#23: Cerpen Cahaya Menuju Pintu
20250902, 2109
Cahaya Menuju Pintu
Aku masih lagi berfikir dan menanti serta mencari-cari. Apabila aku melihat media sosial aku cenderung untuk membandingkan diri aku. Aku akan sentiasa berfikir, apa lebihnya aku atas mereka. Mereka semua kelihatan gembira dan sentiasa berbagi cerita. Aku ? Hanya duduk sendiri dan bercermin di kamar kaca.
Dalam ruangan kecil itu, aku nampak dengan jelas segala kekurangan aku. Segala sisi diri aku yang ada, semakin jelas segala kelemahan dan hinanya aku. Aku menilik wajah. Tidak seindah Nabi Yusuf yang dikhabarkan barangsiapa yang melihat baginda tiada pula terasa jari terluka. Aku menatap pula pada tubuh aku. Tidak segagah Nabi Musa yang terbunuh seorang Qibti hanya dengan satu tumbukan kerana ingin meleraikan sengkets. Aku renung lagi. Satu persatu anggota tubuh aku nilaikan dengan pandangan pengetahuan tentang para anbiya..
Warna kulit aku yang sedikit gelap amat berbeza dengan orang-orang putih yang satu masa dahulu pernah menjajah tanah ini. Ya, kata orang tua-tua. Mereka datang dengan cakap-cakap ingin mentadbir, sedangkan mereka mengaut segala hasil bumi ini. Bangsa ini bukannya dungu dan terus berdiam. Sepanjang lipatan sejarah dalam warkah mahupun catatan ingatan, semuanya menyatakan satu hasil. Penjajah bukan ingin memajukan, namun hanya mengambil kesempatan. Mungkin mereka membawa kemajuan, akan tetapi hampir keseluruhannya untuk kepentingan mereka sendiri.
Aku melangkah ke belakang beberapa tapak. Aduh ! Kepala terhantuk ke dinding kaca itu. Keras. Aku mula menyentuh pantulan wajah aku yang terpancar di cermin besar itu. mengamati wajah di cermin dengan teliti. Inikah wajah orang yang bercita-cita menjadi orang hebat ? Inikah wajah seorang pemuda yang sentiasa dihantui rasa bersalah yang tak pernah berakhir ?
Tidak… Tidak… Aku mula menafikan segalanya. Suara-suara halus yang itu. Suara-suara itu datang lagi. Aku menutup telinga dengan pantas. Memejamkan kedua belah mata. Aku tertunduk dan membungkam ke tanah.
“Pergi ! Aku kata pergi ! Jangan ganggu aku “ suara-suara itu masih memanggil aku.
Suara-suara itu masih memanggil-manggil nama aku. Dalam kerlipan sekilas, mata aku yang terpejam mengesan kehadiran cahaya yang terang. Aku perlahan-lahan membuka mata namun suara-suara tadi mula perlahan lenyap. Ah ! Terangnya silau apakah ini ? Aku kembali merapatkan mata.
Tiba-tiba , badan aku terasa bahang. Aduh, bencana apa pula ini ? Aku membuka mata sekali lagi dengan perlahan supaya iris mata aku tidak kaget menerima selimpah cahaya. Apatah lagi di kamar yang penuh cermin ini. Pantulan setiap zarah yang bergerak lurus ini sudah pasti akan sentiasa terpantul. Aku perlu cari apa dan dimana puncanya !
Mata aku mula melihat sekeliling. Anehnya…
Sekarang aku di mana ? Aku berdiri dengan perlahan dan mula mencerap sekeliling. Aku berada di tempat asing. Bukankah tadi aku di kamar kaca ? Mengapa rasa bahang tadi hilang ? Aku mula memerhati. Tiada apa-apa. Hanya lantai putih yang luas. Aku bukan di kamar kaca lagi.
Aku membuka langkah sambil tangan mula meraba-raba ke hadapan. Dinding tadi juga sudah hilang. Aku mula melangkah lagi. Satu tapak demi satu tapak. Tiada apa-apa tanda. Tiada pokok, tiada sungai, tiada rumah, tiada banggunan tinggi pencakar langit yang sering dibanggakan oleh mereka. Golongan yang mendakwa mengejar kemajuan.
Bermula langkah kecil perlahan-lahan, langkah aku dicepatkan. Aku mula berlari-lari anak. Ya. sedikit demi sedikit. Kelajuan aku bertambah sambil pandang aku melilau ke kiri dan ke kanan berharap aku melihat sesuatu atau seseorang.
Derap langkah aku semakin pantas dan aku mula keletihan. Keringat dingin mula membasahi dahi dan seluruh tubuh berisi ini. Sekali lagi aku terduduk. Jika tadi aku terbungkam kerana bisikan suara-suara yang sering menghantui hidup aku, sekarang aku terngadah sambil termengah-mengah mengejar nafas.
“ASSALAMUALAIKUM! ADA SESIAPA DISINI ?!”
Aku melaung sekuatnya walaupun hati aku teguh mengatakan hanya aku yang dapat mendengarnya.
Dalam lemas aku melepas lelah. Aku mula mendongak ke atas. Eh, langit juga putih ? Aku terlalu cemas sehingga aku tidak perasan bahawa langit juga berubah menjadi putih. Maksudnya, aku bukan di dalam satu ruang. Aku mula berbaring dan memandang terus ke langit yang terbentang luas.
