#44 Certot: Orang Lidi Tidak Naik Pentas

 





"KENAPA tak datang Majlis Anugerah Dekan semalam?" Gadis itu bertanya. Di tangannya masih memegang dua lembar sijil. Jelas tertera nama penuh pemuda.

"Aku tak nak datang. Itu saja." Pemuda tidak memandang. Hanya melafaz seperti tiada perasaan.

"Salahkah, kalau kita raikan kejayaan?" Gadis itu menyoal kembali.

Lembaran sijil itu diletakkan di atas meja bulat di depan mereka. Gadis mencari-cari sesuatu dalam beg tangannya. Logo salah satu universiti dalam negara kekal sebagai pin enamel yang menghiasi beg itu.

Pemuda masih berdiam. Beberapa saat kemudian baru mula berbicara.

"Aku tak pernah halang orang untuk raikan kejayaan mereka. Walau sekecil apa pun. Kalau mereka rasa hadir ke kelas itu satu kejayaan, terpulanglah. Bagi aku, satu sijil tidak bermakna apa-apa...." Pemuda memejam mata, dadanya berombak.

Wajah gadis layaknya samudera bergelombang. Sebuah kad dihulurkan kepada pemuda. Tiada kata. Mereka hanya bertukar pandangan dan gadis mengangguk. Lambat-lambat pemuda mengambil. Kad itu ditatap khusyuk. Ada bekas coretan krayon dan beberapa lukisan orang lidi.

"Kad itu, kau berikan pada aku. Kau buat sendiri," gadis bercerita. Suaranya seperti sutera yang menyentuh hati.

"Waktu itu, aku baru saja pandai naik basikal. Selepas, jatuh banyak kali. Kau selalu ada, kau cakap jangan mengalah!" Gadis tertawa kecil.

"Sampai sekarang aku simpan kad itu. Kalau aku sedih, kalau aku rasa putus asa. Aku akan tengok balik kad yang kau pernah beri pada aku." Gadis mengangkat wajahnya memandang pemuda.

Pemuda masih kaku. Menunduk memandang kad berukuran A6.

"Waktu itu, aku nampak usaha kau. Aku nampak orang lidi ini berusaha setiap hari, setiap petang. Belajar mahu naik basikal," kad diangkat tinggi, pemuda mendongak.

"Waktu itu, kau selalu jatuh. Sampai luka-luka."

Gadis masih membisu.

"Kau layak untuk gembira...." Pemuda memandang gadis. Wajahnya masih pudar. Hanya senyuman segaris.

"Kalau kejayaan aku yang sekecil itu kau boleh hargai, kenapa kau tidak mahu raikan kejayaan kau?" Suara gadis sedikit naik.

Pemuda hanya tersenyum, kali ini lebih lebar. Namun begitu, mata manusia tidak boleh menipu. Gadis hanya mengetap bibir. Menggenggam kuat beg tangannya. Pemuda merenung orang lidi dan jemarinya mengusap perlahan.

***

"Saya dengar awak dapat anugerah dekan. Tahniah!" Suara garau pensyarah berusia separuh abad itu menyentuh kalbunya.

"Terima kasih Dr." Pemuda menunduk. Duduknya tidak bersandar.

Bilik ahli akademik itu dipenuhi buku. Namanya tertera pada tulang-tulang buku yang bersusun di rak.

"Apa perancangan awak selepas tamat pengajian?"

"Saya, mungkin sambung lagi Dr....." Ringkas jawabnya.

Pandangan pensyarah tertumpu pada beg pemuda di tepi pintu. Buku yang dari tadi diletak atas riba. Tali leher dan baju kemeja putih meskipun pada hari Rabu. 

"Nikmati masa muda awak, jangan terlalu asyik belajar sehingga lupa bergaul"

Pemuda menunduk lebih dalam. Sedikit lagi menjadi udang.

"Baiklah Dr.. Saya mohon maaf Dr.."

Pensyarah itu tersenyum.

***

"Kau jangan lupa!" Suara itu membuat pemuda tersedar.

"Kau pun berhak diraikan. Kau pun berhak berehat!" Mata gadis itu memerah, bergenang.

Pemuda tersenyum lagi. Matanya juga dirapatkan.

"Jangan bimbang tentang aku. Kau juga dapat anugerah dekan, bukan?"

Pemuda mengambil sehelai kertas A4 dari dalam beg dan melipatnya. Pen hitam disebelah pen merah dan biru di poket baju dicapai.

"Ambil ini, tahniah ya sebab dapat anugerah dekan! Usaha lagi dan terus kekalkan momentum!"

Kertas A4 itu penuh dengan kata-kata semangat, beberapa orang lidi, dan sebuah gambar trofi yang tertulis nombor 1.

Air mata gadis mengalir. Pandangannya masih tertumpu pada pemuda yang tersenyum.

Tersenyum palsu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#62: Perbincangan Yang Menjengah Minda

#87: Pecahnya Empangan Rasa

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

#61: Manis Di Mulut, Singgah di Paroi

# 28 Rasa di Antara Baris