#40 Tulisan Kecil untuk Penuntut Ilmu di Seberang Lautan

 


20251116, Ahad

Assalamualaikum dan hai! Selamat Sejahtera semua. Hari ini hujung minggu aku tidak buat apa sangat cuma hari ini hari terakhir sebelum aku letak kerja selama seminggu. Tidak banyak yang berlaku. Kali ini aku cuma mahu kongsikan sedikit tulisan aku. Mudah-mudahan ada manfaat.

Syuruk di ufuk Timur

Jika dikatakan sembah, maka sungguh sanggah lebih banyak. Jika dikatakan akur, lentur lebih kuat. Darah yang mengalir dalam cerita, tidak mungkin mulia hanya kerana darjah. Jika tiada tahu bagaimana bertitah, cukup saja terima arah. Raja negeri Timur, bermula dengan bahasa dan tulisan yang dipinjam. Seiiring sedar akan identiti bangsanya sendiri, dicipta huruf-huruf untuk menjadi warisan dan sesuai penyebutan. Disembah pada bonda, mungkinkah menghantar barang sedulang ke sana. Sahut bonda jangan lekas berbuat susah, di sini juga masih ada. Pacal kembali sembah, bukan orang di sana. Melainkan saudara kita juga, yang menuntut di sana itu. Diamlah bonda berfikir barang beberapa bukan lamanya...

Warkah yang Berkirim, Suara yang Berbalas

Utusan tanah ini dibawa dengan kapal. Utusan balas sekadar dunia tanpa sempadan. Utusan dari kota yang tidak pernah hidup ini hanya melalui tulisan. Perkhabaran dari sungai di tepi metropolitan penuh dengan bunyi-bunyian. Sudah beberapa waktu berjalan, keduanya juga tiada sempat bersalam-salaman, bermesra-mesraan. Jarang rasanya merpati terbang rendah, sekali pergi tiada pulang melainkan lelah. Ya, kesibukan kota ini tidak setenang air sungai yang mengalir di bawah jambatan yang menghubungkan dua bahagian kota. Ya, menghubungkan. Di tanah ini, dan di seberang lautan. Berdulang diletakkan dahulu, sama-sama mengejar cita dan impian. Tenanglah dahulu wahai pujaan, kerana tidak dengan Kasih Tuhan. Maka sungguh menjadilah suatu kerugian.

Disebalik Nasi Bujang dan Kek Beras

Kuah yang terasa pedas manis sering menjadi singgahan di lisan. Orang tanah ini kerap juga bersantap hidangan rutin. Sepinggan nasi, telur yang didadar, semangkuk sup. Barang ada yang murah hati, diberi juga air minum. Tidak juga berkeluh kesah, bercerita juga sekadar tumpahkan tinta. Jangan jangan pernah kecewa, senang di sana hati gundah juga. Sebaik mana hujan emas di luar, negeri sendiri indah lagi. Jauh merantau ke wilayah maju berteknologi. Pembangun budaya global yang menarik hati segala anak muda zaman ini. Manakala di tanah ini, warisan bangsa muka perlu diperhalusi, ditekuni, dipelihara agar tiada juga dinista. Harap nanti ada juga sempat ke Timur itu. Insya-Allah...

Dalam Pesanan Selit Perhatian

Peti surat disemak. Sepertimana biasanya, belum ada apa-apa. Warkah digital juga boleh. Beberapa foto dihantar. Wajahnya masih ceria, senyum yang manis dan sedikit susut. Mungkin faktor cuaca dan tugas. Tiada perincian hanya sebaris ayat, saya menanti di sini. Cukup, sudah memadai. Disembah pada bonda barang yang dicita, ditilik dalam-dalam sebelum bertitah bicara. Tenanglah, jika benar apa yang dipinta, Tuhan tidak akan berbuat celaka. Kumpul segala ilmu dan pengalaman juga, sekali berlayar tiada tahu di mana berlabuh alamatnya menempah maut. Layar juga perlu yang terbaik. Sauh jangan selalu, sekadar perlu. Titah diturut, warkah baharu diutus. Sebaris ayat di lakar dengan qalam berwarna hitam. Beberapa lama bercita, tetaplah berharap pada Pencipta kita. Barang di dalam tangan-Nya juga segala suka duka cerita dan tentu.

Syarah Yang Panjang, Foto Senyuman dan Suara Keluhan

Telefon pintar bergetar. Sebuah pesanan masuk. KakaoTalk. Jarang orang tanah ini menggunakannya. Jika di Timur Tengah lebih mudah dengan Snapchat. Jika di Tembok Besar, We Chat lebih mudah. Sebuah fail PDF diterima, dibuka dan dibaca. Senyuman segaris terukir. Tidak sangka gadis tanah ini mampu mencapai setinggi ini. Bukankah dahulu dia berangan-angan. Satu pesanan suara. Ternyata keriangan terzahir dengan ton yang tinggi dan suara yang asyik. Terasa dekat. Sebuah syarah dikarang, disulam doa dan juga harap. Dikait lembut dengan puji, tetap tegas dengan janji. Jika yang terbuku terlalu keras dibuka, alamatnya patah juga tulang dan cemar juga segala tinta. Sekalung tahniah dan syabas diucapkan sendirian, kerana orang tanah ini hanya boleh berutus sekadar sahaja di metamesta, berbanding berhelai-helai halaman warkah di dunia nyata.

Itulah lima buah tulisan kecil aku yang aku karang di sela-sela senggang yang ada sebelum meletak kerja. Mungkin ada yang terpana, mungkin ada yang rasa biasa. Terpulanglah, aku juga tidak memaksa. 

Sampai jumpa lagi ! Insya-Allah!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

# 28 Rasa di Antara Baris

#24: Sedikit Catatan untuk Dikongsi

#5 Pelbagai Kisah

#7 Catat yang Kecil