#15: Sejambak Bunga Coklat

 Sejambak Bunga Coklat

20231125

Lagu Latar: Satu Di Hati - Mario G Klau

Aku masih diam. Begitu juga kau. Hari ini hari yang cukup bersejarah. Hari yang menjadi bukti bahawa perjuangan sepanjang 3 semester ini bukan lagi satu cakap-cakap mahupun omong kosong. 


Aku masih ingat ketika dulu kita berbual. Kau masuk mendaftar ke sini kerana tidak dapat mana-mana tawaran untuk melanjutkan pelajaran. Kau tahu, bila aku dapat tahu yang kau pun mendaftar masuk di tempat yang sama. Aku sangat gembira. Mungkin selama ini, angan-angan aku telah jadi kenyataan. 


Kita mula kerap berjumpa, kerap berbual, dan kerap juga berdiam. Kadangkala, aku lebih sering menjauhkan diri. Kadangkala aku lebih mudah untuk berdiam diri dan membiarkan kau berjalan sendiri. Kadangkala, aku lebih senang untuk sekadar tahu tentang diri kau tanpa perlu bertemu. 

Oh, ya ! Aku juga selalu sahaja tahu perkembangan kau, walaupun mungkin kau tak pernah beritahu.


Hari ini, sungguh kau terlihat indah.  Mengapa kau tak berbicara pada aku ? Mengapa kau masih membisu ? Aku rindu kau… Cuma mungkin cara aku tak sama seperti orang lain. Kau bersama mereka dan aku juga bersama dia. Aku sengaja melayani dia membuatkan rakan pasukan aku dalam menyelesaikan tugasan sepanjang pengajian ini terasa lebih selesa. Dimeja ini, kau dan kawan-kawan kau. Manakala dia, hanya ada aku. 


Aku sengaja menyuapkan makanan dan melayani dia mesra, walaupun aku tahu kau boleh melihat segala perbuatan aku dengan jelas kerana kita, kau dan aku masih duduk di meja yang sama. Masing-masing menyarung jubah berwarna maroon dengan garis emas.


Aku keluar dari dewan besar itu. Dewan yang dipenuhi dengan meja-meja bulat dan barisan makanan yang terhidang secara buffet di kiri dan kanan dewan besar di sebuah hotel di pinggir ibu negara Malaysia itu. Dahulu, hotel itu pernah menjadi saksi kepada perkumpulan aku dan kau bersama pasukan lain sebagai bentuk sagu hati atas tugas sepanjang satu tahun dalam menguruskan urusan jual beli dalam kalangan murid.


Aku melihat banyak gerai dan peniaga yang menjual pelbagai jenis hadiah untuk diberikan kepada para graduan sebagai tanda penghargaan dan tahniah kerana berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. 


Aku tertarik pada satu gerai yang menjual jambangan bunga. Bunganya menarik, cantik dan indah gubahannya. Ada jambangan yang turut diletakkan dengan patung beruang kecil yang memakai jubah dan mortar board. Simbolik tertinggi setelah berjaya menamatkan pengajian. Melengkapkan senyum dan seri manis ada beberapa coklat dilekatkan pada lidi dan turut disisipkan di jambagan bunga itu. Jambangan bunga, atau lebih tepat sejambak bunga coklat.


“Kak, satu ini berapa ?” aku bertanya. Bimbang juga niat aku tidak kesampaian kerana tidak cukup dana. 


“Yang mana satu ? Yang ini ? Ini satu RM50 sahaja” penjual perempuan yang dalam lingkungan usia 40-an itu memberitahu harga jambangan bunga coklat yang menarik perhatian dan iris aku itu.


Aku menyeluk poket dan mengeluarkan dompet aku. 


Aduhai ada RM50 sahaja ni. Ini pun duit yang ayah bagi untuk belanja seminggu.


Fikiran aku ligat memikirkan tindakan terbaik yang aku boleh lakukan pada waktu itu. Pandangan aku berpindah dari dompet ke arah jambangan bunga coklat itu beberapa kali.


Seakan faham dengan keadaan aku ketika itu, penjual itu mula tersenyum dan memandang aku.

“Ambillah, akak bagi diskaun RM5” katanya.

“Nak mana satu ni ?”


