#78: Malam Ini Hanya Ini Yang Mampu Aku Tuliskan
Semester 2, 2025/2026
20260313, Jumaat
Assalamualaikum dan hai.
Apa khabar semua? Aku harap semua masih sihat. Insya-Allah. Aku tidak tahu mahu tulis apa sebenarnya. Sudah lama tidak menulis, mungkin juga akan disibukkan dengan perkara lain.
Akhir-akhir ini semunya rasa kosong? Aku hidup cuma seperti hilang tujuan. Boleh jadi apa yang aku buat sekarang ini pun sia-sia saja. Aku cuba memandang langit. Aku lihat ada kalanya bintang bertaburan, ada juga penuh dilitupi awan. Aku juga merenung pada bulan. Terang dan bersinar. Hakikatnya, itu hanyalah pantulan sang suria.
Aku mendaki satu bukit. Bukit yang tidak teralalu tinggi. Tidak juga terlalu rendah. Ada kalanya aku berpaut pada akar-akar yang ada. Rotan yang melengkung dan berduri di kiri kanan. Tidak kurang juga bunyian alam yang saling bersahutan. Aku hilang, tenggelam dan hampir lemas.
Aku pergi pula ke arah bunyi aliran sungai. Aku mencuci muka dan minum sedikit airnya. Segar namun aku terfikir, apakah akhirnya hanya ke muara? Seterusnya, apa? Apa seterusnya?
Aku pergi pula ke kota. Di jalan-jalan raya. Kenderaan bertali arus, untung ada lampu isyarat. Aku boleh melintas dalam tempoh beberapa saat. Aku melihat di sana, orang-orang sibuk dengan hal sendiri. Makan dan minum di restoran. Bergelak tawa sambil bertepuk tampar. Ada juga yang ke hulu ke hilir mengedar risalah. Aku berjalan lagi, terik mentari membuat tekak aku kering. Mungkin aku kehausan.
Peti dingin aku buka. Hawa sejuk menerpa wajah. Aku jatuh. Jatuh tanpa kata. Pandangan gelap. Apa yang berlaku juga aku tiada tahu. Aku terjaga. Aku melihat kanan kiri penuh dengan orang-orang yang tidak dikenali. Masing-masing di atas katil dan bau antispetik kuat menusuk hidung aku.
Air, air, air.... Dimanakah air tadi? Aku terus berusaha untuk bangkit. Tangan aku terasa pedih. Jarum di lengan. Ceceair yang maih bergantung dan selimut hijau muda yang masih membaluti tubuh aku. Aku di mana?
Aku tidak tahu mahu menulis apa lagi. Mungkin ini sahaja dulu.
Sampai jumpa lagi.
Assalamualaikum.
Ulasan
Catat Ulasan