# 29 Pembentang Terbaik !


Sesi 2025/2026, Semester 1, Minggu 5

20251105, Rabu

Assalamualaikum dan hai! Selamat Sejahtera!

Hari ini tiada kuliah tapi aku kena naik kampus juga sebab ada program Insan Budiman. Mungkin ada yang tak tahu fasal program Insan Budiman. Program Insan Budiman merupakan program wajib bagi seluruh pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM. 

Hal 1 - Menjengah ke Sudut Profesional

Semester ini aku mengambil Modul 2 (Pengetahuan dan Kemahiran Profesional). Aku tertarik kerana perkataan profesional. Satu istilah yang gah dan cukup untuk menyekat segala perkara yang di luar daripada cakupan tugas dan kerja.

Aku sertai dengan hadir seawal jam 0830 pagi, kebiasaannya memang semua pelajar yang mengikuti program akan disediakan makanan. Satu hidangan pagi dan juga satu hidangan tengah hari. Aku rasa aku memilih modul ini kerana tempoh pelaksanaanya hanya separuh hari berbanding modul lain yang mengambil masa 1 hari penuh.

Menariknya modul kali ini dimulakan dengan aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) sebelum sesi perkongsian bersama tetamu undangan. Penyertaan aku dalam dua modul sebelum ini semuanya memerlukan satu hari dan dimulakan dengan sesi perkongsian terlebih dahulu. 

Alhamdulillah, program bermula dengan sesi kuiz personaliti. Berdasarkan keputusan kuiz akan menentukan seseorang itu bagaimana orangnya. Terdapat empat karakter dalam hasil akhir kuiz, sama ada karakter Helang, Merak, Burung Hantu atau Merpati. 

Aku dapat personaliti Merak dan aku rasa perkara itu mungkin ada benarnya. Namun begitu, pensyarah yang mengendalikan sesi tersebut ada juga menyebut bahawasanya hasil akhir kuiz itu mungkin berbeza apabila diambil pada masa yang lain. Aku fikir ini satu perkara yang menarik. Aku juga percaya bahawa manusia itu berubah-ubah sama seperti hati.

Lantaran itu, Nabi SAW mengajarkan sebuah doa tentang hati yang berbolak balik.

"Wahai Tuhan yang membolakbalikkan hati, tetapkan hati kami dengan agama Islam"

Aku juga tidak mengetahui apa yang harus aku lakukan. Sudah kesekian kali aku selalu menjadi tumpuan, kadangkala aku hanya berdoa mudah-mudahan biarlah ada orang lain yang boleh menyinar dan aku pula yang menonton.

Entah sampai bila? Aku perlu untuk hadir dan tampil ke hadapan. Aku juga mahu ada saingan setidaknya golongan yang dapat memberikan cabaran dalam perjuangan bersama mengecapi kejayaan disulami keindahan. 

Hal 2 - Kita Mahu Selamatkan Siapa ?

Kami semua menonton sebuah tayangan video yang menjadi inti pati kepada modul hari ini. Sebuah video tentang kapal yang karam. Pasti ramai yang mengetahui tentangnya. Sebuah kapal persiaran mewah yang tenggelam kerana melanggar bongkah ais. Semuanya terkorban dan tiada siapa selamat. Kami diminta untuk memerhati dan memahami konteks. 

LDK bermula apabila setiap kumpulan diberikan sebuah kertas mahjong, sampul surat, dan beberapa pen penanda. Tugasannya mudah, di dalam sampul surat terdapat pelekat-pelekat yang bertuliskan nama watak.  Antara watak yang ada ialah Lisa Blackpink, Imam Masjid Negeri, Pakar Kardiologi, Komando PASKAL, Mekanik Dron, Naib Canselor, Wanita Mengandung, Bidan, Atlet Paralimpik dan banyak lagi.

Ketika ahli kumpulan aku berbincang, aku tidak begitu cergas dalam perbincangan dan hanya menurut. Ya, aku ingin juga ada orang yang boleh menggerakkan sesuatu kerja selain aku. Aku ada juga meninjau dan beramah mesra serta bertegur sapa dengan mereka. 

Akhirnya ketika pembentangan, aku juga yang perlu laksanakan. Tidak mengapalah aku buat sahaja. Alhamdulillah aku bentang dengan laju. Kalau orang dengar memang aku cakap laju sebab segala isi pembentangan mengalir seperti air. 


