#45: Pemuda itu...
Mengapa? Mengapa semuanya terasa,
pudar? Tiada rasa, tawar dan tak bermaya?
Hari ini hari Jumaat terakhir untuk
tahun 2025. Jam menunjukkan pukul 5:35 petang. Waktu asar yang sangat berharga
bagi aku. Semalam aku berjumpa kawan-kawan aku. Perkara pokok yang menjadi
perbincangan ialah tempoh perkenalan dan cara untuk berkenalan dengan lawan
jenis. Salah seorang daripada kami sudah memperlihatkan perkembangan yang
positif dan membuatkan kami semua terkesima dengan pencapaiannya.
Tindakannya yang berani merentas segala
lebuhraya untuk satu jarak dari utara ke selatan. Satu perkara yang amat
memeranjatkan kami semua. Lebih mengejutkan, pemilik bunga itu membenarkan dia
masuk ke halaman rumah. Meski belum diterima sebagai tetamu rasmi, namun tindakan sejauh
itu pun cukup menjadi satu perkara yang sungguh baik.
Setiap bait yang meniti di bibirnya,
kami dengar dengan tekun. Timbul seribu satu persoalan yang ingin kami
lontarkan. Tidak kurang banyak percubaan kami untuk mencelah dan bertanya
tentang lebih terperinci setiap langkah yang diambil.
Dia seorang yang lebih gemar bermain
permainan video, sering dilihat sebagai seorang yang tidak begitu berminat dengan
lawan jenis. Cerita yang dia sampaikan kali ini, benar-benar mengubah sudut pandang
kami semua. Aku berfikir secara kritis, dan menimbulkan pelbagai persoalan yang
dapat membuat dia mula berfikir dengan lebih dalam.
Sementara aku di satu sisi dunia lain,
sering membandingkan diri aku sendiri. Aku tidaklah ramai kawan kerana aku
tidak akan bermudah-mudah mengiktiraf sesorang itu kawan hanya dengan kerana satu
pertemuan.
Ada dalam kalangan mereka yang bijak
berpolitik, ramai kenalan dan mempunyai jaringan yang luas, ada pula yang mahir
bermain alat muzik, ada juga yang berminda usahawan, gemar dan aktif menyertai
acara larian, ada juga yang sering diminta menjadi pengacara majlis. Oh, ya!
Bukan itu saja, ada juga yang ada kugiran sendiri, kumpulan nasyid sendiri, dan
komjniti kecil untuk sebarang aktiviti pengembaraan.
Di sisi lain, aku seolah-olah
berdiri di penjuru kamar yang luas itu. Aku ada, aku nampak, aku dengar. Aku
terasing. Jauh dari semua yang lain. Aku tersenyum sendirian. Aku memandang
dari kejauhan. Aku mendengar segala telahan.
Ada juga yang datang menarik aku ke
tengah. Mereka tidak pernah buat aku terasing. Masalahnya ada pada diri aku
sendiri. Aku yang sering menarik diri daripada segala bentuk keakraban yang
memerlaukan perhatian dan ikatan yang semakin kuat hari demi hari.
Aku seorang budak lelaki. Aku lebih gemar gelarkan diri aku seorang pemuda. Pemuda yang begini.
Pemuda Itu
Mejanya berselerakan dengan kertas
Kopi hitam masih mengelegak di dapur
Segala warna-warni menghiasi baris-baris
Dakwat hitam, biru, dan merah
Penyeri dan terlukis pada timbunan dokumen
Buku-buku tebal
Pelbagai genre tersusun
Rak, meja, lantai tidak sentiasa
melekat dengan kitab
Cinta, Falsafah, Pengurusan, Bahasa
Sejarah, Sastera, Budaya, Psikologi
Media Komunikasi, Biografi, dan
banyak lagi
Menjadi peneman sejati
Hari-hari dan malam-malam yang
berlalu
Menjadi saksi sunyi
Pemuda yang masih hidup
Hingga ke subuh hari
Air yang sejuk terkadang menyetuh muka
Terkadang bengkak hitam pula menghiasi
bawah mata
Di kiri ada sebuah laci
Dalamnya ada beberapa siri
Gambar-gambar puteri
Ada yang tersenyum, ada yang ketawa,
Ada yang mencuka, ada juga yang
terluka
Setiap satu ada cerita
Pemuda itu telah mendengarnya
Begitulah kira-kira. Aku selalu
berfikir, bahawa aku tidak akan berpeluang untuk menjadi seperti mereka. Aku
juga selalu berfikir bahawa mungkin aku hanya akan duduk di kamar itu sehingga
segala bulu-bulu memenuhi muka aku. Aku fikir itu yang paling realistik setakat
ini.Aku juga fikir ini bukan suatu perkara yang asing.
Mungkin setakat ini dulu penulisan
aku. Udara terasa berat kali ini. Semoga tidak sesak jiwa pemuda itu.

Ulasan
Catat Ulasan