepak Mamak. Sebaik sahaja mahu beredar, kereta pula tak dapat hidup. Bila buat semakan, mungkin bateri. Periksa label. ternyata bateri ini sudah lama. Bertarikh Disember 2022. Sekarang sudah 2025. Dapat bertahan selama 3 tahun pun sudah satu kesyukuran.
Kereta ini kereta lama, Honda SM4 Japan Imported. Kereta ini jarang pandu kecuali jika mahu berjalan jauh. Kalau dekat-dekat biasa tunggang motosikal sahaja. Aku berfikir… Tidak mengapalh, ganti sahaja yang baru. Aku dan ayah berjalan kaki ke seberang jalan besar untuk bertanya jika ada menjual bateri ganti untuk kereta memandangkan di papan tanda tertera kedai servis kereta. Namun hampa.
Terima Kasih Pak Cik
Kami melintas semula Jalan Gombak untuk memeriksa di stesen minyak berdekatan. Aneh ya, biasa ada juga jual bateri. Namun, kali ini tiada pula. berjalan pula ke kedai sebelah. Alhamdulillah ada juga. Asalnya harga RM320. Namun selepas tawar menawar dikurangkan dengan memulangkan semula bateri lama dapatlah dengan harga RM 300.
Mekanik tu bertanya di mana kereta. Ayah memberitahu hanya jarak dua lot tanah ini sahaja. Kami pun berjalan kaki sahaja untuk sampainke bengkel itu. Mekanik tu gayanya seperti orang Bangladesh namun fasih berbahasa Melayu walaupun masih kedengaran pelat dialek asalnya. Pada asalnya, dia menawarkan alatan untuk kami gunakan untuk membuka klip bateri. Namu, ayah aku kata tidak perlu kerana memang ayah sudah tukar dan guna jenis klip plug-and-play. Tak perlu ikat guna bolt dan nut lagi. Mekanik itu kehairanan. Mungkin belum pernah melihatnya. Ayah menawarkan untuk ikut bersama melihat.
Kami pun berjalan menuju kereta. Dari awal sampai selesai tukar bateri semuanya mekanik itu yang siapkan. Kami hanya melihat. Dia juga kelihatan teruja apabila melihat klip bateri yang kami gunakan. Kebetulan juga bateri itu tidak memerlukan begitu banyak pengikat untuk kekalkan kedudukannya di dalam bonet kereta itu. Setelah selesai pembayaran, kami semua bergerak ke destinasi seterusnya.
Menuju I-Nur
Kami sekeluarga sudah biasa dengan kedai ini sejak aku perkenalkan kepada keluarga aku apabila adik perempuan aku mula melangkah masuk ke sekolah menengah. Ya, kami memang menyuruh mereka untuk memakai tudung labuh. Mereka juga sudah meningkat dewasa dan menutup serta menjaga aurat itu wajib. Mak aku pun menyokong dan tekanan sangat. Kedai ini memang menjadi pilihan. Matlamat hadir ke sini untuk membeli tudung baru kerana adik aku perempuan aku yang sorang lagi, tudungny sudah lusuh dan singkat.
Aku memang mencadangkan kedai ini sebab memang merek keluarkan tudung bulat dan labuh jenama sendiri. Kain jenis Koshibo. Aku pun pernah juga beli tudung hitam di sini. Untuk siapa, janganlah tanya. Namun begitulah, nak beli barang satu sahaja, tapi berkeliling sampai 15 minit. Lain kali grab and go sahajalah.
Singgah sebentar di kedai mamak berdekatan kerana aku perlu guna tandas. Segan pula guna tandas tanpa jadi pelanggan. Aku pun belilah sebotol air mineral. Di kaunter mahu bayar, aku ternampak ada biskut dijual. Soft-biscuit ni. Aku pun belilah. Air Mineral Rm2.50. Biskut RM3.50. Hangus RM7 semata-mata kerana guna tandas. Tidak mengapalah, lagipun bukan kosong.
Tiada Elektrik ?
Kemudian, kami semua pulang ke rumah. Lampu isyarat di jalan besar semua tidak menyala dan tidak berfungsi. Ayah kata ini mesti tiada elektrik. Kami hanya dengar sahaja. Sampai di simpang masuk, memang betul sederet kedai sedang bergelap. Kami pun balik rumah dalam keadaan yang sama. Selepas itu, ayah perlu ke Kajang 2 pula untuk pergi rumah Along. Ada benda yang ingin dilakukan.
Sebelum sampai rumah, kami ada pergi ke stesen minyak. Selesai sahaja isi minyak, baru 2 minit letak nozel.
Pap!
Lampu stesen minyak terpadam. Alhamdulillah sempat isi minyak. Tapi, tak sempat isi angin tayar sebab bila tiada elektrik pam pun tak dapat berfungsi. Kami semua sampai di rumah dan memilih untuk makan mi rojak dan cendol tadi di luar sahaja. Buka pintu dan biar cahaya dan angin masuk.
Baiki motosikal Jaguh
Selepas semua orang bertolak. Aku kekal di rumah dan memilih untuk menyelesaikan urusan menukar komponen motosikal Modenas Jaguh yang sudah usang. Sprocket moto itu sudah ‘makan’. Perlu diganti.
Aku tunggang motosikal itu ke kedai baiki moto yang terletak di hujung pekan. Kedai ni dah lama dah boleh dikatakan semua orang kampung tahu. Sudah 3 generasi kedai motosikal tu. Daripada ayah dia turun pada anak dia.
Setengah jam aku duduk saja sebab tak cukup pomen. Bayangkan aku sampai jam 1533 tapi moto tu hanya mula diusik pada jam 1635. Eh, sejam rupanya baru aku perasan. Sementara tunggu tu aku ada sambung membaca novel Sampah tulisan SN Shahnon Ahmad tu. ada juga kau bersembang dengan Profesor C. Ada waktu lapang dan banyak persoalan yang bermain di minda aku. Jam 1756 baru selesai. Kos dalam RM95. Ganti satu set sproket depan dan belakang serta rantai.
Rumusan
Bagi aku hari ini menarik ? Aku banyak luangkan masa dengan keluarga dan adalah benda yang dibuat. Catatan aku ini mungkin terlihat biasa dan tiada erti bagi kau. Mungkin juga tiada nilai sastera, namun mungkin dalam ramai yang membaca mudah-mudahan adalah satu dua yang dapat ambil manfaat.
Aku ragu juga dengan cara aku uruskan kewangan. Kadangkala belanja luar jangka memang selalu berlaku. Aku tak pasti bagaimana. Aku pun belum ada kerja tetap masih bekerja. Aku cuma berdoa mudah-mudahan segala usaha kerdil aku dalam menulis, membaca dan berfikir dapat menghasilkan sedikit ehsan untuk kesenangan orang di sekeliling aku. Hakikatnya, kita semua lebih senang daripada orang lain.
Bagaimana tidak ? Kita masih ada rumah ketika orang lain berbumbungkan langit. Kita masih ada makanan di mana orang lain masih kebuluran. Kita masih ada oakain di mana orang lain hanya mampu menarik-narik kain untuk menutup kemaluan. Indah jika bersyukur, setiap apa yang kita ada adalah yang terbaik untuk kita. Bukan untuk orang lain.
Ceramah pula! Hahahaha. Sampai sini sajalah dulu. Jumpa lagi !!!
Ulasan
Catat Ulasan