Hal 3 - Sesi Perkongsian Alumni 

Modul kali ini menampilkan seorang alumni daripada program Komunikasi Media atau lebih dikenali dengan nama popular MassCom (singkatan daripada bahasa Inggeris Mass Communication). Beliau sekarang berkhidmat sebagai penyampai berita dan wartawan di bawah naungan Media Prima Sdn. Bhd.. Beliau berkongsi tentang banyak perkara merangkumi zaman belajarnya sehinggalah menjengah alam pekerjaan. Katanya sudah beberapa tahun terlibat dalam industri sejak bermula di Bernama sebagai hos rancangan Darah Muda.

Antara perkara yang menarik perhatian aku adalah ketika beliau bersama-sama menjalankan sesi interaktif dengan peserta. Beliau melaksanakan #BeritaChallenge. Suatu cabaran yang pernah tular di media sosial suatu ketika dahulu dan terus dikenali. Setiap peserta dikehendaki untuk membaca teks yang disediakan melalui video dengan gaya teleprompter yang akan dipaparkan. Setiap peserta diminta untuk membaca paparan tersebut layaknya seorang penyampai berita dalam televisyen.

Ramai yang terhibur dan berasa teruja. Khususnya apabila terdapat istilah saintifik dan perkataan bahasa asing yang memerlukan mereka bergelut dalam menyusun kata dan melafazkan bicara. Bukan mudah untuk menjadi seorang penyampai berita, apatah lagi apabila menjadi perhatian seluruh penonton tanpa batasan geografi dan waktu. 

Ada beberapa pesanan beliau yang suka untuk kami tampilkan di sini. 

  1. Beliau berpandangan bahawa kalau kita sambung pengajian peringkat Sarjana dan kemudian minta kerja. Kebiasaanya, majikan susah mahu terima dengan alasan overqualified. 
  2. Beliau memaklumkan bahawa lompat kerja (job-hopping) ialah satu pengembaraan. Semakin lama, kita akan semakin maju. 
  3. Apabila berada di alam pekerjaan kita kena belajar untuk cepat sesuaikan diri. Jika terserempak dengan senior atau pihak atasan, cara paling mudah untuk memberikan tanggapan yang baik ialah senyum. Jika malu untuk bersapa atau tidak beri salam, cukup senyum sahaja.
  4. Majikan akan sentiasa utamakan calon pekerja yang ada kemahiran. 
  5. Memandangkan beliau seeorang yang bergiat dalam industri yang memerlukan orang lihat, maka dress to impress (berpakaian untuk mengagumkan) itu sangat perlu. 


Hal 4 - Pembentang Terbaik

Setelah selesai sesi perkongsian bersama tetamu jemputan, kami semua menanti rumusan daripada penganjur. Wakil juri berkata kebanyakan pembentang kurang markah kerana mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Aku tidak jangka pun untuk dapat hadiah dan pengiktirafan ini. Ada pula hadiah untuk pembentang terbaik. Alhamdulillah, aku dapat. Terkesima juga apabila diumumkan sebab tidak tahu pun ada hadiah untuk kategori itu. 

Secara keseluruhan, kumpulan aku berjaya dapat tempat ke-2. Kami juga tidak jangka, namun mungkin rezeki. Semua bersurai dan merarau dengan hidangan kampung. Nasi putih, sayur campur dan juga ayam masak lemak. Alhamdulillah, tidak perlu pening fikir lagi fasal makan.

Hal 5 - Si Bongkok Tanjung Puteri

Pada sebelah malam, aku hadir sesi untuk pembacaan skrip memandangkan aku perlu berlakon dalam sebuah pementasan. Pementasan ini sebahagian daripada markah kursus. Aku pun tidak tahu kenapa aku terima tawaran ini, cuma bagi aku mungkin ada hikmah? Insya-Allah...

Aku rasa itu sahaja untuk hari ini. Tidaklah banyak cuma ada peribahasa berkata; berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Aku rasa kalau keadaan aku ini, berat hati membaca, berat lagi jiwa yang merasa. 

Jumpa di entri seterusnya !

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

# 28 Rasa di Antara Baris

#24: Sedikit Catatan untuk Dikongsi

#5 Pelbagai Kisah

#7 Catat yang Kecil