#11 Sedikit Telahan

 20250706, 2302


Fuh… Ada lagi dua kertas peperiksaan. Aku tak tahu kenapa, tapi semester ini prestasi aku macam menurun ? Aku tak tahu di mana puncanya… Mungkin sebab aku dah mula aktif di universiti ? Aku banyak sertai program ? Mungkin juga sebab aku kerap balik rumah ? maklumlah, jarak Bangi-Ampang tidaklah terlalu jauh, kalau tunggang motosikal tempoh standard perjalanan mungkin 45 minit, namun kalau bawa laju 30 minit boleh sampai. 

Aku bukannya nak sangat, tapi mungkin sebab emosi ? Aku terlalu idealis ? Entahlah… Orang-orang fikir aku terlalu tegas dan formal, sedangkan itulah salah satu cara untuk aku meletakkan satu garis pemisah terhadap segala interaksi yang tidak perlu diperjuangkan terlalu berlebihan. Kata orang, hidup hanya sekali nikmatilah dengan segala perkara, cubalah jika belum merasa. 

Remaja… Ya, remaja. Jiwa muda yang sangat kerap memberontak. Darah muda yang hangat untuk sentiasa bersifat membangkang. Penuh dengan idea dan cita-cita. Ramai juga yang terlibat dengan permainan perasaan dan cinta. Cinta yang mungkin boleh pergi jauh atau sekadar terkandas di tengah jalan. Melihat kepada perkembangan dan sohor kini yang terlalu membimbangkan… 

Aku suka nak memetik satu baris dialog yang aku dapat ketika membaca satu siri Webtoon;

“I like it, so I pay attention. Once you start liking something, you get to know it better” 

    Bila kau mula suka sesuatu kau akan ambil tahu tentangnya lebih baik. Saya suka, jadi saya tumpukan perhatian. Begitulah kira-kira maksudnya.

Aku cuba untuk aktif menulis, cuma kadang-kadang aku selalu ada rasa saling bercanggah. Aku suka menulis, aku suka mencatat, bila kena beralih kepada menaip aku jadi ralat dan makan masa untuk transisi. Dulu, ketika belajar di pra-U, aku tulis lebih daripada 50 esei sejarah. Sampai aku perasan, tapak tangan aku jadi nipis… Hahaha! mungkin sebab terlalu banyak menulis.

Bila masuk universiti, semuanya kena buat sendiri, jadi aku pun tak tahu. Aku memang tulis laju, orang kata tulis tarik-tarik, tulisan Dr.. Mudah-mudahan yang bahagian Dr. tu termakbul, kan ? Insya-Allah, Amin !!!

Sebenarnya, aku pun tak tahu nak cerita fasal apa. Cuma mungkin ada beberapa yang aku nak notakan di sini. Blog ini pun aku tengok statistik paparan, tiadalah memberangsangkan sangat. Macam aku cakap, kalau seseorang tu nak tahu fasal kita, dia akan cari pelbagai cara untuk tahu fasal kita. Kalau mereka tak nak tahu, kita bagilah segala pautan media sosial, pautan blog, nombor telefon pun. Pasti tiada apa-apa “penyelidikan” pun yang dibuat. Jadi, buat  masa ini aku boleh anggap ruangan ini sebagai satu pelantar yang aku boleh berkongsi dengan sedikit kebebasan ? Aku pun tiada media sosial selain Facebook.

 Aku pernah ada TikTok, Instagram dan Twitter (sebelum zaman X). Aku padam semua itu, atas satu sebab yang mungkin orang lain akan anggap remeh. 


Beberapa perkara untuk dinotakan:

  1. Nanti cuba pastikan buat ulangkaji setiap kali habis kuliah. Pensyarah tidak akan suruh tapi kita yang akan gunakan nanti.

  2. Aku selalu rasa yang semua orang patut ada rasa untuk berkongsi walau sekecil apapun pengetahuan yang ada. Tapi ramai yang tak mahu atau mungkin tak mampu. Aku terkilan..

  3. Kalau rasa jauh, boleh ajak jumpa ? Aku rasa benda ini semua orang tahu cuma kemampuan pun perlu.

  4. Jangan takut beri lebih, walaupun kadangkala kita pula yang akan disalahkan sedangkan kita hanya memberi sekadar yang kita tahu. 

  5. Jangan terlalu cepat anggap semua orang kawan, bukan semua orang tahu bagaimana cara untuk menghargai.

  6. Kita beri roti dengan harapan dia boleh alas perut sementara dapat jumpa kedai makan, tapi bila dah jumpa kedai makan dia masih harapkan kita beri roti walaupun dia tahu itu sajalah makanan yang kita ada. 

  7. Kalau kita rasa penat, kita perlu rehat. Tapi bukan semua rehat itu bermakna tidur, makan dan bersantai. Kadangkala, berusaha untuk satu perjumpaan dengan orang yang kita sayang seperti keluarga juga satu rehat. 

  8. Mungkin usia awal 20-an ini, kita masih belajar dan ramai pula yang sebaya sudah kahwin dan memiliki harta sendiri. Rezeki kita berbeza, jangan bandingkan diri kita dengan orang lain. 

  9. Kalau kita rasa tak mampu untuk menghalalkan, jangan kita gantung dalam suatu ikatan yang tidak memungkinkan. Habis ribuan ringgit dalam satu hubungan yang tiada kepastian, sedangkan kalau dikira-kira secara kasar nilai itu sudah cukup pun untuk buat belanja hantaran.

  10. Bukan semua orang yang menjaga jarak itu, tidak peduli. Bahkan mereka sangat peduli sehingga tidak ingin langsung untuk menodai walau dengan sebaris ayat yang tidak menjanjikan pasti.


Cukuplah dulu rasanya ya ? Masih banyak lagi perkara yang perlu kami uruskan ni. Doakan urusan kami dimudahkan nah!!! 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

#3 Satu Wawasan dan Tujuan

# 28 Rasa di Antara Baris

#24: Sedikit Catatan untuk Dikongsi

#5 Pelbagai Kisah

#7 Catat yang Kecil