#80: Waktu Itu Aku Cuma Mampu Tersenyum
20260322, Ahad
2 Syawal 1447
Assalamualaikum dan hai. Kali ini aku mahu bercerita tentang sesuatu. Aku tidak pasti mengapa atau bagaimana, cuma aku terasa mahu menzahirkan sebuah rasa yang mungkin lebih ringan untuk dilakarkan di sini.
Aku melihat gadis itu di pojok stesen kereta api. Wajahnya jernih, berkacamata, baju kurung yang ringkas dan tudung bawal yang kemas menutup segala perhiasan sesuai aturan Tuhan. Sebuah bagasi, beg galas dan beg tangan masih setia di sisinya. Kelihatan dia mencari-cari sesuatu. Pandangannya melilau ke kiri dan ke kanan.
Jam tangan aku menujukkan 15 minit lagi genap jam 5 petang. Bagaimana tidak? Aku juga bimbang melihat dia seperti seorang yang tidak tahu arah. Namun, aku tetap bertahan. Kalau-kalau sebentar lagi gadis itu hilang dari pandangan aku.
Tekak terasa kering. Aku berjalan menghampiri sebuah mesin jualan layan diri di si sebelah pintu masuk ke platform stesen kereta api. Meskipun, ramai yang sudah mampu untuk memiliki kereta pada zaman sekarang, kenderaan awam ini amat membantu logistik kami sebagai pelajar. Aku menekan butang dan memilih secawan kopi ais. Harganya yang tidak sampai RM3 untuk cawan kecil berjumlah 200ml, aku fikir cukup untuk sekadar melepaskan dahaga.
Aku mengambil tempat duduk di ruang menunggu. Sengaja aku masih meninjau ke tempat gadis tadi, masih lagi di situ. Aku juga tidak mahu mengganggu. Aku keluarkan buku daripada beg galas. Sudah seminggu buku ini tidak lepas dari pegangan aku. Buku itu tidak terlalu tebal. Tidak juga terlalu nipis. Pemikiran penulisnya saja yang membuatkan aku sukar untuk memahami dalam tempoh yang singkat.
Aku teringat seorang lagi gadis yang pernah aku lihat dahulu. Ketika aku sedang bersiar-siar di taman. Bak kata orang sekarang brisk-walk. Aku lebih suka gelarkan berjalan santai atau lebih ringkas jika ada orang bertanya, aku akan jawab berjalan. Aku melihat gadis itu. Langkahnya lincah dan pantas. Berjoging mungkin? Tubuhnya memakai seakan jaket tipis layak baju hujan, berselendang dan yang paling menarik perhatian aku keadaan dia yang bertopi sudu. Aku fikir mungkin itu hanya sebuah stail. Mungkin juga sebuah ikutan ramai fesyen gaya kini. Jaket hitam, berseluar berseluar panjang dan juga berkaca mata.
Gadis itu berhenti di bawah pokok selepas beberapa ratus meter berjalan perlahan. Gayanya seperti mahu sejukkan badan. Dia meregangkan segala lengan dan kaki sehingga ke kepala yang terkahir sekali. Aku tertarik.
Aku tersedar dengan bunyi hon kereta. Sebuah kereta sedan berwarna hitam berada di hadapan aku. Aku melangkah perlahan sambil menarik bagasi.
"Bagaimana pelajaran kamu?" Ayah memulakan perbualan selepas sebuah keheningan berbasa-basi.
"Baik, alhamdulillah. Jika tiada aral melintang tahun depan selesai pengajian"
Sejak melihat gadis di stesen tadi. Fikiran aku tidak lepas daripada mengingati dan berfikir tentang gadis kecil itu. Lebih tepat, kawan aku yang sedang berada di luar negara.
Aku tidak keberatan untuk dia menyambung pengajiannya selepas mendapat keputusan SPM. Bukankah itu lebih baik kerana dia lebih suka untuk menimba ilmu berbanding statik di sini. Aku masih ingat ketika itu dia menyerahkan surat tawaran itu kepada aku.
"Kau rasa patut ke aku pergi?" Bicaranya lambat-lambat. Tudung putih dan baju kurung bercorak bunga kecil membuat aku tidak henti-henti tersenyum.
"Pergi sajalah. Mak abah kau pun setuju, kan? Jangan sia-siakan peluang yang ada." Aku masih kekal tersenyum meski jauh di sudut hati aku mula merasakan sebuah perasaan yang bercampur baur.
Satu keadaaan aku gembira untuk dirinya. Satu keadaaan aku berasa sedih kerana selepas ini aku akan berpisah jauh dengan dirinya.
"Bila berangkat? Semua kelengkapan sudah siap?"
"Insya-Allah, minggu depan terbang. Ada sikit je lagi barang nak beli. Cuma, boleh tak sebelum aku berangkat nanti..." suaranya terhenti.
"Nanti?" Aku tertanya-tanya.
"Nanti, boleh tak kita luangkan masa sekali? Sebelum saya berangkat?" Wajahnya disorokkan, suaranya perlahan tapi masih dapat aku dengar.
"Insya-Allah boleh. Tanya mak abah dulu ya?"
Dia memandang tepat ke wajah aku. Kedua matanya bersinar dan terzahir sebuah senyuman harapan yang tidak pernah aku lupakan.
Aku dan dia tersenyum. Sebuah keheningan yang cukup untuk menumbuhkan sebuah rasa yang tidak pernah terlafaz. Sebuah rasa yang jelas terapapar pada mata dan namun belum sampai masa untuk menjadi potret hidup yang asyik.
Ulasan
Catat Ulasan