Aku menjawab, “Ambil yang itu kak, muka patung beruang tu nampak comel “. Aku tersenyum sendiri.


“Beli untuk siapa ni ? “ penjual itu masih mahu berbasa-basi sambil menyiapkan pesanan aku.

Aku mengerling jam tangan aku dan perasaan sudah tiba giliran kami untuk naik ke pentas. 


“Saya beli untuk kawan kak” aku membalas ringkas. Menyedari aku kesuntukan masa, aku meminta untuk penjual itu menyimpankan dahulu dan aku aku akan ambil selepas tamat sidang aku nanti.


***

Waktu itu hari kantin, mungkin hari keusahawanan. Ada beberapa gerai yang buat jualan. Ada macam-macam jualan, aku rasa hampir 10 buah gerai. Ada yang menjual makanan, ada yang menjual minuman dan ada juga yang menjual jambangan bunga. Aku singgah di sebuah gerai yang menjual spaghetti. Kau pun ada di situ. Gerai sebelah menjual jambangan bunga coklat.


“Cantik kan bunga tu ?”


“Kau nak ke ?” 


“Kau nak bagi ke ?”


“Aku akan bagi, tapi nantilah…”


Memang ketika itu aku belum ada dana yang cukup. Aku cuma melafazkan kata yang aku yakin dan pasti. Aku akan tunaikan.


***


Sidang tamat dan aku bergegas ke gerai tadi. Tidak jauh pun, keluar dewan dan banyak gerai yang menjual bunga untuk para graduan. Untung ada kawan yang bayar hutang. Aku ada tambahan RM 5. Dalam tangan aku sekarang ada RM 10.


“Kak, kalau saya nak tambah coklat lagi boleh ?” 

“Boleh, coklat apa tu ?” 


Aku menghulurkan dua keping wang kertas berwarna hijau. 

“Tak kisah kak, asalkan cukup duit ni”


Penjual itu tersenyum sekali lagi. Pantas tangannya mengambil pelbagai jenis coklat yang dilekatkan di lidi dan terus menyisipkan di jambagan bunga yang telah aku pilih dan minta untuk disimpan tadi. 


“Ini ya“ manis senyuman penjual bunga itu sambil menghulurkan pesanan aku yang telah siap.


“Terima kasih, kak!” aku membalas penuh keriangan. 


Kedua tangan aku menggenggam erat dan menatap bunga itu.


Tidak mengapalah bukan selalu. Lagipun, aku berjaya tunaikan perkataan aku…


Aku segera mencari kau. Kau masih di dalam dewan dan bergambar. Aku cuma meninjau dan menunggu saat terbaik. Aku masuk dan terus menghulurkan tanpa basa-basi yang panjang.


“Nah, tahniah ya !” aku menyerahkan sejambak bunga coklat kepada kau. Ya, kawan-kawan kau nampak dan mereka juga sedar. Ada yang terkejut, ada juga yang berbisik. Aku tak ambil endah sangat.


Aku terus beredar dan memberi ruang yang ada pada kau dan kawan-kawan untuk bergambar bersama yang lain dan bersama guru-guru. 


Aku membawa haluan sendiri. Kawan-kawan kau juga ada yang saling bertukar bunga. Satu pemandangan yang indah bagi aku.


Tak lama, kawan kau menolak kau untuk mendekati aku. Aku lihat mereka seperti memaksa. Aku terdengar perbualan kau.


“Dia dah bagi kau bunga tu. Pergila ambil gambar !” suara kawan kau amat menggelikan hati aku. 


Aku tak mengharapkan gambar pun, cuma aku mahu memelihara perkataan aku dan menunaikan permintaan kau. Kau masih kelihatan berkeras. Namun kau mereda dan sesi fotografi berjalan dengan lancar. Kau memulakan bicara.


“Rindu aku ke ? “ kau seakan menyindir.


“Yalah, nak masuk 3 minggu dah…” aku bertegas.


Masing-masing tersenyum.


Tak sangka gadis kecil itu berjaya tamatkan pengajian walaupun berulang kali dia mengeluh ingin berhenti...


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

# 28 Rasa di Antara Baris

#24: Sedikit Catatan untuk Dikongsi

#5 Pelbagai Kisah

#7 Catat yang Kecil