#41 Cerpen: Sebelum Ayah Naik ke Atas
Cerpen: Sebelum Ayah Naik ke Atas
Jun 2022
“Seramai 20,093 orang calon SPM seluruh negara memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat A bagi semua pelajaran”
Suara dari corong radio malam itu mengisi segenap isi dapur. Ruang malam yang sepatutnya menjadi sebuah ruang perkongsian aktiviti harian.
“Bagaimana keputusan kamu ?” suara ayah memecah lamunan aku.
Aku masih berdiam diri. Bagaimana tidak, sudah pasti aku akan dibandingkan dengan saudara-mara yang lain. Ada beberapa orang sepupu yang sebaya. Salah seorang belajar di MRSM terkemuka. Petang tadi sudah mendapat khabar dia termasuk dalam kalangan pelajar terbaik di negeri penyu bertelur.
“Tidak sebaik Fakhri, ayah…” aku menjawab perlahan. Tangan masih menguis-guis nasi di dalam pinggan.
Ayah berdiam diri. Hampir satu minit keadaan senyap. Ayah hanya menyendukkan ikan keli berlada ke pinggan aku.
“Ayah tanya keputusan kamu. Bukan keputusan Fakhri,” ayah berkata lembut. Aku tahu ayah tidak bertanya tentang Fakhri, namun perbualan ayah dengan Mak Long petang tadi membuat aku menjadi rendah diri.
“Ali, ayah tanya tu. Beritahu saja…” suara ibu tergiang di fikiran aku. Bukan kerana kehadirannya bersama, namun kedekatan yang aku rasa. Ibu selalu ada bersama aku.
“Ali dapat 3A ayah…, subjek Agama Islam, Sejarah dan Matematik,” aku menjawab ringkas.
Bunyi riang-riang memenuhi laman rumah. Duduk di kampung, sudah pasti suhu persekitaran lebih rendah berbanding duduk di bandar.
“Alhamdulillah, tahniah Ali! Ayah bangga dengan kamu !” suara ayah jelas keriangan. Aku memandang ayah keliru. Namun begitu, ayah kekal tersenyum sambil menghabiskan suapan terakhir santapan malam itu.
‘Mengapa ayah tidak marah? Bukankah ini peperiksaan yang menentukan masa depan aku?’
“Ayah tidak marah?” suara aku bergetar. Cahaya redup lampu kalimantang di ruang kecil itu sahaja yang menemani kami berdua. Sayup-sayup lagu bermain di corong radio kedengaran dari hujung dapur.
Ayah berlalu membasuh tangan dan meletakkan pinggan di singki. Aku lekas menghabiskan makanan yang berbaki. Lauk yang terhidang aku simpankan di peti sejuk. Masih elok dimakan jika dipanaskan esok.
“Selesai nanti jumpa ayah di atas” ringkas ayah memberi arahan kemudian melangkah naik ke ruang tamu.
Aku jadi kecut perut. Tangan aku kedinginan. Terasa seolah mengalir peluh di pelipis. Lekas-lekas aku bersihkan segala pinggan dan mengemaskan meja. Sejak ibu tiada, aku yang membantu ayah menguruskan makan pakainya serba sedikit. Jika kakak balik ke kampung dapat juga aku berkongsi tugas dengannya.
Aku melangkah naik tangga perlahan-lahan. Lambat-lambat aku melangkah. Pelbagai perkara bermain di fikiran aku.
Ketika melintasi bilik-bilik untuk ke ruang tamu, bilik ayah yang paling terang dengan nyalaan lampu. Ada beberapa kertas hadiah di lantai.
“Ali! Lekas ke mari,” suara ayah memanggil aku dari ruang tamu. Aku lekas menyambut panggilannya. Terdengar bunyi papan lantai berkiuk dengan setiap langkahan aku.
Aku menghampiri ayah yang duduk di kerusi rotan. Tangannya saling mendakap dan memandang aku dengan pandangan yang aneh.
“Duduk situ,” ayah menunjukkan kerusi di sebelah kanannya.
“Subjek apa tadi kamu dapat A?” ayah bertanya. Duduknya penuh dengan gaya. Aku terasa seperti rakyat yang duduk menghadap raja. Dahulu, masa ibu ada, aku sendiri tidak berani dekat.
Dada aku terasa ketat, suara aku juga keluar sekadarnya.
“Subjek Agama...” belum sempat aku menghabiskan ayat, ayah menghulurkan satu bungkusan. Aku memandang ayah penuh kehairanan. Ayah tersenyum dan terus menyuakan bungkusan itu.
