#47: Serpihan Kaca dalam Permata 4.00
Sesi 2025/2026, Semester 1, Minggu 12
20251229, Isnin
Kalau orang tanya apa memori waktu sekolah dulu, mungkin aku akan jawab.
"Aku pun tak tahu...."
Aku tak tahu apa yang mereka katakan cipta memori, cipta kenangan, bina hubungan. Aku, tak tahu apa benda semua itu.
Aku hanya datang ke sekolah seawal mungkin, dan pulang selewat mungkin. Mahu kata aku ini pelajar cemerlang, tidak juga. Aku hanya memanfaatkan masa untuk bergaul dan mungkin membantu rakan-rakan yang lain.
Bahkan, kalau orang tanya apa yang aku buat selama ini berlama-lama di sekolah? Aku mungkin akan jawab.
"Aku pun tak tahu"
Dahulu ketika sekolah menengah, mungkin aku sempat merasakan aktiviti lepak setiap habis sekolah di hentian bas. Bersembang dan bercerita pelbagai perkara bersama dengan kawan-kawan aku. Ironinya, tiada satu pun yang aku fikir layak untuk dikenangkan.
Ketika berada di menengah atas, satu dunia dilanda keributan apabila virus COVID-19 melanda dunia. Kebanyakan waktu aku hanya diluangkan di dalam rumah.
Kejatuhan sewaktu SPM memang menjadi satu titik tolak untuk aku menebus semula kehinaan yang aku perolehi waktu itu. Kurang satu A untuk aku naik ke pentas.
Aku mula untuk buktikan semula dan tebus kegagalan itu melalui STPM.
Boleh dikatakan rakan-rakan aku hanya mengenali aku sebagai budak buku dan tidak bergaul ketika semester 1. Keputusannya?
4.00
Alhamdulillah, satu pencapaian yang agak memberangsangkan. Aku kemudian mula goyah. Luwes sedikit demi sedikit. Mula bercampur dan bergaul dengan ramai rakan-rakan gadis.
Keputusan semester 2?
3.75
Aku jatuh, aku tergamam. Tidak sangka perubahan sekecil ini membuatkan aku jatuh sejauh itu.
Semester akhir. Semakin tinggi tekanan. Begitu juga konflik dalaman. Politik kelas. Hubungan interpersonal. Harapan yang tidak pasti. Hubungan yang tidak jelas.
Semuanya memainkan peranan yang tinggi dan membuatkan aku terus runtuh. Seperti kaca yang dihempas ke batu, pecah berderai. Sukar untuk dibezakan serpihan yang mana kaca, serpihan yang mana permata.
Gadis?
Ramai saja. Bahkan majoriti dari mereka aku selesa untuk berbual dan bertegur sapa.
Mungkin sudah lumrah menjadi pencinta wanita.
Keputusan Semester 3?
3.50
Sekali lagi aku jatuh. Aku tak nafikan aku banyak berubah berbanding semester 1. Aku terus hanyut dalam perbualan panjang bersama bunga-bunga di dalam kelas.
Keputusan penuh hanya akan diumumkan 2 minggu selepas keputusan semester. Mengikut kiraan kasar aku. Aku hanya akan memperoleh PNGK 3.85.
Aku sudah pasrah, harapan untuk aku naik ke pentas menebus kesilapan lalu semakin tipis.
Untung ada guru Sejarah aku yang sudi menghulurkan bantuan. Dia menyumbang dana untuk aku semak semula keputusan subjek yang beliau ajarkan itu.
Mungkin rezeki, mungkin takdir. Pada hari pengumuman keputusan. Aku tidak menyangka yang aku akan beroleh keputusan sempurna PNGK 4.00.
Aku tidak mampu bereaksi. Aku bersyukur, namun jelas wajah aku menzahirkan keresahan yang mapan.
Itulah sedikit kisah aku yang tak seberapa. Lihatlah. Renunglah.
Aku tiada apa-apa memori atau apa pun yang orang-orang gelarkan kenangan itu.
Mungkin, aku ini terlalu memencilkan diri. Bagi aku, tugas itu yang paling utama. Kegembiraan akan hadir jika kita selesaikan tuntutan yang perlu.
Begitukah?
Aku rasa sampai di sini dulu. Aku akan tinggalkan satu soalan sebagai renungan. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan bagi aku setiap kali mengakhiri mana-mana pertemuan. Khususnya dengan kawan-kawan aku yang sekaliannya bijak laksana.
"Sejauh manakah pengalaman dapat mengatasi memori yang dicipta untuk satu tempoh yang mungkin tidak lagi relevan pada masa akan datang?"
Itu dulu. Sampai jumpa lagi!

Ulasan
Catat Ulasan