Adakah yang di atas aku ini cermin, bukan langit seperti yang aku sangkakan ? Otak cerdas aku mula berfikir dengan ligat. Aku kerahkan segala maklumat yang aku pelajari di sekolah dahulu. Ya, pelajaran Sains. Cikgu Ali pernah ajar bahawa cahaya bergerak lurus, apabila terkena pada satu permukaan arahnya akan berubah bergantung kepada jenis bahan.
Cikgu Ali mendemonstrasikan satu sinaran laser di atas meja dan bermain-main dengan blok-blok kaca sambil menerangkan tentang sudut tuju dan sudut bias. Aku masih ingat. Jika begitu, apakah yang aku lihat ini biasan cahaya atau pantulan imej ? Kalau imej pasti ada objeknya. Adakah lantai yang aku pihak itu objeknya ? Tapi, mengapa aku tidak melihat pantulan diri aku ? Bukankah aku sedang berbaring dan menatap ke arah langit itu ?
Dalam asyik berfikir sambil berbaring, kaki kanan aku mula terasa bahang. Ya, bahang yang tadi. Kaki aku seperti sedang mendekat pada api yang panas. Aku refleks dan terus bangkit untuk duduk. Benar saja tekaan aku, ada unggun api. Aku sekali lagi kehairanan. Apa maksud semua ini ?
Aku mula mendapati di sisi unggun api ada segelas air dan juga sepinggan daging mentah. Aku mula mengambil daging dan gelas itu untuk diperiksa. Daging apa ini ? Air ini pula…
Aku mula menghidu keduanya. Bau air agak aneh, tidak seperti air kebiasaannya. Daging ini pula aku tidak tahu dari jenis binatang apa datangnya. Bagi memastikan itu benar-benar air, aku mula mencurahkan sedikit ke unggun api yang kecil itu.
“Allah !”
Api itu menyambar dan membesar. Cis, sudah pasti ini bukan air. Jika air mengapa api itu menyambar aku. Untung saja aku tidak meneguknya. Aku mula sangsi dengan daging yang masih berada di hadapan aku. Kalau cecair di dalam gelas yang aku sangkakan air itu ialah alkohol, tidak mustahil daging ini juga bukan daging seperti kebiasaan yang aku makan.
Sekali lagi. Aku menguji pula daging itu. Aku mengambil dan mendekatkan daging itu kepada api. Anehnya, daging itu bukannya hangat atau masak, tapi mengeluarkan bau yang amat busuk. Baunya seperti sampah. Fizikalnya masih utuh, namun apabila aku campakkan ke dalam api. Semakin kuat bau busuk itu terhasil. Aku tidak mampu menahannya lagi. Aku mula mual dan terasa segala isi perut aku ingin diluahkan. Daging apa itu ? Adakah itu daging sintetik seperti yang mereka katakan dicipta dalam makmal ?
“Ini perkara yang tidak logik! Adakah ini semua ilusi ?”
Aku mula terimbas kembali pengajaran Ustaz Kamil. Ustaz cerita bahawa dunia ini ialah penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir. Berbuat baiklah di dunia kerana ramai yang tidak lepas di mizan kerana dosanya pada orang lain.
“Daging busuk ? Alkohol ? Arak tapi tak dipanggil arak ?” spontan isi fikiran aku terluah di lisan yang ditutup dengan tangan. Setidaknya tangan yang menekup mulut dan hidung ini berjaya mengurangkan bau busuk yang menerobos masuk ke dua rongga hidung aku.
Aku yakin ini pasti bukan satu pengakhiran. Aku bangkit dengan tangkas dan kali ini, aku nampak satu pintu di hujung. Aku mula berlari lagi. Pintu kayu berdaun dua. Ada seorang tua bertongkat dengan memakai jubah ala orang Maghribi. Jubahnya dengan warna hijau buah zaitun yang masak. Aku berlari semakin kencang.
“Pak Cik ! Pak Cik !” aku menjerit-menjerit dengan harapan dapat menarik perhatian lelaki tua itu. Seketika dia berpaling dengan perlahan dan aku dapat melihat dengan jelas wajahnya yang semakin dimamah usia. Larian aku terhenti dan aku tergamam. Benarkah apa yang aku lihat sekarang ini ? Apakah ini jalan keluar dari segala kekusutan ruang ini.
Apa yang lelaki tua itu buat di sini ? Bukankah dia sudah lama berhijrah ke alam abadi ? Lelaki tua itu memandang aku dan tersenyum mesra. Sudah lama aku tidak melihat senyuman itu. Aku mula terkenang segala memori silam bersama wajah tua itu. Air mata kerinduan mula mengalir tanpa aku hiraukan lagi. Aliran hangat itu mengalir membasahi pipi dan suara aku semakin kuat memanggil. Aku berlari sekencang mungkin untuk sampai ke pintu itu. Tidak, untuk mendakap lelaki tua yang berada di samping pintu kayu itu !
“Atuk ! Atuk ! Ali nak balik juga !”
20250902, 2243
Ampang, Selangor
Ulasan
Catat Ulasan