“Subjek apa lagi ?” suara ayah menembusi gegendang telinga aku.
“Subjek Sejarah, ayah...”
Satu lagi bungkusan dihulurkan ayah. Aku menyambut dengan kedua-belah tangan.
“Subjek apa lagi ?” ayah kembali bertanya. Kepala aku sudah pening memikirkan segala perkara yang berlaku.
“Subjek Matematik” aku menjawab ringkas. Jantung aku semakin berdegup kencang.
Ayah tersenyum. Mata ayah bersinar-sinar. Ayah memegang satu bungkusan yang lebih besar.
“Ini, ambil,” ayah memberikan bungkusan itu. Tangan aku menggigil, perlahan menyambut.
Aku mengangkat kepala. Air mata mula bergenang. Aku seolah-olah melihat ibu di sebelah ayah. Memeluk erat lengan ayah. Ayah tersenyum. Ibu juga kelihatan gembira.
“Ibu bangga dengan Ali! Sekecil apa pun pencapaian mesti dihargai.” Wajah ibu masih tersenyum. Hanya aku yang terus menatap. Entah dari mana suara ibu datang.
“Terima kasih ayah!” aku memeluk ayah. Aku tidak mampu lagi menahan genangan di kelopak mata. Aku biarkan mengalir sederasnya. Ayah menepuk belakang aku perlahan.
Suasana damai itu sungguh tidak aku jangka. Bagaimana tidak ? Aku tidak mampu untuk tunaikan permintaan ayah; sedangkan dulu, aku sendiri meminta ayah menyatakan bilangan A yang dia kehendaki.
"Ayah mahu Ali dapat berapa A?“ Aku sengaja mengajak ayah berbual. Ayah masih mengibaskan tangan ke muka. Masih mengalir peluhnya. Ekzos motosikal juga masih belum turun suhunya. Aku menghidangkan segelas air berais.
“Mengapa kamu tanya ? “ Suara ayah masih tegas meskipun baru melabuhkan punggung di kerusi rotan lama itu.
“Mana tahu ? Ali boleh cuba dapatkan untuk ayah ?” kata aku sambil duduk dekat dengan kaki ayah. Ayah mengerling meja belajar aku di sudut rumah. Beberapa buku masih terbuka. Ada juga lembaran kertas dengan garisan berwarna-warni.
“Ayah mahu 6A ? Boleh ?” suara ayah menusuk jantung aku.
‘6A ! Aduhai, bagaimana ni ?’ Aku mengaru-garu kepala. Timbul kedut seribu di dahi aku.
“Jangan bimbang, buat saja yang terbaik. Insya-Allah, usaha tidak akan mengkhianati hasil...” ayah memaut erat bahu aku. Masih berbekas minyak hitam di tangannya.
“Ali? Jauh termenung.” Aku tersedar dari lamunan. Tangan ayah memaut bahu aku. Kali ini bersih, tiada bekas minyak.
“Ali minta maaf ayah, tidak dapat tunaikan permintaan ayah...” Aku menunduk lagi. Tangan aku saling berpegang kemas.
Ayah hanya tersenyum.
Ogos 2024
“Tokoh Pelajar Terbilang STPM 2024”
‘Ayah, ini Ali hadiahkan untuk ayah. Ali tidak akan capai tahap ini tanpa sokongan ayah. Selepas ibu tiada, ayahlah orang yang paling kuat mendorong Ali untuk tidak putus asa. Terus berusaha!’
“Apa rahsia abang dapat mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan STPM ini?“ wartawan cilik sekolah memulakan sesi wawancara.
Aku mengambil nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Aku memejamkan mata sebentar, kemudian memandang segenap isi dewan kecil itu.
“Alhamdulillah, saya sandarkan segala kejayaan ini kepada Allah. Sekalung penghargaan yang tertinggi juga buat para guru yang membimbing saya.” Lidah aku kelu. Aku mengambil jeda.
“Penghargaan ini saya tujukan khas untuk ayah saya, Encik Nizam. Ayah, hari ini Ali berjaya ayah! Walaupun ayah tiada di sisi Ali sekarang, Ali harap ayah dan ibu dapat berbangga dengan kejayaan Ali ini” aku menggenggam trofi itu. Aku julang setinggi yang mungkin.
Ternyata hadiah ayah dua tahun lalu sahaja yang mengiringi hari bahagia aku ini. Sehelai kemeja putih, sebatang pen hitam dan seutas jam tangan.

Ulasan
Catat Ulasan